Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
My Athlete Centre buka lembaran baharu buat atlet negara

Kuala Lumpur: Pembukaan rasmi My Athlete Centre oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membuka lembaran baharu dalam landskap pembangunan atlet negara apabila memberi penekanan menyeluruh terhadap kebajikan, kesihatan mental dan jaminan masa depan mereka.

Bekas pemain boling kebangsaan yang juga juara dunia 2017, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi meluahkan rasa bangga terhadap usaha proaktif kerajaan merealisasikan pusat sehenti berkonsepkan hibrid itu yang disifatkan amat relevan dengan keperluan atlet masa kini.

“Jadual latihan atlet masa kini sangat padat dan mencabar, bukan sahaja dari sudut fizikal malah mental.

“Sebelum ini, kekurangan ruang rehat yang interaktif menyebabkan atlet lebih banyak menghabiskan masa dengan telefon pintar, yang sebenarnya kurang membantu proses pemulihan secara optimum.

“”Dengan adanya My Athlete Centre, atlet kini mempunyai ruang khas untuk ‘reset’ minda. Fasiliti rekreasi seperti bilik karaoke dan ruang permainan membolehkan mereka melepaskan tekanan serta berinteraksi dalam persekitaran sihat dan positif,” katanya.

Afifah yang dilantik sebagai jurucakap tekad memanfaatkan pengalaman luasnya bagi merapatkan jurang komunikasi antara atlet selain menyalurkan maklumat kepada masyarakat.

“Berdasarkan pengalaman lalu, atlet junior kadangkala berasa segan untuk menyuarakan pandangan kepada pegawai pengurusan.

“Peranan kami sebagai jurucakap adalah menjadi pengantara sebagai ‘kakak’ atau ‘abang’ yang boleh mereka dekati dengan selesa, sama ada berkaitan isu prestasi mahupun kesihatan mental.

“Pada masa sama, kami turut membantu MSN mempromosikan program pembangunan diri seperti pengurusan kewangan, keusahawanan dan pembinaan penjenamaan peribadi (personal branding) yang positif di media sosial,” kata Afifah.

Bekas ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi pula menyifatkan pusat itu sebagai lembaran baharu apabila ia bakal diuruskan sendiri oleh barisan atlet.

Menurutnya, pendekatan berkenaan membuka peluang keemasan kepada atlet untuk menceburi bidang keusahawanan secara praktikal, sekali gus membantu menyediakan jaminan kewangan dan hala tuju kerjaya selepas bersara.

Sebelum ini, My Athlete Centre dilancarkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufik Johari pada 26 Februari 2026 lalu.