Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives 2025

Farah Ain, Bonnie dinobat Atlet Terbaik SAM

Kuala Lumpur: Atlet boling padang negara, Nor Farah Ain Abdullah dan jaguh angkat berat para, Bonnie Bunyau Gustin dinobatkan selaku Atlet Terbaik dan Atlet Para Terbaik 2024 pada majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100 Plus yang berlangsung hari ini.

Farah Ain mengetepikan cabaran hebat daripada ratu tenpin boling, Sin Li Jane dan juara dunia wushu, Tan Cheong Min, selain dua calon lelaki iaitu pelari menara, Soh Wai Chin dan gandingan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Atlet berusia 24 tahun itu mencuri perhatian selepas meraih pingat emas acara individu wanita pada Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024 di Guernsey, Channel Islands, pada April tahun lalu.

Kejayaan Farah Ain sekali gus meneruskan dominasi boling padang negara selepas pasangan Nur Ain Nabilah Tarmizi-Aleena Ahmad Nawawi merangkul gelaran sama tahun lalu.

Pada Mei lalu, Farah Ain dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024 sekali gus muncul atlet boling padang wanita negara pertama meraih gelaran berkenaan.

“Saya sangat bersyukur, sekali lagi saya dapat mengangkat nama boling padang dan membuktikan bahawa sukan ini bukan calang-calang,” kata Farah Ain ketika ditemui selepas majlis penganugerahan yang disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Sementara itu, Bonnie akhirnya meraih gelaran Atlet Para Terbaik selepas dua kali tewas kepada jaguh badminton para, Cheah Liek Hou, hasil kejayaannya mempertahankan emas Paralimpik di Paris serta memecahkan rekod dunia dengan angkatan 232kg dalam kategori 72kg.

Bonnie menewaskan barisan calon lain iaitu jaguh lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli; pemegang rekod lompat jauh, Datuk Abdul Latif Romly dan pelari pecut, Eddy Bernard.

Bonnie bagaimanapun tidak dapat hadir dan dirinya diwakili oleh Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.

Selaku pemenang utama, Nor Farah dan Bonnie membawa pulang wang tunai RM10,000 serta trofi eksklusif sebagai penghargaan terhadap sumbangan mereka kepada arena sukan tanah air.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemenang. Pertandingan bagi setiap kategori tahun ini cukup sengit dan saya yakin semua keputusan dibuat dengan pertimbangan yang sewajarnya oleh jawatankuasa SAM. Saya juga gembira melihat ramai pemenang wanita tahun ini iaitu satu perkembangan yang cukup membanggakan,” kata Hannah.

PROGRAM PRIME MSN: MENTALITI JUARA BERPRESTASI TINGGI

Majlis Sukan Negara (MSN) telah melaksanakan Program PRIME: Mentaliti Juara Berprestasi Tinggi yang menghimpunkan seramai 19 orang Ketua Cawangan MSN dalam program pembangunan kepimpinan berimpak tinggi.

Dirangka secara interaktif, reflektif dan praktikal, program ini memberi penekanan kepada pembentukan minda berprestasi tinggi, kepimpinan strategik dan pengukuhan nilai peribadi dalam organisasi.

Pendekatan ini diyakini mampu melahirkan pemimpin pelapis yang berjiwa besar, inspiratif dan holistik bukan sekadar melaksanakan tugasan, tetapi membina pasukan serta memacu prestasi organisasi ke arah kecemerlangan berterusan.

Azeem turut tumpu acara 200m tahun depan

Kuala Lumpur: Sensasi pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi mendedahkan selain acara 100 meter (m), dia akan kembali memberi tumpuan sepenuhnya kepada acara 200m pada tahun depan.

Justeru itu, pelari berusia 21 tahun itu mahu menjadikan Kejohanan Universiti Dunia (WUG) di Rhine-Ruhr, Jerman dari 16 hingga 27 Julai ini sebagai medan untuknya mengasah kembali teknik lariannya dalam acara 200m.

Penuntut Universiti Auburn di Amerika Syarikat (AS) itu hampir mencetus sensasi pada April lalu di Kejohanan Olahraga Pepsi Florida Relays di AS apabila merekod catatan masa 20.79s ketika meraih kedudukan pertama dalam saringan keenam.

