Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives 2025

Tiada sasaran pingat buat pelumba trek negara di Konya

Kuala Lumpur: Barisan pelumba berbasikal negara dijangka berdepan laluan berliku apabila membuka kempen di Kejohanan Piala Negara-Negara di Konya, Turkiye, esok.

Ia kerana, ia satu-satunya kejohanan tahun ini bagi pelumba mengutip mata sebelum beraksi di Kejohanan Dunia yang akan bermula dari 15 hingga 19 Oktober di Santiago, Chile.

Justeru, ketua jurulatih berbasikal negara, Harnizam Basri tidak menetapkan sasaran tinggi dari segi kutipan pingat biarpun barisan pelumba negara berada di prestasi terbaik selepas beraksi di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Nilai dengan kejayaan meraih dua emas, dua perak dan tiga gangsa, baru-baru ini

Tegas Harnizam, biarpun tidak menolak peluang untuk pingat itu tetap terbuka, beliau mahu semua enam pelumba terus fokus untuk mempertingkatkan prestasi.

“Sukar untuk kita sasar pingat kerana pelumba Eropah berada di prestasi terbaik memandangkan mereka baru selesai kejohanan peringkat benua, sama seperti kita yang baru selesai ACC.

“Malah kejohanan Piala Negara-Negara ini satu-satunya peluang untuk semua pelumba mengukuhkan kedudukan dari segi ranking bagi membolehkan mereka beraksi di Kejohanan Dunia kelak.

“Jadi persaingan itu memang akan sangat sengit dan saya harap pelumba kita akan dapat buat catatan masa yang lebih baik berbanding ketika di ACC tempoh hari selain dapat mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir dalam acara keirin,” katanya.

Begitupun Harnizam difahamkan pelumba terbaik yang juga juara Olimpik dari Belanda Harrie Lavreysen tidak bertanding, tetapi hampir semua pelumba terbaik mereka yang lain akan hadir.

Turut dimaklumkan Great Britain dan Jepun akan menghantar penunggang terbaik mereka.

Skuad negara membuka tirai saingan dalam acara pecut berpasukan lelaki esok yang membabitkan Fadhil Zonis, Ridwan Sahrom dan Akmal Nazimi Jusena.

Shah Firdaus Sahrom yang akan beraksi dalam acara pecut individu dan keirin selepas itu.

Manakala bagi kategori wanita, Nurul Izzah Izzati Asri dan Nurul Alyssa Farid akan beraksi dalam acara keirin dan pecut individu.

Ketika ditanya tahap kecergasan Shah Firdaus, Harnizam memaklumkan pelumba kelahiran Johor itu sudah pulih daripada kecederaan lutut namun ada kalanya sakit itu masih terasa.

Begitupun, katanya, apa yang penting bagi Shah di Konya adalah mengutip seberapa banyak mata bagi memastikan dia terus berada di kedudukan 10 terbaik dunia dalam kedua-dua acara iaitu keirin dan pecut.

Kompleks Stadium Jalan Raja Muda bakal dinaik taraf – Sumali

Kuala Lumpur: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) memaklumkan kerja naik taraf perlu dilakukan bagi menjadikan kompleks Stadium Jalan Raja Muda di Kuala Lumpur sebagai Akademi Sepaktakraw Malaysia bertaraf dunia.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan memaklumkan perkara itu selepas melawat tapak kompleks berkenaan, hari ini yang memerlukan tempoh sekurang-kurangnya dua atau tiga bulan sebelum dapat digunakan sepenuhnya.

Katanya, antara yang perlu diberi keutamaan dalam kerja menaik taraf adalah dewan perlawanan, bilik penginapan serta fasiliti kelengkapan sukan yang lain.

“Alhamdulillah kita sudah dapat kompleks ini daripada ISN (Institut Sukan Negara). Dari tinjauan saya banyak yang perlu diperbaiki dan ditambah baik supaya ia lebih selesa.

“Kita perlu fikir bagaimana mahu bangunkan tempat ini sesuai dengan apa yang dimahukan, namun ia bergantung juga pada bajet dan saya sasar untuk rasmikan tempat ini sekitar Jun atau Julai.

“Masa itu nanti kita boleh lancarkan terus akademi bertaraf antarabangsa dan boleh dikenali sebagai ‘Home of World Sepak Takraw,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan di kompleks berkenaan, hari ini.

Untuk rekod, kompleks akan berada di bawah PSM sepenuhnya bermula 1 April depan dengan kontrak sewa selama sembilan tahun, sekali gus bakal menjadi ‘rumah’ baharu buat pasukan sepak takraw negara.

Dalam perkembangan sama, Sumali turut meletakkan sasaran untuk menjenamakan kompleks berkenaan dengan nama baharu dan ia dijangka dilancarkan serta beroperasi sepenuhnya pada Jun atau Julai tahun ini.

Prestasi beregu lelaki negara di Seluruh England di bawah paras sebenar

Kuala Lumpur: Keputusan pemain beregu lelaki di Seluruh England jelas bukan pencapaian terbaik, malah Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menyifatkan mereka beraksi di bawah paras sebenar.

