Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives February 23, 2026

Danish Iftikhar ada dalam Program Podium MSN

Kuala Lumpur: Pelari pecut negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee kini termasuk antara 21 atlet yang disenarai dalam Program Podium Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai persiapan menghadapi temasya akan datang termasuk Sukan Sea Malaysia 2027.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Olahraga Malaysia (MA), Nurhayati Karim yang menjelaskan penyertaan dalam Program Podium diberikan secara automatik kepada atlet yang memenangi sebarang pingat di Sukan Sea tanpa mengira warna.

“Danish memang tersenarai dalam Program Podium. Rakyat Malaysia perlu faham, program ini khusus untuk mereka yang memenangi pingat di peringkat Sukan Sea, jadi secara automatik mereka layak. Ya, termasuk yang menang gangsa.

“Surat tawaran akan diberikan kepada atlet, selagi syarat dipatuhi, dan atlet boleh mengambil peluang menyertai Program Podium MSN, ” katanya selepas mesyuarat jawatankuasa kerja di MSN, Bukit Jalil, hari ini.

Beliau berkata, seramai 21 atlet diluluskan dalam Program Podium manakala 40 atlet lain disenarai dalam Program Pelapis bagi memperkasakan barisan pelapis menjelang Sukan Sea 2027.

Terdahulu, Danish Iftikhar dilaporkan tidak berada di bawah program MSN biarpun menunjukkan prestasi di temasya Sukan Sea 2025 dan Sukma Sarawak 2024 dengan atlet berusia 19 tahun dari Johor itu hanya berada dalam program bakat negeri.

Beliau sebelum ini mencuri tumpuan apabila meraih dua pingat gangsa acara 100 meter (m) dan 200m termasuk mencatat 10.26 saat (s) dalam 100m serta meleburkan rekod kebangsaan 200m dengan catatan 20.73s pada Sukan Sea Thailand 2025, Disember lalu.

Danish Iftikhar turut menyumbang pingat perak acara 4x100m bersama Alif Iman Fahmi, Jonathan Nyepa dan Pengiran Aidil Auf Hajam selepas mencatat masa 39.03s.

Beliau turut mencipta rekod peribadi terbaik 10.18s pada pusingan saringan 100m selain muncul juara Sukma Sarawak 2024 bagi acara 100m.

Malaysia cadang kembali ke format lama acara boling Sukan Sea 2027

Kuala Lumpur: Malaysia bercadang untuk mengembalikan saingan acara boling kepada format tradisional pada Sukan Sea ke-34, yang dijadual dianjurkan pada 2027.

Setiausaha Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Maradona Chok berkata, selain perubahan format, terdapat perancangan untuk menambah jumlah acara kepada had maksimum yang dibenarkan dalam usaha memastikan Malaysia terus kekal sebagai kuasa besar sukan berkenaan di rantau ini.

“Kita akan kembali kepada format lama iaitu bermain dalam enam permainan sebelum pemenang ditentukan.

“Jadi kita akan mengikut semula format Sukan Sea yang terdahulu dan menambah jumlah acara kepada maksimum yang dibenarkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa kerja di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Pada edisi ke-33 di Thailand pada 2025, tuan rumah memperkenalkan format baharu apabila pemenang pingat ditentukan menerusi sistem kalah mati satu permainan.

Walaupun berdepan format yang mencabar di Bangkok, Malaysia muncul juara keseluruhan acara boling pada Sukan Sea 2025 iaitu gelaran pertama seumpamanya sejak edisi 2017.

Skuad kebangsaan meraih dua pingat emas, satu perak dan empat gangsa daripada enam kategori yang dipertandingkan, sekali gus mengetepikan juara bertahan, Singapura yang menamatkan saingan di tempat kedua dengan dua emas dan empat gangsa.

Sukan Sea 2027 dijadualkan berlangsung dari 18 hingga 29 September, dengan acara bakal diadakan di empat kluster melibatkan Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur.

Lebih separuh jurulatih tempatan MA bekas atlet negara – Nurhayati

Kuala Lumpur: Lebih separuh daripada 16 jurulatih tempatan yang diluluskan untuk dilantik oleh Olahraga Malaysia (MA) terdiri daripada bekas atlet negara, kata Setiausaha Agung MA, Nurhayati Karim.

Beliau berkata, keputusan itu adalah sebahagian daripada penstrukturan semula barisan kejurulatihan kebangsaan bagi memperkemas sistem latihan dan memperkukuh persiapan atlet menghadapi kejohanan utama akan datang.

“Bagi barisan kejurulatihan, kami telah mencapai persetujuan untuk melantik 16 jurulatih tempatan.

“Terdapat wajah baharu dan ada yang disambung semula. Ramai bekas atlet turut ditawarkan sebagai jurulatih di bawah program ini. Lebih separuh adalah bekas atlet.

