Kuala Lumpur: Kilauan pingat yang dibawa pulang skuad wusyu remaja negara dari Kejohanan Wushu Remaja Dunia di Tianjin, China bukan sekadar bukti kekuatan barisan pelapis, malah menjadi cerminan awal cabaran lebih besar yang menanti di hadapan.
Di sebalik kejayaan menamatkan saingan di tempat keenam keseluruhan dengan empat emas, enam perak dan lima gangsa, hakikatnya persaingan di peringkat antarabangsa kini semakin sengit dan menuntut penambahbaikan menyeluruh.
Nama Lee Ronn muncul sebagai antara sinar paling menyerlah apabila atlet berusia 17 tahun itu meraih perak keduanya selepas mencatat 9.166 mata dalam acara gunshu lelaki remaja (15 hingga 18 tahun).
Lebih membanggakan, anak kelahiran Melaka itu sebelum ini turut muncul naib juara acara changquan sekali gus menegaskan potensinya sebagai aset masa depan negara.
Prestasi konsisten itu juga meletakkan Lee Ronn di landasan terbaik untuk memburu tempat ke Sukan Olimpik Remaja di Dakar hujung tahun ini, yang bakal menjadi pentas sulung wusyu di temasya berkenaan.
Presiden Persekutuan Wushu Malaysia, Datuk Chong Kim Fatt mengakui kejayaan itu memberi gambaran positif, namun tidak menafikan masih banyak ruang yang perlu diperbaiki.
“Kami melihat hasil daripada pembangunan akar umbi apabila majoriti pingat disumbangkan atlet yang masih berada dalam program negeri.
“Namun pada masa sama, kejohanan ini membuka mata kerana negara lain sudah bergerak lebih pantas terutama selepas wusyu disenaraikan dalam Sukan Olimpik Remaja. Tahap mereka semakin meningkat,” katanya.
Menurutnya, antara perbezaan ketara adalah keupayaan negara lain mendapatkan khidmat jurulatih asing bagi memperkukuh pembangunan atlet muda.
“Hong Kong mempunyai empat jurulatih asing di peringkat remaja dan peningkatan mereka sangat jelas. Brunei juga kini memiliki lebih daripada seorang jurulatih asing.
“Malaysia pula hanya ada seorang jurulatih asing untuk mengendalikan program elit dan pelapis, jadi kekangan itu memang wujud. Namun kami akan terus berusaha mengekalkan prestasi baik ini,” katanya.
Dalam pada itu, Hong Kong muncul juara keseluruhan dengan kutipan 13 emas, tujuh perak dan enam gangsa, diikuti China (13-4-0), Indonesia (9-11-7) dan Vietnam (7-2-4).
Empat emas Malaysia disumbangkan Chlamous Shin Jay Wong menerusi acara taijiquan lelaki junior (12 hingga 14 tahun), Ho Jing Thye (jianshu lelaki junior), Crystal Wee (daoshu wanita remaja 15 hingga 18 tahun) serta Teng Jou Xin (jianshu wanita remaja).
Ketiadaan Iran yang muncul juara di Brunei dua tahun lalu tidak langsung merendahkan standard pertandingan, sebaliknya peningkatan mendadak negara lain memberi amaran jelas bahawa Malaysia tidak boleh terus selesa jika mahu kekal relevan di pentas dunia.
