Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives 2025

Nurul Huda ketuai kontinjen ke Thailand dibantu tiga timbalan

Kuala Lumpur: Legenda renang negara, Nurul Huda Abdullah, diberi mandat mengemudi kontinjen Malaysia selaku Ketua Kontinjen (CDM) ke temasya Sukan Sea ke-33 yang bakal berlangsung dari 9 hingga 20 Disember depan di Bangkok, Chonburi dan Songkhla, Thailand.

Pelantikan Nurul Huda yang juga Naib Presiden baharu Majlis Olimpik Malaysia (MOM) diumumkan secara rasmi hari ini, sekali gus menyaksikan beliau bakal dibantu tiga Timbalan Ketua Kontinjen, Datuk Kenny Goh Chee Keong, Nazmizan Mohamad dan Jivan Mohan.

Pemilihan barisan kepimpinan kontinjen negara kali ini dilakukan secara bersama antara MOM, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memastikan pengalaman dan kredibiliti individu terpilih mampu melonjak prestasi kontinjen negara di Thailand nanti.

Beliau mewakili Malaysia di Sukan Olimpik XXIV Seoul 1988 dan masih memegang rekod sebagai atlet Malaysia dengan kutipan pingat terbanyak dalam sejarah Sukan Sea dengan jumlah 32 pingat, terdiri daripada 22 emas, 8 perak dan 2 gangsa dalam tiga edisi berturut-turut iaitu 1985, 1987 dan 1989.

Beliau juga kekal sebagai satu-satunya perenang wanita Malaysia yang pernah memenangi pingat di Sukan Asia, dua pingat perak dan dua gangsa di Sukan Asia ke-10 Seoul 1986 malah turut pernah dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan selama lima tahun berturut-turut dan diiktiraf menerusi Trofi IOC bertemakan “Wanita dalam Sukan” pada 1987.

Kini, beliau terus aktif dalam pembangunan sukan tanah air menerusi jawatan Penolong Setiausaha Kehormat Akuatik Malaysia sejak 2023, selain pernah menjawat jawatan Timbalan CDM ke Sukan Sea Filipina 2019 dan mengetuai Jawatankuasa Sukan Selamat KBS sejak tahun lalu.

Sementara itu, Kenny yang kini Setiausaha Agung BAM dan Badminton Asia, serta Ahli Majlis Persekutuan Badminton Dunia (BWF), berpengalaman luas dalam pentadbiran sukan sejak era 2000-an dan pernah menyandang jawatan Pengurus Besar BAM pada 2006.

Turut disenaraikan, Nazmizan, bekas raja pecut negara yang pernah mencipta gemilang dengan meraih emas acara 100m dan 200m di Sukan Sea 2003 serta layak ke Olimpik Athens 2004, kini berkhidmat di Kementerian Pendidikan Tinggi.

Manakala Jivan, bekas pemain hoki negara, pernah menggalas cabaran Malaysia di Sukan Komanwel, Sukan Asia, Piala Sultan Azlan Shah serta Sukan Sea termasuk membantu skuad negara meraih emas di Myanmar 2013 dan Singapura 2015.

MOM yakin kombinasi hebat antara pengalaman selaku bekas atlet dan kemahiran dalam pentadbiran akan menjadi pencetus semangat buat kontinjen Malaysia untuk membawa pulang kejayaan bermakna dari bumi Thailand, hujung tahun ini.

RM1 juta lahir jaguh beruniform

Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus memperkasa pembangunan sukan tanah air dengan memperuntukkan RM1 juta melalui Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) bagi mencungkil serta memupuk bakat atlet dalam kalangan anggota badan beruniform.

Langkah itu dimuktamadkan menerusi Mesyuarat Penyelarasan Program Badan Beruniform yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bersama pegawai tertinggi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Penjara Malaysia (JPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Hannah berkata, sumbangan badan beruniform terhadap pembangunan sukan negara bukanlah perkara baharu, malah sudah terbukti menyumbang deretan pingat buat kontinjen negara dalam pelbagai temasya antarabangsa.

“Badan beruniform seperti ATM dan PDRM menjadi antara tonggak utama dalam sukan memanah dan menembak yang melahirkan ramai atlet bertaraf dunia.

“Malah atlet JBPM dan JPM juga aktif dalam pelbagai sukan di peringkat kebangsaan termasuk lawn bowl, sepaktakraw, berbasikal, hoki serta tinju,” katanya.

