KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky mengakui jurang pengalaman masih menjadi faktor utama yang membezakan gandingan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dengan pasangan beregu lelaki lain di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Rexy berkata, meskipun Malaysia memiliki beberapa gandingan berpotensi, tahap kematangan dan keupayaan mengendalikan tekanan perlawanan berintensiti tinggi masih belum benar-benar seimbang, khususnya membabitkan pasangan muda.
“Jika dilihat, kita memang ada banyak gandingan dan ini bukan soal mahu dibandingkan dengan China atau negara lain. Namun, apabila bercakap mengenai pengalaman mengendalikan situasi sukar di gelanggang, jurang antara Aaron-Wooi Yik dan gandingan lain masih ketara.
“Aaron-Wooi Yik masih berada di tahap lebih tinggi. Man Wei Chong (gandingan Tee Kai Wun), kadang-kadang masih kurang keyakinan terhadap diri sendiri,” katanya.
Rexy berkata, kejohanan bertaraf Super 1000 seperti Terbuka Malaysia menghimpunkan hampir kesemua 10 gandingan terbaik dunia, sekali gus menuntut tahap konsistensi serta ketahanan mental yang tinggi daripada setiap pasangan.
Jurulatih berusia 57 tahun itu turut menjadikan persembahan pemain Korea Selatan sebagai contoh buat gandingan negara, khususnya keupayaan Seo Seung Jae yang kekal stabil walaupun berdepan tekanan dalam perlawanan penting.
“Walaupun dalam keadaan tertentu, kita boleh lihat Seo tetap bermain dengan tenang dan stabil. Inilah pengalaman yang perlu dipelajari oleh pemain kita, terutama pasangan muda seperti Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King.
“Saya harap pemain muda dapat mengambil peluang menonton perlawanan seperti ini untuk belajar, bukan sahaja dari segi permainan, tetapi bagaimana mengendalikan situasi di gelanggang,” katanya.
