Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus memperkasa pembangunan sukan tanah air dengan memperuntukkan RM1 juta melalui Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) bagi mencungkil serta memupuk bakat atlet dalam kalangan anggota badan beruniform.
Langkah itu dimuktamadkan menerusi Mesyuarat Penyelarasan Program Badan Beruniform yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bersama pegawai tertinggi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Penjara Malaysia (JPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Hannah berkata, sumbangan badan beruniform terhadap pembangunan sukan negara bukanlah perkara baharu, malah sudah terbukti menyumbang deretan pingat buat kontinjen negara dalam pelbagai temasya antarabangsa.
“Badan beruniform seperti ATM dan PDRM menjadi antara tonggak utama dalam sukan memanah dan menembak yang melahirkan ramai atlet bertaraf dunia.
“Malah atlet JBPM dan JPM juga aktif dalam pelbagai sukan di peringkat kebangsaan termasuk lawn bowl, sepaktakraw, berbasikal, hoki serta tinju,” katanya.
Antara pencapaian membanggakan termasuk pingat emas acara berpasukan compound wanita Kejohanan Memanah Piala Asia di Singapura menerusi Saritha Cham Nong (ATM), serta kejayaan Erma Firyana Saroji (PDRM) yang pernah memenangi emas di Sukan Komanwel 2018 dan gangsa di Kejohanan Dunia Lawn Bowls Indoor 2025 di Scotland.
Turut mencuri tumpuan ialah pasangan sepaktakraw Mohd Shaharil Aiman Halim (PDRM) dan Mohd Afifudin Mohd Razali (ATM) yang meraih pingat perak regu berpasukan di Kejohanan Sepaktakraw Piala Dunia 2024 di Kuala Lumpur, manakala Mohd Afifudin turut menghadiahkan emas menerusi acara quadrant di Piala Asia 2025.
KBS turut menyokong fokus JPM terhadap sukan petanque serta pembabitan JBPM dalam sukan pingpong, sekali gus seiring usaha memperluas pembangunan bakat atlet pelapis dalam kalangan anggota beruniform.
Pada masa sama, mesyuarat itu turut membincangkan beberapa cadangan baharu yang akan diperhalusi dari semasa ke semasa, antaranya pertimbangan untuk menambah sukan baharu seperti akuatik terbuka, pingpong dan sukan mendaki bagi penyertaan anggota badan beruniform.
Selain itu, turut dikaji semula ialah kemungkinan kontinjen badan beruniform kembali mengambil bahagian dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma), sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada atlet dari agensi berkenaan untuk bersaing di pentas kebangsaan.
Turut dibangkitkan ialah cadangan pelantikan atlet paralimpik ke dalam pentadbiran badan beruniform selaras dengan dasar satu peratus (satu peratus) pengambilan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam perkhidmatan awam, sebagai usaha memperkasa penyertaan inklusif dalam sektor itu.