Antara pencapaian membanggakan termasuk pingat emas acara berpasukan compound wanita Kejohanan Memanah Piala Asia di Singapura menerusi Saritha Cham Nong (ATM), serta kejayaan Erma Firyana Saroji (PDRM) yang pernah memenangi emas di Sukan Komanwel 2018 dan gangsa di Kejohanan Dunia Lawn Bowls Indoor 2025 di Scotland.

Turut mencuri tumpuan ialah pasangan sepaktakraw Mohd Shaharil Aiman Halim (PDRM) dan Mohd Afifudin Mohd Razali (ATM) yang meraih pingat perak regu berpasukan di Kejohanan Sepaktakraw Piala Dunia 2024 di Kuala Lumpur, manakala Mohd Afifudin turut menghadiahkan emas menerusi acara quadrant di Piala Asia 2025.

KBS turut menyokong fokus JPM terhadap sukan petanque serta pembabitan JBPM dalam sukan pingpong, sekali gus seiring usaha memperluas pembangunan bakat atlet pelapis dalam kalangan anggota beruniform.

Pada masa sama, mesyuarat itu turut membincangkan beberapa cadangan baharu yang akan diperhalusi dari semasa ke semasa, antaranya pertimbangan untuk menambah sukan baharu seperti akuatik terbuka, pingpong dan sukan mendaki bagi penyertaan anggota badan beruniform.

Selain itu, turut dikaji semula ialah kemungkinan kontinjen badan beruniform kembali mengambil bahagian dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma), sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada atlet dari agensi berkenaan untuk bersaing di pentas kebangsaan.

Turut dibangkitkan ialah cadangan pelantikan atlet paralimpik ke dalam pentadbiran badan beruniform selaras dengan dasar satu peratus (satu peratus) pengambilan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam perkhidmatan awam, sebagai usaha memperkasa penyertaan inklusif dalam sektor itu.

MSN terus perkasa usaha wujudkan persekitaran sukan selamat

Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) menganjurkan program latihan khas untuk pegawai tumpuan utama Kod Sukan Selamat di sini dalam usaha memperkukuh inisiatif mewujudkan persekitaran sukan yang selamat.

MSN dalam kenyataan memaklumkan program latihan selama dua hari yang disertai 92 pegawai daripada 57 persatuan sukan kebangsaan itu dirasmikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim hari ini.

Menurut kenyataan itu, program berkenaan bermatlamat menyiapkan pegawai tumpuan utama yang bertanggungjawab menjadi ejen kesedaran dan menerapkan elemen pendidikan sukan selamat kepada atlet di pelbagai peringkat.

“Menerusi latihan ini, pengetahuan dan pemahaman pegawai-pegawai diperkasakan dalam aspek seperti mengenal pasti kesalahan dan risiko, tatacara pengelolaan aduan, pelapor kes serta aktiviti meningkatkan kesedaran dan mendidik penggiat sukan terhadap persekitaran sukan yang selamat.

“Ia selari dengan Rangka Kerja Sukan Selamat ditetapkan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang menekankan tanggungjawab kolektif daripada akar umbi sukan sehinggalah ke peringkat kebangsaan,” menurut kenyataan itu hari ini.

MSN memaklumkan pada masa sama, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan matlamat untuk terbentuknya jaringan yang cekap dan responsif dalam kalangan pegawai tumpuan utama supaya kesedaran terhadap sukan selamat meningkat dan insiden gangguan serta penderaan atlet berjaya dikurangkan dengan ketara.

Zaidatul kejar tiket Sukan Sea 2025

Kuala lumpur: Pelari pecut wanita negara Zaidatul Husniah Zulkifli tidak mahu tuntutan kerjaya bergelar jurulatih olahraga Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), mengganggu impiannya yang mahu membuat penampilan di temasya Sukan Sea 2025 di Thailand hujung tahun ini.

Atlet berusia 32 tahun yang turut dikenali dengan panggilan “Adik” berkata fokusnya kini, tertumpu kepada fasa pemulihan kecederaan ligamen kaki dialaminya sewaktu bertanding di Kejohanan Olahraga Asia (ATF) di Gumi, Korea Selatan, Mei lepas dalam usaha memburu tiket ke temasya sukan dwitahunan itu.

“Ia sedikit mencabar, sebab Adik pun dah bekerja jadi proses pemulihan mengambil masa sedikit.