Catatan itu hanya 0.02 dipisahkan dengan rekod kebangsaan milik Russel Taib iaitu 20.77s yang dilakukan pada 2019.

“Saya kurang bersaing dalam acara 200m, tetapi awal musim ini saya berjaya lakukan 20.79s, hanya kurang 0.02s di belakang rekod kebangsaan milik Russel. Jadi saya tahu kemampuan saya.

“Saya hanya perlu bersabar dan tak perlu tergesa-gesa mengejar sesuatu sebab tahu kemampuan diri sendiri. Untuk acara 200m (di WUG), ia umpama ‘preview’ pada tahun depan.

“Sebab saya sudah berbincang dengan jurulatih iaitu pada tahun 2026, saya akan ‘all out’ beraksi dalam acara 100m dan 200m seperti ketika zaman di sekolah menengah apabila saya sentiasa berlari dalam kedua-dua acara itu.

“Jadi di WUG nanti adalah titik perubahan untuk saya selesa semula bertanding dalam 100m dan 200m di kejohanan sama,” kata pemegang rekod kebangsaan acara 100m dengan catatan 10.09s itu.

Pada saingan di WUG, selain kedua-dua acara riben biru itu, Azeem akan beraksi dalam acara 4x100m.

“Untuk acara lari berganti-ganti sangat menarik kerana kita mempunyai barisan pelari yang berada pada tahap terbaik ketika ini seperti Danish Iftikhar (Muhammad Roslee).

“Saya yakin dengan pasukan dan kami mungkin mampu melakukan sesuatu di WUG.

“Pada akhirnya, ia adalah acara berpasukan, jadi kami perlu saling percaya antara satu sama lain,” katanya.

PEMBELIAN BARANGAN PERUBATAN UNTUK AKDEMI BOLA SEPAK NEGARA MOKHTAR DAHARI (AMD) BAGI TAHUN 2025

Tawaran adalah dipelawa kepada syarikat-syarikat tempatan yang beroperasi di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Lembah Klang dan Negeri Pahang serta berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia yang masih sah tempohnya di bawah kod bidang seperti berikut :-

050102 – PERALATAN DAN KELENGKAPAN PERUBATAN

NO. SEBUT HARGA : MSN/SH/029/2025 (S)
TAJUK SEBUTHARGA : PEMBELIAN BARANGAN PERUBATAN UNTUK AKDEMI BOLA SEPAK NEGARA MOKHTAR DAHARI (AMD) BAGI TAHUN 2025
TARIKH BUKA : 11 JULAI 2025 (JUMAAT)
TARIKH TUTUP : 28 JULAI 2025 (ISNIN) 2024
SEBELUM PUKUL 12.00 TENGAHARI

Dokumen sebut harga boleh dimuat turun di laman ini. (Sila rujuk lampiran)

Dokumen sebut harga perlu dihantar bersama Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM), Sijil Akuan Pendaftaran dengan Kementerian Kewangan Sijil Pematuhan Cukai atau Tax Compliance Certificate (TCC) dan satu(1) salinan penyata bank syarikat yang terkini.

Dokumen sebut harga yang telah lengkap hendaklah dimasukkan ke dalam sampul surat yang bermeteri dan bertanda dengan No. Sebut Harga dan Tajuk di sebelah kiri atas sampul surat dan hendaklah dimasukkan ke dalam Peti Sebut Harga seperti alamat di bawah :

Lobi Aras 1 (Belakang) Bangunan Pentadbiran Majlis Sukan Negara Malaysia Kompleks Sukan Negara 57000 Bukit Jalil Kuala Lumpur

Dokumen sebut harga yang dikemukakan selepas tarikh dan masa tutup sebut harga tidak akan diterima.

Pihak syarikat yang memerlukan penjelasan lanjut hendaklah menghubungi pegawai berikut :-

Cik Norfarizan Noordin ( Urusetia Perolehan ) : 03-89929066
En. Mohd Yuzaidi Usop (Spesifikasi Pembekalan) : 03-89929719

Iklan

Akuan Pembida

Maklumat Penyebutharga

Spesifikasi

KBS sedia bantu Zii Jia – Hannah

Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersedia untuk membantu Lee Zii Jia sekiranya pemain badminton perseorangan lelaki profesional itu memerlukan sebarang bantuan termasuk sokongan mental dan rundingan pakar psikologi.

