Kuala Lumpur: Jurulatih berbasikal trek pelapis negara, Herman Terryn memuji mentaliti kental dipamerkan sensasi remaja negara, Sawda Hasbullah yang bangkit daripada kekecewaan untuk kembali mencipta kejayaan di pentas Asia.
Menurut Terryn, Sawda menunjukkan kualiti sebenar sebagai pelumba berpotensi tinggi terutama apabila berjaya mengatasi tekanan selepas gagal dalam acara keirin dan pecut.
“Dia mempamerkan prestasi yang sangat baik. Kami tahu kualitinya dan dia memang gemar pecutan jarak jauh.
“Semalam (kelmarin) dia kecewa selepas acara keirin, tetapi pagi ini saya lihat dia mempunyai motivasi besar untuk menang,” katanya.
Terryn berkata, kemampuan untuk bangkit dalam tempoh singkat membuktikan kekuatan mental yang dimiliki pelumba muda itu sekali gus membezakan dirinya dengan pencabar lain.
Tambahnya, perkembangan positif itu turut memberi gambaran cerah terhadap masa depan skuad berbasikal trek negara yang kini dibarisi ramai pelumba muda berbakat.
Dalam perkembangan sama, keputusan tempat keempat dalam acara akhir kategori lelaki juga dianggap sebagai sesuatu yang menggalakkan buat kem negara.
Jelasnya, pencapaian keseluruhan dalam kejohanan itu menunjukkan barisan pelapis negara berada di landasan tepat untuk mencabar di peringkat lebih tinggi.
Terdahulu, selepas melalui detik sukar, Sawda akhirnya membuktikan kemampuannya apabila menghadiahkan pingat emas dalam acara satu kilometer (km) ujian masa kategori remaja wanita di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Velodrom Tagaytay, Filipina, semalam.
Lebih manis, kejayaan itu menyaksikan dia mempertahankan emas yang dimenanginya tahun lalu di Velodrom Nasional, Nilai.
Malah, pelumba muda negara itu turut memecahkan rekod Asia miliknya sendiri dengan catatan 1 minit 09.604 saat (s), mengatasi rekod lama 1:10.818s yang dilakukan pada Februari 2025.
Rekod terdahulu itu juga pernah diiktiraf sebagai rekod remaja dunia sebelum dipecahkan pelumba Britain, Erin Boothman pada Julai lalu di Kejohanan Berbasikal Eropah.