“Saya sendiri tidak mengetahui mengenai kecederaan ini masa bertanding ketika itu. Bila balik sini, baru tahu ada koyakan pada ligamen kaki namun Adik tetap teruskan latihan perlahan-lahan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dia juga memaklumkan dalam rangka persiapan untuk menyertai kejohanan Terbuka Malaysia dalam masa terdekat sebagai persiapan untuk ke Sukan Sea 2025.

“Untuk sekarang ini fokus utama adik, tentu sekali Terbuka Malaysia sebab kita nak layak ke Sukan SEA dan yang paling penting nak perbaiki masa dari masa di Korea tempoh hari.

“Sebenarnya kalau berasaskan catatan masa tiga yang terbaik memang dah layak sepatutnya. Tapi kita masih nak lihat pada hujung-hujung sebelum nak kelayakan itu, mesti nak tengok keputusan yang terakhir,” katanya.

Zaidatul dalam pada itu berharap kembalinya jurulatih pecut negara dalam skuad kebangsaan Mohd Poad Kassim, dapat membantu beliau mengekalkan konsistensi.

“Sebagai atlet mesti kita mengharapkan jurulatih ada di sisi sebagai motivasi. Sebab kita sebagai pelari pecut ada teknik-teknik yang perlu ditambah baik dan kadangkala kita sendiri tidak tahu apa kesalahan dilakukan yang hanya dapat dikenal pasti jurulatih berpengalaman,” katanya.

Izzah rela jalani latihan sukar

Kuala Lumpur: Bintang berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yakin sekiranya dia mempunyai sifat ‘berani mati’ ketika berlumba, ia dapat membantunya menjadi pencabar utama dalam setiap pertandingan.

Jelasnya, menyedari kekurangan dari segi fizikal berbanding pelumba dari Eropah yang menjadi pemisah untuknya berada di atas podium, itu bukan bermakna dia perlu menyerah kalah begitu sahaja.

Sebaliknya, ketika ini Izzah Izzati sedang giat mempertingkatkan latihan terutama di beberapa bahagian otot kerana yakin usaha itu mampu menjadi salah satu faktor yang membolehkannya berada di kelompok hadapan.

“Secara peribadi, saya merasakan masih perlu mencari keberanian kerana ia sangat diperlukan bagi membolehkan saya memberikan cabaran kepada pelumba-pelumba elit yang terdiri daripada juara dunia dan sebagainya.

“Kalau boleh, saya memang nak berikan saingan sengit kepada mereka, tetapi dari segi teknikal, saya kena belajar daripada perlumbaan. Kadang-kadang, perlumbaan di Malaysia pun berguna juga untuk dipraktikkan di kejohanan besar,” katanya.

Selain itu, pelumba kelahiran Kedah itu berkata dirinya sudah bersedia untuk ‘didera’ bagi memastikan perubahan fizikal itu tercapai sebelum bertanding di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2025 di Santiago, Chile, dari 22 hingga 26 Oktober depan.

“Berhubung kayuhan, saya masih rasa benda sama. Mungkin perlu dapatkan lebih banyak ‘power’ dengan melakukan latihan di gimnasium, tetapi ia perlu dibuat secara langkah demi langkah,” katanya.

Jonathan tak kisah ‘berguru’ dengan mana-mana jurulatih

Kuala Lumpur: Pelari berpengalaman negara, Jonathan Nyepa berkata dirinya terbuka dan bersedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja jurulatih yang ditugaskan melatih pasukan pecut sebagai persiapan ke Sukan SEA Thailand, Disember nanti.

Baginya, apa yang penting ketika ini adalah meneruskan latihan untuk meningkatkan prestasi ke tahap lebih baik dan memberi tumpuan kepada jurulatih yang melatih mereka buat sementara waktu ini.

Tambahnya, sekiranya sudah ada pengesahan rasmi mengenai siapa pelatih pecut negara nanti, dia tetap akan memberi komitmen penuh dan mengikuti sistem yang digunakan kerana yakin setiap jurulatih ada caranya.

“Sekarang, saya ikut siapa jurulatih yang ada dalam program dan saya akan berlatih dengan mereka. Sekarang dengan jurulatih Amir (Izwan Tan Abdullah) sebab dia jaga semua atlet dalam program.

“Untuk saya, saya tidak kisah siapa yang jaga sekarang. Saya fokus kepada latihan yang diberikan. Saya pernah berlatih di bawah beliau sebelum ini dan tidak banyak perkara yang diubah,” katanya.

