Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Nani idam berlatih di luar negara sebelum ke Sukan Asia

Kuala Lumpur: Atlet lontar peluru wanita negara, Nani Sahirah Maryata mahu lebih banyak pendedahan termasuk menjalani latihan di Eropah bagi meningkatkan prestasi menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 pada September nanti.

Menurut Nani, pertandingan lebih kompetitif dapat membantu dirinya meningkatkan prestasi ke tahap lebih tinggi berbanding hanya bersaing di dalam negara sahaja.

“Sekurang-kurangnya kalau dalam negara saya tahu ranking saya, tapi saya nak persaingan yang baik.

“Maksudnya kalau dia baling 16 meter (m), saya pun 16m. Itu bagi semangat untuk saya terus bergerak ke hadapan.

“Saya nak rasa suasana baharu seperti latihan di luar negara atau bertanding di peringkat antarabangsa kerana saya perlukan pengalaman dan pendedahan untuk lawan atlet hebat,” katanya.

Pada musim lalu, Nani lebih banyak menyertai kejohanan di peringkat Asia, namun pengalaman itu membuka matanya mengenai tahap latihan dan persaingan atlet luar.

“Tahun lepas tak banyak ke mana, lebih kepada peringkat Asia. Saya nak rasai lawan dengan atlet hebat dan lihat bagaimana mereka berlatih,” katanya.

Ketika ditanya mengenai negara pilihan untuk dituju, atlet berusia 26 tahun itu melihat Jerman sebagai destinasi terbaik untuk berlatih sekurang-kurangnya selama tiga bulan sebagai persediaan menghadapi Sukan Asia, namun masih menunggu keputusan pihak berkaitan.

“Saya ada cadang dengan jurulatih untuk ke Jerman dalam tempoh tiga bulan sebelum Sukan Asia, tapi saya tunggu keputusan daripada Olahraga Malaysia (MA) atau MSN (Majlis Sukan Negara).

“Peluang berlatih di negara maju memberi kelebihan dari segi teknik, kekuatan mental dan keyakinan untuk bersaing di pentas antarabangsa,” kata Nani yang meraih pingat emas di Sukan Sea Thailand 2025, Disember lalu dengan lontaran sejauh 16.36m.

Lebih manis, catatan itu membolehkannya mengatasi rekod kebangsaan milik sendiri iaitu 15.39m yang dilakukan di Perlis Super Series di Kangar pada 2024.