Dalam semangat Ramadan yang penuh keberkatan, seramai 33 atlet kebangsaan daripada pelbagai jenis sukan menyertai Program Jelajah Sahur Bersama Team Juara yang berlangsung pada awal pagi 17 Mac 2026.
Program anjuran Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE) ini menghimpunkan wira dan wirawati negara daripada sukan Sepak Takraw, Angkat Berat, Tenpin Boling, Menembak, Olahraga serta atlet Para, yang secara sukarela turun padang menyantuni masyarakat.
Konvoi Team Juara mengunjungi empat pusat jagaan warga emas dan OKU sekitar Kajang, Semenyih dan Bangi, termasuk Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia, Pusat Jagaan Siti Nor Aini, serta Pusat Jagaan Orang Tua Darul Insyirah.
Turut hadir memeriahkan program ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan) MSN, Encik Mohd Sofian Hamzah, bersama Pengarah Bahagian Atlet Encik Mohd Zaim Yusof, Ketua Sekretariat MACE Puan Nurehsan Hassan, serta Pemangku Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan Encik Rozaki Zakaria.
Melalui pengagihan juadah sahur serta sumbangan kepada lebih 260 penghuni pusat jagaan, program ini membuktikan bahawa atlet negara bukan sahaja berjuang di arena sukan, tetapi turut berkongsi nilai kemanusiaan, keprihatinan dan semangat Ramadan bersama masyarakat.
