Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives February 22, 2026

Grace bertapa di China demi Sukan Asia

Kuala Lumpur: Ratu baling tukul besi wanita negara, Grace Wong memilih untuk ‘bertapa’ dalam tempoh jangka panjang di China sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Menurut Grace, dia memilih untuk berkampung di China kerana jurulatihnya, Gu Guan berada di sana dan itu akan memudahkan dirinya menjalani latihan berintensiti tinggi berbanding berlatih di Malaysia.

Katanya, teknik balingan sangat penting kerana ia akan membantu dirinya meningkatkan prestasi dari semasa ke semasa.

“Buat masa ini, saya tiada jurulatih khusus di Malaysia dan jurulatih saya berada di China. Bila berlatih di China, jurulatih saya boleh terus pantau dengan lebih dekat dan membetulkan teknik pada waktu itu juga.

“Kalau berlatih di sini, saya perlu hantar video atau membuat panggilan video untuk dilihat kekurangan saya sebelum mengenal pasti apa yang perlu diperbaiki. Perkara ini akan jadi lambat dan pasti sukar untuk saya meningkatkan prestasi ke tahap tertinggi,” katanya yang akan kekal di negara itu sehingga September depan.

Selain itu, atlet berusia 26 tahun itu juga bukan hanya menjalani latihan semata-mata, malah akan menyertai beberapa kejohanan terutama di China.

Bagi Grace, persaingan di negara itu cukup sengit kerana atlet mereka mampu melakukan balingan lebih jauh dan itu satu pendedahan awal yang cukup baik buat dirinya.

“Standard pertandingan di China jauh lebih tinggi dengan kebanyakan atlet mencatat balingan antara 70 hingga 78 meter (m).

“Di China, untuk masuk final pun sudah mencabar buat diri ini. Tapi itu bagus untuk saya kerana dapat bersaing dengan atlet terbaik dan meningkatkan prestasi,” katanya.

Untuk makluman, keputusan untuk berlatih di China bukan sesuatu yang baharu buat dirinya kerana sebelum ini dia turut pernah berlatih di sana.

Hasilnya, dia berjaya meningkatkan teknik balingan untuk meraih pelbagai kejuaraan termasuk pingat emas Sukan Sea Thailand hujung tahun lalu.

Dengan lontaran sejauh 65.41m, dia berjaya memecah rekod kebangsaan (63.53m) dan memadam rekod sendiri temasya dwitahunan itu, 61.87m yang dilakukannya di Phnom Penh 2023.

Syahir akui belum sebaris legenda Thailand

Kuala Lumpur: Tekong berpengalaman negara Muhammad Syahir Mohd Rosdi mengakui beliau masih belum mencapai tahap untuk berdiri sebaris dengan legenda sepak takraw Thailand Suebsak Phunsueb biarpun dinobatkan sebagai Tekong Terbaik Dunia.

Muhammad Syahir yang menerima pengiktirafan itu daripada Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) bulan lepas berkata perjalanan kariernya masih panjang, mengambil kira jumlah pungutan pingat emas dimiliki idolanya itu.

“Setakat ini saya belum capai lagi kerana jumlah pingat emas yang diperoleh masih belum cukup berbanding beliau. Kami tahu tekong Thailand itu memiliki banyak koleksi pingat emas termasuk pada Sukan Asia dan Sukan Sea.

“Jadi untuk mengatakan saya sudah sebaris dengannya, itu masih belum lagi,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Tekong utama skuad kebangsaan itu dianugerahkan Certificate of Distinguished International Excellence oleh ISTAF sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlangnya di pentas antarabangsa.

Menurut ISTAF, tekong berketinggian 189 sentimeter itu menerima sijil berkenaan susulan prestasi luar biasa sebagai Tekong Terbaik Dunia, khususnya selepas aksi cemerlang pada Piala Dunia 2024, Piala Asia 2025 dan Sukan Sea 2025.

Muhammad Syahir mengemudi kejayaan Malaysia dalam acara regu pada Piala Dunia 2024 dan Piala Asia 2025, selain memainkan peranan penting membantu skuad negara menamatkan penantian pingat emas selepas menewaskan musuh tradisi, Thailand dalam acara berpasukan dan regu pada Sukan Sea 2025.

Atlet berusia 29 tahun itu berkata sepanjang sembilan tahun bersama skuad kebangsaan, beliau berdepan pelbagai cabaran yang mematangkannya sebagai pemain.

“Saya lihat banyak cabaran yang saya dan pasukan hadapi. Untuk sampai ke tahap seperti sekarang bukan sesuatu yang mudah.

“Apabila sudah berada di tahap ini, kita perlu lebih berhati-hati, terus berusaha dan sentiasa berwaspada dengan pasukan lawan,” katanya.

Humaira buru emas di peringkat Asia, Dunia

Kuala Lumpur: Atlet poomsae taekwondo wanita negara, Nur Humaira Abdul Karim meletakkan sasaran tinggi bagi musim 2026 apabila akan memberi tumpuan penuh kepada Kejohanan Taekwondo Asia selain Kejohanan Poomsae Dunia.

Jelas Humaira, fokus tahun ini adalah kepada dua kejohanan itu dan dia memasang impian besar untuk menukar warna pingat yang dimenangi sebelum ini.

Katanya, biarpun tahun ini akan menyertai banyak pertandingan, namun dia tetap dengan misinya memburu kedudukan podium dan bersemangat untuk beraksi lebih baik dalam setiap kejohanan.

“Memang saya sasarkan kejohanan besar seperti Kejohanan Asia dan Kejohanan Dunia. Sepanjang saya beraksi di Kejohanan Dunia, saya ada dua pingat gangsa.

“Jadi tahun ini kalau boleh saya mahu naik podium atau capai kedudukan lebih tinggi,” katanya.

Untuk makluman, Humaira yang bergandingan bersama Jason Loo berjaya meraih pingat gangsa pada Kejohanan Dunia di Hong Kong pada edisi lalu.

Selain itu, penuntut Universiti Malaya itu juga optimis mereka mampu tampil dengan prestasi cemerlang biarpun akan ada perubahan dalam acara berpasukan wanita.