Mohd Poad Md Kassim antara calon diperkatakan yang akan ditugaskan menjaga atlet pecut negara dalam usaha mengulangi pencapaian Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, muncul juara 100 meter (m) menerusi Khairul Hafiz Jantan.

Selain itu, atlet berusia 29 tahun itu memaklumkan dirinya tetap fokus seperti biasa dan melakukan persiapan terbaik untuk menyertai kejohanan terdekat, Terbuka Malaysia.

“Sekarang, persiapan sejauh ini berjalan dengan lancar. Saya hanya fokus kepada latihan dan tengok mana kejohanan yang boleh disertai. Pertandingan terdekat ialah Terbuka Malaysia dan dijangka berlangsung bulan Ogos nanti,” katanya.

Jonathan akan memperkuatkan kuartet 4x100m di Thailand nanti bersama beberapa pilihan pelari pecut lain seperti Khairul Hafiz, Pengiran Aidil Auf Hajam dan Azeem Fahmi.

Pada Sukan SEA Kemboja 2023 lalu, dia bersama-sama rakan yang lain berjaya meraih pingat gangsa dengan catatan 39.36 saat (s). Untuk rekod, kuartet 4x100m negara antara pencabar utama dan berjaya meraih pingat dalam tiga edisi terakhir temasya dwitahunan itu.

1ST WUSHU TAOLU ASIAN CUP

Songyuan, Jilin, China

Event : Men’s Nanquan

Athlete : Bryan Ti Kai Jie

Overall Rank :

🥇Gold TPE

🥈Silver MAS

🥉Bronze BRU

Event : Women’s Daoshu

Athlete : Lee Jia Rong

Overall Rank :

🥇Gold HKG (9.666)

🥈Silver MAS (9.643)

🥉Bronze SGP (9.550)

Event : Men’s Jianshu

Athlete : Si Shin Peng

Overall Rank:

🥇Gold CHN (9.796)

🥈Silver MAC (9.693)

🥉Bronze MAS (9.670)

Event : Women’s Jianshu

Athlete : Pang Pui Yee

Overall Rank :

🥇Gold MAC (9.666)

🥈Silver VIE (9.663)

🥉Bronze MAS (9.650)

Event : Pair Taijiquan

Athlete : Wong Zi Hong / Sydney Chin Sy Xuan

Overall Rank :

🥇Gold JPN (9.700)

🥈Silver MAS (9.653)

🥈Silver SGP (9.653)

Event : Men’s Qiangshu

Athlete : Si Shin Peng

Overall Rank :

🥇Gold CHN (9.783)

🥈Silver MAS (9.670)

🥉Bronze PHI (9.623)

Event : Women’s Qiangshu

Athlete : Pang Pui Yee

Overall Rank :

🥇Gold CHN (9.773)

🥈Silver MAS (9.673)

🥉Bronze JPN (9.670)

Event : Men’s Gunshu

Athlete : Clement Ting Su Wei

Athlete : Muhammed Danish Aizad

Overall Rank :

🥇Gold MAS (9.676) Clement

🥈Silver MAS (9.573) Danish

🥉Bronze HKG (9.573)

Event : Women’s Nangun

Athlete : Tan Cheong Min

Overall Rank :

🥇Gold SGP (9.640)

🥈Silver MAS (9.563)

🥉Bronze MAC (9.540)

Event : Men’s Duilian

Athlete : Muhammad Danish Aizad / Si Shin Peng / Bryan Ti Kai Jie

Overall Rank :

🥇Gold INA (9.683)

🥈Silver HKG (9.670)

🥉Bronze MAS (9.663)

HARI SUKAN ATLET 2025

Buat julung kalinya, Majlis Sukan Negara menganjurkan Hari Sukan Atlet khas untuk wira dan wirawati negara di bawah Program MSN.

Dirasmikan oleh Ketua Pengarah MSN, Encik Jefri Ngadirin, program ini menghimpunkan lebih 350 orang atlet daripada Program Podium, Pelapis, Podium Para dan Pelapis Para dalam suasana penuh semangat dan kekitaan.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) En. Arrifin Mohd Ghani.