“Kami merancang untuk melantik 20 jurulatih, tetapi kelulusan hanya diberikan bagi 19 jawatan, termasuk tiga slot untuk jurulatih luar negara,” katanya selepas mesyuarat jawatankuasa kerja di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Katanya, tiga jurulatih luar negara itu disasarkan untuk memperkasakan acara balingan, larian jarak sederhana dan jauh serta pecut yang dikenal pasti sebagai disiplin utama untuk diperkukuhkan.

“Kami menyasarkan calon dari India, Jerman, Afrika Selatan dan Botswana. Pemilihan terakhir masih dalam proses,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula ini, MA akan melantik ketua jurulatih bagi setiap disiplin utama iaitu pecut, lompatan, balingan serta larian jarak sederhana dan jauh, bagi memastikan sistem latihan lebih tersusun dan persiapan atlet lebih mantap.

Nurhayati berkata, surat lantikan akan diedarkan dalam masa terdekat dengan semua urusan pentadbiran dan dokumentasi sedang diperincikan sebelum pengumuman barisan penuh dijangka dilakukan minggu hadapan.

Beliau berkata, buat masa ini, MA tidak merancang untuk melantik pengarah teknikal kerana tumpuan diberikan kepada pengukuhan struktur kejurulatihan sedia ada dan pelaksanaan program latihan secara lebih tersusun.

Menurutnya, program latihan dijangka bermula 1 Mac ini, dengan sasaran penyertaan atlet negara dalam kira-kira 20 kejohanan.

Nani idam berlatih di luar negara sebelum ke Sukan Asia

Kuala Lumpur: Atlet lontar peluru wanita negara, Nani Sahirah Maryata mahu lebih banyak pendedahan termasuk menjalani latihan di Eropah bagi meningkatkan prestasi menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 pada September nanti.

Menurut Nani, pertandingan lebih kompetitif dapat membantu dirinya meningkatkan prestasi ke tahap lebih tinggi berbanding hanya bersaing di dalam negara sahaja.

“Sekurang-kurangnya kalau dalam negara saya tahu ranking saya, tapi saya nak persaingan yang baik.

“Maksudnya kalau dia baling 16 meter (m), saya pun 16m. Itu bagi semangat untuk saya terus bergerak ke hadapan.

“Saya nak rasa suasana baharu seperti latihan di luar negara atau bertanding di peringkat antarabangsa kerana saya perlukan pengalaman dan pendedahan untuk lawan atlet hebat,” katanya.

Pada musim lalu, Nani lebih banyak menyertai kejohanan di peringkat Asia, namun pengalaman itu membuka matanya mengenai tahap latihan dan persaingan atlet luar.

“Tahun lepas tak banyak ke mana, lebih kepada peringkat Asia. Saya nak rasai lawan dengan atlet hebat dan lihat bagaimana mereka berlatih,” katanya.

Ketika ditanya mengenai negara pilihan untuk dituju, atlet berusia 26 tahun itu melihat Jerman sebagai destinasi terbaik untuk berlatih sekurang-kurangnya selama tiga bulan sebagai persediaan menghadapi Sukan Asia, namun masih menunggu keputusan pihak berkaitan.

“Saya ada cadang dengan jurulatih untuk ke Jerman dalam tempoh tiga bulan sebelum Sukan Asia, tapi saya tunggu keputusan daripada Olahraga Malaysia (MA) atau MSN (Majlis Sukan Negara).

“Peluang berlatih di negara maju memberi kelebihan dari segi teknik, kekuatan mental dan keyakinan untuk bersaing di pentas antarabangsa,” kata Nani yang meraih pingat emas di Sukan Sea Thailand 2025, Disember lalu dengan lontaran sejauh 16.36m.

Lebih manis, catatan itu membolehkannya mengatasi rekod kebangsaan milik sendiri iaitu 15.39m yang dilakukan di Perlis Super Series di Kangar pada 2024.

Stadium Titiwangsa ‘Home of Sepak Takraw’

Kuala Lumpur: Susulan kejayaan pasukan sepak takraw negara meraih pelbagai kejuaraan di pentas antarabangsa pada tahun lepas, kini Stadium Titiwangsa dijadikan ‘Home of Sepak Takraw’ kepada Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, untuk memastikan stadium itu berada di kelas tersendiri, hampir RM200,000 dibelanjakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi kerja menaik taraf.

Oleh itu, segala pertandingan rasmi membabitkan PSM atau pasukan negara akan diadakan di stadium berkenaan.

“Prestasi cemerlang pasukan sepak takraw dalam kejohanan peringkat antarabangsa pada tahun 2025 iaitu menjadi juara dalam Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia pada Mei 2025.

“Malah memenangi dua pingat emas di temasya Sukan Sea 2025 di Bangkok, Thailand, membolehkan Jabatan Wilayah Persekutuan dan DBKL bersetuju untuk menjadikan Stadium Titiwangsa sebagai ‘Home of Sepak Takraw’.

“Perbelanjaan kali ini, fasa pertama lebih kurang RM80,000 untuk Stadium Titiwangsa ditambah baik, dinaik taraf merangkumi perkara seperti lukisan mural di dinding dengan identiti ‘Home of Sepak Takraw’, mengecat dinding bangunan bahagian hadapan, ‘scoreboard’ ditukar kepada papan skor diod pemancar cahaya (LED).

