Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives 2025

Tiga sukan dicadang dipertandingkan di SUKMA Selangor

SHAH ALAM: E-sukan, catur dan silambam antara sukan tambahan yang dicadang dipertandingkan pada penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 menerusi mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA, semalam.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, Mohd Najwan Halimi berkata, bagaimanapun ia akan dimuktamadkan selepas mesyuarat antara Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN).

“Semalam menerusi mesyuarat dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, kita mendengar laporan penganjuran SUKMA Sarawak dan kita juga membentangkan perancangan kita untuk SUKMA Selangor akan datang.

“Banyak perkara dipersetujui termasuk 28 sukan teras, cuma bagi sukan tambahan, ia belum dimuktamadkan. Antara sukan tambahan yang dicadangkan adalah e-sukan, catur dan silambam.

“Perbincangan perlu diadakan antara MSN negeri untuk meminta konsensus mereka berhubung sukan tambahan dan mengikut peraturan SUKMA, kita kena umumkan setahun sebelum kejohanan… jadi kita akan umumkan sebelum Ogos ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang media Selangor Havoc Raya Fest 2025 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Najwan berkata, kerajaan Selangor berkemungkinan akan mengubah lokasi penganjuran Para SUKMA yang sebelum ini dicadang diadakan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

“Pada mesyuarat semalam, dicadangkan ia dibuat di stadium yang lebih kecil kerana sukan Para SUKMA tak banyak yang mana terdapat 10 sukan tetap.

“Justeru kita nak buat dekat stadium yang lebih kecil, mungkin di stadium tertutup. Bagaimanapun, belum ada keputusan stadium mana,” katanya.

MAJLIS PELANCARAN DAN PENGUMUMAN LALUAN PETRONAS LTDL2025

Majlis pelancaran dan pengumuman laluan PETRONAS Le Tour de Langkawi 2025 telah disempurnakan oleh YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan bertempat di Menara KBS, Putrajaya.

Petronas ⁠LTdL tahun ini mengekalkan tema perlumbaan 2023/2024 iaitu ‘beat the heat’ dengan jumlah jarak keseluruhan 1,257.8 kilometer meliputi kesemua 12 negeri di Semenanjung.

Edisi ke-29 perlumbaan Petronas Le Tour de Langkawi 2025 yang akan berlangsung dari 28 September hingga 5 Oktober 2025 bermula di Pulau Langkawi dan berakhir di Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur.

Turut hadir sama, YB Adam Adli, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha KBS dan YBrs. Encik Abdul Rashid Yaakub, Ketua Pengarah MSN.

MESYUARAT JAWATANKUASA INDUK PETRONAS LE TOUR DE LANGKAWI 2025

Mesyuarat Jawatankuasa Induk Petronas Le Tour de Langkawi 2025 telah dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha KBS bertempat di Menara KBS, Putrajaya.

Mesyuarat ini bertujuan bagi menyelaras gerak kerja persiapan bersama semua Agensi yang terlibat dalam memastikan kelancaran penganjuran Petronas LTdL 2025.

Pada tahun ini, KBS melalui MSN dengan kerjsama Persatuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM) akan meneruskan penganjuran perlumbaan jelajah berbasikal LTdL bermula 28 September hingga 5 Oktober 2025.

Turut hadir sama, YBrs. Puan Chan Hong Jin, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS dan YBrs. En. Abdul Rashid Yaakub, Ketua Pengarah MSN.

Nurul Izzah teruja permulaan cemerlang musim 2025

Kuala Lumpur: Sensasi berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Asri teruja dengan permulaan cemerlang musim 2025 apabila mempertahankan gelaran juara keirin dan menggondol emas satu kilometer (km) ujian masa di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Velodrom Nasional, Nilai.

Lebih manis, kejayaan itu melengkapkan pencapaiannya di ACC kali ini dengan koleksi empat pingat – dua emas, satu perak dan satu gangsa.

Dia bukan sahaja memenangi emas dalam acara baharu untuk wanita iaitu 1km ujian masa, tapi turut mencipta sejarah apabila catatan 1 minit 06.229 saat (s) yang direkodkan adalah rekod baharu Asia memadamkan catatan 1:07.137s yang dilakukan dalam aksi kelayakan pada sebelah pagi semalam.

“Rasa sangat gembira dan bangga kerana berjaya mempertahankan gelaran juara keirin Asia.

“Tahun ini lebih istimewa kerana saya turut menang emas dalam acara 1km (ujian masa), memecahkan rekod kebangsaan dan Asia serta meraih perak serta gangsa dalam acara lain. Satu permulaan yang baik untuk 2025!” kata Izzah dalam satu hantaran di media sosialnya.

Pelumba berusia 22 tahun itu turut menzahirkan penghargaan kepada barisan kejurulatihan dan pengurusan yang sentiasa memberikan sokongan moral serta menyediakan fasiliti terbaik bagi memastikan kejayaannya.

“Saya tidak akan melupakan mereka yang sentiasa menyokong saya terutama keluarga dan rakan yang banyak memberi kata-kata semangat. Tanpa anda semua, saya tidak akan berada di tahap ini,” tambahnya.