Hari Sukan Atlet 2025 bermula dengan penuh semangat melalui sesi zumba beramai-ramai sebagai pemanas badan diikuti dengan Fun Walk dan seterusnya atlet disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik :

⚽️ Penalty Shootout

🎨 Batik Transfer Challenge

🐛 Caterpillar Dice Dash

🤖 Roborace Points Hunt

💧 Mission: Water Flow

Lebih dari sekadar bersukan, inilah ruang untuk “recharge, reconnect & regroup” sebagai satu pasukan negara.

Terima kasih yang tak terhingga kepada Bubbles, 100PLUS, MILO dan Allianz Malaysia atas sokongan padu dalam menjayakan edisi pertama Hari Sukan Atlet 2025!

SESI LIBAT URUS CADANGAN PINDAAN AKTA MSN 1971 (AKTA 29)

Majlis Sukan Negara (MSN) telah menganjurkan sesi libat urus bersama pemegang taruh bagi membincangkan cadangan pindaan Akta Majlis Sukan Negara 1971 (Akta 29).

Sesi selama dua hari ini melibatkan seramai 57 peserta daripada pelbagai kementerian dan agensi sukan, bertujuan untuk meneliti semula Akta sedia ada agar terus relevan dan selari dengan keperluan semasa ekosistem sukan negara.

Penambahbaikan ini penting demi memacu pembangunan sukan negara secara lebih mampan dan inklusif.

Turut hadir sama YBrs. Encik Jefri Ngadirin, Ketua Pengarah MSN dan YBrs. Encik Arrifin Mohd Ghani, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), MSN.

KERJA-KERJA MEMBEKAL, MENUKAR DAN MEMASANG BAGI PPENGANTIAN TANGGA DI AKADEMI BOLA SEPAK MOKHTAR DAHARI, GAMBANG, PAHANG UNTUK MSNM

Tawaran adalah dipelawa kepada Kontraktor-Kontraktor Bumiputera yang berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bagi Negeri Pahang untuk Gred G1, Kategori CE Pengkhususan – Pembinaan Kejuruteraan Awam Kod CE21- Kerja-kerja Am Kejuruteraan Awam dan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Negeri Pahang serta pendaftarannya masih berkuatkuasa.

NO. SEBUT HARGA : MSN/SH/017/2025 (SK)
TAJUK SEBUT HARGA : KERJA-KERJA MEMBEKAL, MENUKAR DAN MEMASANG BAGI PPENGANTIAN TANGGA DI AKADEMI BOLA SEPAK MOKHTAR DAHARI, GAMBANG, PAHANG UNTUK MSNM
TARIKH BUKA : 4 JULAI 2025 (JUMAAT)
TAKLIMAT : 8 JULAI 2025 (SELASA/12.00 TENGAH HARI)
& LAWATAN TAPAK BANGUNAN PENTADBIRAN AMD GAMBANG
TARIKH TUTUP : 16 JULAI 2025 (RABU)
SEBELUM PUKUL 12.00 TENGAHARI

Dokumen sebut harga boleh dimuat turun di laman ini. (Sila rujuk lampiran). Kehadiran semasa sesi taklimat dan lawatan tapak adalah diwajibkan. Pihak kontraktor juga diwajibkan membawa salinan lesen dan cop syarikat semasa lawatan tapak tersebut.

Dokumen sebut harga perlu dihantar bersama Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM), Sijil Akuan Pendaftaran dengan Kementerian Kewangan Sijil Pematuhan Cukai atau Tax Compliance Certificate (TCC) dan satu(1) salinan penyata bank syarikat yang terkini.

Dokumen sebut harga yang telah lengkap hendaklah dimasukkan ke dalam sampul surat yang bermeteri dan bertanda dengan No. Sebut Harga dan Tajuk di sebelah kiri atas sampul surat dan hendaklah dimasukkan ke dalam Peti Sebut Harga seperti alamat di bawah :

Peti Sebutharga & Tender Lobi Aras 1 (Belakang) Bangunan Pentadbiran Majlis Sukan Negara Malaysia Kompleks Sukan Negara 57000 Bukit Jalil Kuala Lumpur

Dokumen sebut harga yang dikemukakan selepas tarikh dan masa tutup sebut harga tidak akan diterima.

Pihak syarikat yang memerlukan penjelasan lanjut hendaklah menghubungi pegawai berikut :-
Cik Norfarizan Noordin@Mustapha ( Urusetia Perolehan) : 03-89929066
En. Muhamad Faezal Md Noh ( Spesifikasi Teknikal) : 03-89929837

Iklan

Akuan Pembida

Maklumat Penyebutharga

Spesifikasi