Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Chong Wei dedah punca Pearly-Thinaah tewas mengejut di Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei mendedahkan beliau sudah memperoleh laporan awal berhubung kekalahan mengejut beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah pada pusingan kedua Terbuka Malaysia 2026.

Legenda perseorangan lelaki negara itu berkata, beliau sempat bertemu beregu ranking kedua dunia berkenaan selepas mereka tewas kepada pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari 24-26, 17-21, Khamis lalu.

Menurut Chong Wei, dalam pertemuan itu Pearly-Thinaah mengakui berdepan tekanan ketika beraksi di halaman sendiri, namun situasi berkenaan disifatkannya sebagai perkara biasa dalam dunia sukan berprestasi tinggi.

“Memang bukan semua pemain boleh bermain dengan baik di gelanggang sendiri. Ada yang boleh, ada yang tidak. Tetapi bermain di laman sendiri sebenarnya satu kelebihan kerana kita ada ramai penyokong di belakang.

“Saya sendiri kerap bermain di gelanggang sendiri. Kalau tanya saya, memang saya suka, tetapi pada masa sama tetap rasa takut. Perasaan itu sama sahaja,” katanya.

Chong Wei berkata, tekanan beraksi di hadapan penyokong tempatan sering menjadi lebih berat kerana pemain mahu menampilkan persembahan terbaik untuk negara dan diri sendiri.

“Bila bermain di negara sendiri, tekanan itu lebih berat di bahu kita. Apabila tertekan, kemahiran yang biasa dilakukan dengan santai boleh menjadi kaku. Pergerakan nampak lebih perlahan, bukan kerana kemampuan berkurang, tetapi badan merasai tekanan itu.

“Namun saya percaya situasi ini boleh diperbaiki dan kita boleh belajar bagaimana menanganinya dengan lebih baik pada masa depan,” katanya.

Pearly-Thinaah selepas ini dijadual meneruskan cabaran di Terbuka India yang membuka tirainya esok dengan bertemu beregu tuan rumah, Kavipriya Selvam-Simran Singhi pada pusingan pertama.

Dalam pada itu, Chong Wei berharap gandingan negara itu mampu bangkit di kejohanan berstatus Super 750 berkenaan dan tidak terus dibelenggu kekecewaan.

“Apabila gagal, saya tahu mereka rasa kecewa dan sebagai bekas atlet, saya faham perasaan itu. Saya cuma beritahu mereka, kalau mahu menangis atau marah, lepaskan sekarang.

“Esok adalah hari baharu. Kita fokus kepada kejohanan akan datang. Kita kalah satu perlawanan, tetapi yang penting kita tahu puncanya dan jangan ulangi kesilapan sama,” katanya.