“Ruang VIP dan VIP box di tingkat satu, surau, bilik media, bilik stor, tandas lelaki dan wanita, kelengkapan peralatan sepak takraw dan bilik persalinan serta bilik mesyuarat. Kesemua ini akan mengambil jumlah belanja lebih kurang RM200,000 dengan menggunakan bajet DBKL,” katanya selepas Majlis Pengumuman Stadium Titiwangsa sebagai Home of Sepak Takraw di sini, hari ini.

Selain itu, Hannah turut memaklumkan bahawa sukan lain juga masih boleh menyewa Stadium Titiwangsa dan menjalankan aktiviti mahupun pertandingan.

Stadium Titiwangsa pacu pembangunan PSM

Kuala Lumpur: Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) menyambut baik apabila Stadium Titiwangsa dijadikan ‘Home of Sepak Takraw’, sekali gus akan menyuntik semangat kepada pemain untuk terus melakar kejayaan demi kejayaan selepas ini.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, pengumuman oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh itu bukan sahaja membanggakan pasukan negara tetapi juga peminat yang selama ini terus menyokong Malaysia.

“Sebenarnya ini adalah impian tahun lepas dan akhirnya hari ini diumumkan sebagai ‘Home of Sepak Takraw’. Sudah pastilah ini sangat membanggakan kepada semua peminat dan juga penggiat sukan sepak takraw.

“Dan pada saya, ini bukan sekadar namanya, tetapi sebagai satu tempat yang memang menarik ramai peminat kita ataupun masyarakat kita melihat kedudukan stadium ini yang berada di ibu kota, menjadi ikonik dan menjadi satu sumber inspirasi kepada semua pemain ataupun penggiat sukan,” katanya.

Tambah Sumali, untuk sesi latihan, PSM sudah mempunyai tempat tersendiri iaitu di Akademi Sepak Takraw Malaysia di Kampung Baru yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.

“Untuk Stadium Titiwangsa ini, pada saya kita akan fokus kejohanan besar atau pertandingan domestik selain daripada ini.

“Perkara ini juga akan memberikan satu isyarat bahawa kita akan buat lebih banyak lagi program pembangunan dan program lain yang menjurus kepada kejayaan sukan sepak takraw,” katanya.

PROJEK MENAIKTARAF RUANG PEJABAT TINGKAT 2,TINGKAT 3,TINGKAT 4 DAN TINGKAT 5 DI BANGUNAN PENTADBIRAN,MAJLIS SUKAN NEGARA,BUKIT JALIL.

Tender adalah dipelawa daripada kontraktor Bumiputera yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) Kementerian Kerja Raya dalam Gred, Kategori dan Pengkhususan yang berkaitan dan yang masih dibenarkan membuat tawaran buat masa ini bagi kerja berikut:-

1. Bagi lawatan tapak atau sesi taklimat tender yang diwajibkan, hanya penama yang tercatat di dalam Sijil PPK, SPKK yang dibenarkan menghadiri lawatan tapak atau sesi taklimat berkenaan. Kontraktor /Syarikat tidak boleh mewakilkan pegawai selain daripada penama dalam PPK dan SPKK.


2. Dokumen tender akan dikeluarkan kepada wakil kontraktor yang sah sahaja. Untuk maksud ini, WAKIL kontraktor hendaklah membawa bersama Sijil Pendaftaran ASAL dan satu (1) salinan Perakuan Pendaftaran Kontraktor (PPK), Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK) Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia. Salinan-salinan Perakuan dan/ atau sijil yang berkaitan hendaklah diserahkan kepada Majlis Sukan Negara Malaysia dan tidak akan dikembalikan.


3. Dokumen tender boleh dibeli selepas taklimat di Bahagian Kewangan, Aras 4, Majlis Sukan Negara pada waktu pejabat sahaja mulai 26 Februari 2026. Harga dokumen tender adalah RM100.00 senaskah dan perlu dibayar secara bank draf/kiriman wang pos atas nama MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA. Sama ada tawaran diterima, gagal, ditawarkan semula ataupun tender ini dibatalkan, wang pembelian dokumen tidak akan dikembalikan.


4. Dokumen tender hendaklah DIBUKUKAN DENGAN SEMPURNA dan disusun mengikut senarai semak yang ditetapkan. Petender perlu mematuhi syarat-syarat yang terkandung di dalam arahan kepada penender. Jika dokumen tender yang dikemukakan didapati tidak mematuhi syarat-syarat tersebut, dokumen itu akan ditolak tanpa pertimbangan seterusnya.


5. Tender yang diterima selepas waktu dan tarikh tutup tidak akan dilayan. Pihak Majlis Sukan Negara Malaysia tidak terikat untuk menerima tender yang terendah atau tertinggi atau sebarang tawaran lain dan tidak akan memberi sebarang alasan kepada syarikat yang tidak berjaya.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi :
Bahagian Kewangan : Redzuanida (03-8992 9987) atau Zuwairi (03-8992 9999).

Iklan Tender