Menterinya Hannah Yeoh berkata sebarang usaha oleh KBS bagi membantu Zii Jia akan dilakukan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Beliau berkata KBS sememangnya menyediakan perkhidmatan dan sokongan dari ISN termasuk kepada pemain profesional bukan hanya untuk pemain di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“MSN dan ISN telah menghubungi Zii Jia, beliau juga ada nombor telefon saya selain mempunyai akses kepada kepada atlet-atlet senior yang lain dan Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin. Saya pun pernah jumpa Zii Jia sebelum ini untuk perbincangan Jawatankuasa Road to Gold (RTG).

“Jadi KBS memang bersedia untuk bantu Zii Jia sebaik yang mungkin jika beliau sudah bersedia untuk bercakap dengan kita,” katanya.

Hannah berkata demikian pada sidang media selepas persidangan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) di sini, hari ini.

Sebelum ini, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu mencetuskan tanda tanya mengenai tahap kesihatan mental beliau apabila memuat naik hantaran gambar lukisan yang berkemungkinan mempunyai unsur kemurungan di akaun Instagram.

RM1 juta lonjak pasukan e-sukan ke pentas dunia

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi pelaksanaan Malaysia Esports Accelerator Programme (MEAP) sebagai usaha memperkukuh kedudukan pasukan e-sukan tempatan di pentas antarabangsa.

Timbalan Menterinya, Adam Adli Abd Halim berkata, program berkenaan adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan untuk memperkasa bakat-bakat e-sukan negara agar mampu bersaing di peringkat global.

“Setakat ini, sebanyak RM1 juta diperuntukkan, membabitkan RM300,000 untuk fasa pertama, manakala baki RM700,000 akan disalurkan bagi pelaksanaan fasa kedua kelak.

“Peruntukan fasa pertama akan digunakan bagi pelaksanaan bengkel serta sokongan logistik kepada pasukan-pasukan terlibat,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran MEAP di Puchong, dekat sini, hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak sembilan pasukan dan pemain e-sukan tempatan diumumkan sebagai penerima dana sokongan berjumlah antara RM5,000 hingga RM40,000 untuk menyertai kejohanan antarabangsa merangkumi pelbagai kategori permainan.

Antara pasukan yang terpilih ialah Selangor Red Giants (SRG.OG), Homebois, dan Navi Esports bagi permainan Mobile Legends: Bang Bang, manakala Nova Esports, Black Shrew Esports, dan Alpha Gaming akan bersaing dalam dalam permainan Honor of Kings.

Kesemua pasukan terbabit dijadual menyertai Piala Dunia E-sukan yang sedang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi ketika ini.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF), Muhammad Naim Al-Amin berkata, pihaknya menyambut baik pelaksanaan program MEAP dan menyeru pasukan atau pemain yang layak supaya memanfaatkan peluang yang ditawarkan.

Menurut beliau, mana-mana individu atau pasukan yang akan menyertai kejohanan antarabangsa boleh mengemukakan permohonan kepada Esports Integrated (ESI) atau terus kepada pihak MESF bagi melibatkan diri dalam program berkenaan.

Tengku Zafrul tolak dakwaan Pearly-Thinaah terima bayaran lumayan

Kuala Lumpur: Isu membabitkan kontrak gandingan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah akhirnya terjawab apabila kedua-dua pemain itu menandatangani kontrak untuk kekal bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini.

Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa Pearly-Thinaah akan terus bersama badan induk berkenaan sehingga temasya Olimpik Los Angeles 2028, seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau menolak dakwaan kononnya pasangan beregu negara itu menerima bayaran mencecah RM2 juta setahun selain enggan mengesahkan bahawa pasangan itu menerima bayaran RM1 juta setahun seperti yang dilaporkan media sebelum ini.

Dalam sidang media khas di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri bagaimanapun enggan mendedahkan butiran perjanjian termasuk tempoh kontrak serta syarat-syarat lain yang dipersetujui kedua-dua pihak.

