KUALA LUMPUR: Tekong utama skuad sepak takraw negara, Mohammad Syahir Mohd Rosdi enggan terlalu selesa dengan kejayaan merangkul gelaran acara regu di Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025, hari ini.
Syahir menegaskan perjuangan skuad negara masih belum selesai apabila bakal berdepan cabaran lebih getir dalam saingan regu berpasukan yang bermula esok.
“Alhamdulillah kami menang 2-0, tapi masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki, terutama dari segi servis dan bola pertama.
“Kami tak boleh terlalu puas hati kerana esok jam 9 pagi dah mula aksi berpasukan, dan kami kena cepat perbaiki apa yang kurang,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Terdahulu, Malaysia yang dibarisi Syahir selaku tekong, Mohamad Azlan Alias (perejam) dan Farhan Adam (pengumpan) menewaskan musuh tradisi, Thailand 15-12, 15-9 dalam aksi final acara regu di Stadium Titiwangsa, sekali gus muncul juara.
Kejayaan itu mengulangi sejarah manis yang dilakar skuad negara di gelanggang sama ketika menjulang gelaran regu pada Piala Dunia 2024, juga dengan barisan sama – Syahir, Azlan dan Farhan.
Namun bagi Syahir, kemenangan kali ini datang dengan cabaran berbeza.
“Kalau dibandingkan dengan Piala Dunia tahun lalu, saya rasa waktu tu momentum kami lebih konsisten dari awal sampai ke final. Tapi kali ini agak perlahan, cuma Alhamdulillah waktu final lawan Thailand, kami berjaya capai rentak sebenar,” katanya.
Syahir turut berkongsi bagaimana tekanan menentang pasukan pilihan seperti Thailand memberi kelebihan buat mereka tampil lebih tenang.
“Kalau lawan negara lain tekanan itu tinggi sebab kita tak boleh kalah. Tapi bila lawan Thailand, kita tahu mereka pasukan kuat, jadi tekanan itu kurang. Bila menang, ia jadi bonus besar buat kami,” katanya.
Ini adalah gelaran kedua buat skuad negara di Piala Asia 2025 selepas merangkul kejuaraan acara kuadran manakala muncul naib juara acara double selepas tewas di tangan Thailand.
Dalam acara regu berpasukan, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Korea Selatan, Brunei dan Jepun.
Skuad negara akan membuka tirai saingan menentang Brunei dan Jepun, esok sebelum berdepan Korea Selatan dalam perlawanan terakhir kumpulan pada Sabtu.
Kali terakhir Malaysia menjulang kejuaraan dalam acara regu berpasukan adalah pada Sukan SEA Manila 1991.