Kejayaan itu mengukuhkan lagi status Nurul Izzah sebagai salah satu pelumba terbaik Asia ketika ini, sekali gus memberi petanda positif menjelang temasya lebih besar seperti Sukan Asia dan Sukan Sea yang akan datang.

Selepas ACC 2025, pelumba yang beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 itu dijangka akan meneruskan latihan intensif bersama skuad kebangsaan bagi menghadapi saingan lebih mencabar di Piala Negara-Negara di Konya, Turkiye bulan depan yang turut menjadi medan untuk memburu mata kelayakan ke Kejohanan Dunia.

Menerusi momentum cemerlang ini, Nurul Izzah kini berada pada landasan terbaik untuk terus mengukir nama dalam arena berbasikal trek Asia dan dunia, sambil terus mengejar impian untuk beraksi di pentas Olimpik buat kali kedua di Los Angeles pada 2028.

Hannah bincang program RTG bersama DinFei

Putrajaya: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sudah mengadakan pertemuan dengan beregu lelaki profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani bagi menerangkan program Road To Gold (RTG) selepas mereka sebelum ini tidak pernah menerima tawaran berkenaan.

Menurutnya, ramai pemain badminton negara sudah mengetahui mengenai program RTG dan pernah ditawarkan penyertaan, namun perkara itu tidak berlaku kepada Sze Fei-Izzuddin.

Ketika ditanya sama ada Sze Fei-Izzuddin berpeluang diserap ke dalam program RTG selepas menghuni ranking kedua dunia, Hannah menjelaskan keputusan dibuat berdasarkan prestasi semasa.

“Sebelum ini saya tidak berpeluang bertemu mereka (Sze Fei-Izzuddin) kerana mereka sentiasa menyertai kejohanan, tetapi sekarang mereka adalah pasangan No. 1 Malaysia dalam beregu lelaki.

“Mereka akan tahu sama ada masuk atau keluar daripada RTG berdasarkan ranking mereka.

“Semalam (kelmarin) saya bertemu mereka untuk menjelaskan bagaimana program RTG berfungsi serta mendengar cabaran yang mereka hadapi terutama selepas tidak lagi bersama BAM (Persatuan Badminton Malaysia),” kata Hannah selepas Majlis Pelancaran dan Pengenalan Laluan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di sini, hari ini.

Terdahulu, Hannah bertemu dengan beregu profesional negara itu di Menara KBS bagi membincangkan mengenai program RTG, semalam.

Sementara itu, Hannah turut memberi bayangan lebih ramai atlet profesional berpeluang menerima sokongan program RTG menerusi jawatankuasa baharu yang akan diumumkan bulan Mac nanti.

LTdL 2025 tanpa pendakian ke Genting Highlands, Bukit Fraser kembali

Putrajaya: Ketiadaan pendakian ke Genting Highlands buat kali kedua berturut-turut di Le Tour de Langkawi (LTdL) dalam laluan perlumbaan tahun ini tidak akan mencacatkan saingan berstatus ProSeries itu.

Menurut Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL, Emir Abd Jalal, keputusan itu dibuat berikutan kekangan kelulusan daripada pihak berkuasa serta faktor teknikal yang tidak dapat dielakkan.

“Kami memang mahu mengekalkan Genting Highlands sebagai sebahagian daripada laluan, tetapi disebabkan isu kelulusan dan faktor lain, kami terpaksa mencari alternatif.

“Bukit Fraser dipilih kerana ia masih menawarkan cabaran besar kepada pelumba,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran dan Pengenalan Laluan LTdL 2025 di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), hari ini.

Pada tahun ini, beberapa perubahan laluan dibuat dalam perlumbaan termasuk pendakian ke Bukit Fraser yang terakhir digunakan sebagai ‘Queen’s Stage’ pada 2008 dan 2015.

Laluan itu akan memberikan cabaran unik dengan pendakian sepanjang 27 kilometer (km) dan ketinggian maksimum 1,221 meter.

Emir menambah, walaupun ketiadaan Genting Highlands, perlumbaan tetap menjanjikan persaingan sengit dengan variasi cabaran termasuk laluan berbukit dan laluan turun yang mencabar.

Dalam perkembangan lain, penganjur turut mengesahkan penyertaan tiga pasukan World Team, tujuh pasukan ProTeam, 11 pasukan benua dan satu pasukan kebangsaan.

Keputusan itu dijangka akan menjadikan perlumbaan lebih kompetitif dan terbuka kepada pelbagai strategi taktikal.

Dengan cabaran berbeza serta ketiadaan pendakian Genting Highlands, perlumbaan kali ini dijangka lebih terbuka dan tidak akan memihak kepada pendaki tulen sahaja.

Perlumbaan edisi 29 tahun ini berlangsung sejauh 1,257.8km membabitkan lapan peringkat bermula dari Langkawi melalui 12 negeri di semenanjung dan berakhir di Menara Berkembar Petronas (KLCC) bermula 28 September sehingga 5 Oktober depan.

