Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Perseorangan negara, Kenneth Jonassen melihat Leong Jun Hao semakin matang dan terus meningkatkan prestasi dalam latihan untuk mendapatkan konsistensi yang lebih baik untuk dibawa ke perlawanan sebenar.
Jelasnya, Jun Hao adalah pemain yang baik serta mempunyai kemahiran semasa beraksi namun kadang kala tidak dapat mengekalkan konsistensi dan itu menjadi punca dia terlepas beberapa mata penting sekali gus tewas dalam perlawanan itu.
Namun, beliau menyatakan perubahan itu tidak boleh terjadi dengan pantas sebaliknya harus diteruskan dari semasa ke semasa kerana perkara sedemikian membabitkan diri sendiri dan perlu ada keinginan tinggi.
“Daripada apa yang saya lihat dalam latihan, dia perlahan-lahan mula menunjukkan perubahan positif. Dia mula menerima bahawa konsistensi dan usaha perlu datang daripada dalam dirinya sendiri. Tiada siapa boleh memikul tanggungjawab itu bagi pihaknya, dia perlu mencarinya dengan caranya sendiri.
“Sejak kembali daripada Sukan Sea (Thailand), saya melihat peningkatan yang agak memberangsangkan dalam latihan. Namun, perlu diingat bahawa ini membabitkan perubahan tabiat, dan ia tidak boleh berlaku dalam sekelip mata. Ia memerlukan peringatan serta komitmen berterusan setiap hari,” katanya.
Pada Terbuka Malaysia yang akan bermula Selasa ini, pemain di ranking ke-28 dunia itu akan bertemu wakil China, Wang Zheng Xing pada pusingan pertama di mana kedua-dua pemain tidak pernah bertemu sebelum ini.
Sebagai rekod, tahun lalu, pemain berusia 27 tahun itu turut bertemu lawan dari China, Lu Guang Zu di pusingan pertama sebelum tewas dalam pertarungan tiga set 17-21, 21-16, 13-21.
Selain Jun Hao, pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia turut akan membawa cabaran negara dan akan bertemu pemain muda India, Ayush Shetty di pusingan awal.