Menurut beliau, prestasi pasangan yang kini berada di ranking ketiga dunia itu akan terus dinilai dan tidak menolak kemungkinan mereka bakal menerima ganjaran tambahan sekiranya berjaya mencapai sasaran ditetapkan.

“Mereka sudah pun menandatangani kontrak hari ini pada jam 6.31 petang tadi. Saya amat yakin dan optimis dengan keputusan ini. Apa yang berlaku hari ini membuktikan kepercayaan BAM terhadap prestasi mereka.

“Terma kontrak tidak boleh dikongsi. Seperti juga kontrak dengan pemain-pemain lain sebelum ini, kami tidak pernah mendedahkan butiran perjanjian.

“Apa yang penting ialah mereka terus mengekalkan prestasi terbaik. Dan sudah tentu, kalau mereka capai lebih banyak kejayaan, mereka wajar menerima imbuhan sewajarnya,” katanya.

Dengan kemelut kontrak kini selesai, Pearly-Thinaah akan mengalih fokus kepada tiga kejohanan penting bermula Terbuka Jepun dari 15 hingga 20 Julai, diikuti Terbuka China dari 22 hingga 27 Julai, sebelum turun beraksi di Kejohanan Dunia di Paris, Perancis dari 25 hingga 31 Ogos depan.

Dalam pada itu Thinaah menghargai kepimpinan dan pengurusan BAM yang menyokong serta memahami situasi mereka.

“Ia bukan salah mana-mana pihak (melambatkan kontrak), tetapi jadual kejohanan kami yang sangat padat.

“Kami sangat lega, semua sudah selesai dan kini boleh fokus ke hadapan,” katanya.

Masa depan Pearly-Thinaah sebelum ini menimbulkan tanda tanya selepas belum menandatangani perjanjian baharu biarpun kontrak terdahulu berakhir pada Disember tahun lalu sekali gus mencetuskan spekulasi yang mengaitkan mereka akan bergerak secara profesional.

Sebagai rekod, dalam empat kejohanan terakhir, Pearly-Thinaah memperagakan prestasi cemerlang apabila menjuarai Terbuka Thailand, muncul naib juara Terbuka Indonesia, mara ke separuh akhir Malaysia Masters serta suku akhir Terbuka Singapura.

Pearly-Thinaah sah kekal bersama BAM

Kuala Lumpur: Isu yang membabitkan kontrak gandingan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah akhirnya terjawab apabila kedua-dua pemain itu menandatangani kontrak untuk kekal bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), tepat jam 6.31 petang tadi.

Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa Pearly-Thinaah akan terus bersama badan induk berkenaan sehingga temasya Olimpik Los Angeles 2028, seperti yang diumumkan sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau menolak dakwaan kononnya pasangan beregu negara itu menerima bayaran mencecah RM2 juta setahun seperti yang dilaporkan media sebelum ini.

KUNJUNG HORMAT AHLI PARLIMEN KUCHING, SARAWAK

Majlis Sukan Negara (MSN) telah menerima kunjungan hormat daripada YB Kelvin Yii, Ahli Parlimen Kuching, Sarawak di Ibu Pejabat MSN, Bukit Jalil.

Kunjungan ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan strategik dalam pembangunan sukan di negeri Sarawak.

Beliau telah disambut oleh YBrs. Encik Jefri Ngadirin, Ketua Pengarah MSN dan Puan Puah Pei Ling, Pengarah Bahagian Korporat.

MESYUARAT PERSIAPAN KONTINJEN MALAYSIA KE SUKAN SEA THAILAND 2025

Mesyuarat Persiapan Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA ke-33 di Thailand telah dipengerusikan oleh YBrs. Encik Jefri Ngadirin, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), bertempat di MSN, Bukit Jalil.

Mesyuarat ini diadakan bagi menyelaras tindakan dan merangka pelan kerja seragam demi memastikan penyediaan kontinjen negara berjalan dengan cekap, terancang dan menyeluruh menjelang temasya yang akan berlangsung pada 9 hingga 20 Disember 2025.

Turut hadir sama, Ketua Kontinjen Malaysia, Puan Nurul Huda Abdullah, bersama Timbalan Ketua Kontinjen, Encik Nazmizan Mohammad dan Encik Jivan Mohan.

Majlis Sukan Negara Malaysia