KEJOHANAN UCI 2025 ASIAN TRACK CYCLING CHAMPIONSHIP

FINAL 1 Km Time Trial

MB

EMAS – Khairul Hazwan & Khairul Adha (MAS) – 1:04.779

PERAK – Surachai & Jetsada (THA) – 1:06.255

GANGSA – Ahmad Ahlami & Luqman Daniel (MAS) – 1:07.186

WB

EMAS – Nur Suraiya & Farina Shawati (MAS) – 1:10.758

PERAK – Nur Azlia Syafinaz & Nur Fitrah (MAS) – 1:11.964

GANGSA – Zhuldyz & Polina (KAZ) – 1:13.921

MC1

EMAS – Muhamad Yusof Hafizi (MAS) – 1:16.297

PERAK – Mohamed Almarri (KSA) – 1:25.847

MC5

EMAS – Ahmad Zharif Ahmad Nazri (MAS) – 1:06.520

PERAK – Zuhairie Ahmad Tarmizi (MAS) – 1:06.626

GANGSA – Azimbek Abdullaev (UZB) – 1:08.868

MESYUARAT JAWATANKUASA TERTINGGI SUKAN MALAYSIA BILANGAN 12/2025

Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA Bilangan 12 telah dipengerusikan oleh YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan bertempat di Menara KBS, Putrajaya.

Tujuan mesyuarat ini adalah untuk membincangkan laporan pengelolaan SUKMA XXI Sarawak, pindaan peraturan, serta persediaan SUKMA XXII Selangor 2026 & SUKMA XXIII Kelantan 2028.

KEJOHANAN ASIAN TRACK CYCLING CHAMPIONSHIP 2025

Women Elite 1 Kilo

Keputusan Akhir

1. 🥇– MOHD ASRI, Nurul Izzah Izzati – MAS – 1:06.229

2. 🥈– LUO, Shuyan – CHN – 1:07.365

3. 🥉– HWANG, Hyeonseo – KOR – 1:07.690

Women Junior Elimination Race

Keputusan Akhir

1. 🥇– HUANG, Wen Xin – TPE

2. 🥈– NISHIHARA, Yuka – JPN

3. 🥉– ABDUL RAZAK, Intan Nur Irdrisha – MAS

CADANGAN KERJA-KERJA MEMBAIKPULIH SERTA BERKAITAN DI KAFETARIA ATLET TIME OUT MSN BUKIT JALIL UNTUK MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA

Tawaran adalah dipelawa kepada Kontraktor-Kontraktor Bumiputera yang berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk Gred G2, Kategori CE Pengkhususan – Pembinaan Kejuruteraan Awam Kod CE21 – (Kerja-kerja Am Kejuruteraan Awam) dan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) WP Kuala Lumpur serta pendaftarannya masih berkuatkuasa

NO. SEBUT HARGA : MSN/SH/002/2025 (SK)
TAJUK SEBUT HARGA : CADANGAN KERJA-KERJA MEMBAIKPULIH SERTA BERKAITAN DI KAFETARIA ATLET TIME OUT MSN BUKIT JALIL UNTUK MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA
TARIKH BUKA : 27 FEBRUARI 2025 (KHAMIS)
TAKLIMAT : 28 FEBRUARI 2025 (JUMAAT/10.30 PAGI)
& LAWATAN TAPAK KAFETARIA ATLET, CASA 3, MSN BUKIT JALIL
TARIKH TUTUP : 7 MAC 2025 (JUMAAT)
SEBELUM PUKUL 12.00 TENGAHARI

Dokumen sebut harga boleh dimuat turun di laman ini. (Sila rujuk lampiran). Kehadiran semasa sesi taklimat dan lawatan tapak adalah diwajibkan. Pihak kontraktor juga diwajibkan membawa salinan lesen dan cop syarikat semasa lawatan tapak tersebut.

Dokumen sebut harga perlu dihantar bersama Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM), Sijil Akuan Pendaftaran dengan Kementerian Kewangan Sijil Pematuhan Cukai atau Tax Compliance Certificate (TCC) dan satu(1) salinan penyata bank syarikat yang terkini.

Dokumen sebut harga yang telah lengkap hendaklah dimasukkan ke dalam sampul surat yang bermeteri dan bertanda dengan No. Sebut Harga dan Tajuk di sebelah kiri atas sampul surat dan hendaklah dimasukkan ke dalam Peti Sebut Harga seperti alamat di bawah :

Peti Sebutharga & Tender Lobi Aras 1 (Belakang) Bangunan Pentadbiran Majlis Sukan Negara Malaysia Kompleks Sukan Negara 57000 Bukit Jalil Kuala Lumpur

Dokumen sebut harga yang dikemukakan selepas tarikh dan masa tutup sebut harga tidak akan diterima.

Pihak syarikat yang memerlukan penjelasan lanjut hendaklah menghubungi pegawai berikut :-
Cik Norfarizan Noordin@Mustapha ( Urusetia Perolehan) : 03-89929066
En. Muhamad Faezal Md Noh ( Spesifikasi Teknikal) : 03-89929837

Majlis Sukan Negara Malaysia