Selepas beregu harapan Aaron Chia-Sooh Wooi Yik tewas, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang diharapkan sekurang-kurangnya melakar kejutan menamatkan kemarau kejuaraan yang kali terakhir dimenangi negara pada 2007 menerusi Koo Ken Kiat-Tan Boon Heong, turut mengucapkan selamat tinggal di seawal pusingan pertama.

Namun Rexy tidak menolak ia mungkin disebabkan perubahan program di bawah kendalian ketua jurulatih baharu, Herry Iman Pierngadi.

Justeru, memandangkan skuad beregu lelaki masih baru di bawah kendalian Herry, beliau menganggap masih terlalu awal untuk meletakkan harapan tinggi kepada pemain kerana ia mampu menambah tekanan.

“Ia memang keputusan yang kurang bagus untuk beregu lelaki kita. Saya akan menilai semula bersama Herry dan (Muhammad) Miftakh yang berperanan sebagai jurulatih skuad beregu lelaki negara.

“Tapi ia mungkin kerana perubahan dari segi program, jadi pemahaman daripada pemain masih belum sepenuhnya. Oleh itu, ia tidak dapat diaplikasikan sepenuhnya,” katanya.

Terdahulu, Aaron-Wooi Yik tewas 16-21, 21-16, 18-21 kepada beregu Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Soogard manakala Wei Chong-Kai Wun terpaksa akur dengan gandingan China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu apabila kalah 15-21, 8-21.

Manakala Wan Arif Arif-Yap Roy King yang membuat penampilan sulung mereka di Seluruh England disekat satu lagi beregu China, Huang Di-Liu Yang menerusi kekalahan 18-21, 21-16, 17-21.

Kegagalan tiga beregu negara itu selain terkandasnya dua lagi beregu profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin serta Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong bermakna, saingan dalam acara beregu lelaki kini hanya digalas oleh beregu profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani yang menjadi wakil tunggal ke pusingan kedua Seluruh England.

ITTF WORLD PARA FUTURE COSTA BRAVA 2025

GIRONA, SPAIN | 11 – 14 MAC 2025

Men’s Singles Class 11

Gold : Hara Hajime (JPN)

Silver : Jennahtul Fahmi Ahmad Jennah (MAS)

Bronze : Yamamoto Shunta (JPN) & Makajew Maciej (POL)

Women’s Singles Class 9-10

Gold : Alexandre Bruna (BRA)

Silver : Gloria Gracia Wong (MAS)

Bronze : Van T Holt Anniek (NED) & Migueles Maria (ESP)

Sze Fei-Izzuddin hidupkan harapan negara di Birmingham

Kuala Lumpur: Beregu profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tidak berdepan masalah mara ke pusingan kedua Seluruh England.

Pada aksi di Utilita Arena Birmingham hari ini, beregu nombor dua dunia itu menewaskan Kim Gi Jung-Kim Sa Rang dari Korea Selatan, 21-17-21-14 dalam tempoh 37 minit pada pusingan pertama.

Meskipun perlawanan hari ini dilihat mudah, Sze Fei tetap menganggap lawan memberikan tentangan sengit dan mereka berjaya melakukan p

“Perlawanan hari ini agak sengit tetapi kami berjaya melakukan beberapa pukulan dengan baik. Kami hanya mahu menikmati permainan dan cuba melakukan yang terbaik,” kata Sze Fei.

Sementara itu, Izzuddin menekankan aspek persiapan mental sebagai kunci kejayaan mereka.

“Kami hanya fokus pada persiapan mental dan strategi. Kami berasa teruja bermain di sini, dan kami mahu menikmati setiap perlawanan,” katanya.

Kemenangan itu menyaksikan Sze Fei-Izzuddin yang merangkul gelaran Terbuka India, Januari lalu menjadi wakil beregu lelaki pertama negara layak ke pusingan kedua selepas tiga lagi wakil termasuk bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tersingkir di pusingan pertama, semalam.

Satu lagi beregu lelaki profesional negara, Nur Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong turut tersingkir di pusingan pertama, hari ini selepas tewas di tangan gandingan Korea, Kang Min Hyuk-Ki Dong Ju 14-21, 12-21.

‘Lawan lebih baik berbanding kami’ – Tang Jie

Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengakui mereka gagal mempamer aksi konsisten yang menyaksikan mereka tersingkir seawal pusingan pertama saingan Seluruh England, hari ini.

Diletakkan selaku pilihan kedua kejohanan, Tang Jie-Ee Wei mempamer aksi mengecewakan apabila tumpas 21-19, 20-22, 11-21 di tangan gandingan ranking ke-110 dunia, Rehal Naufal Kusharjanto-Gloria Emanuelle Widjaja.

Kekalahan di Utilita Arena Birmingham itu pastinya mengecewakan kem negara kerana Tang Jie-Ee Wei antara sandaran utama untuk mara lebih pada kejohanan berprestij itu.

Tang Jie mengakui mereka gagal mengekalkan prestasi sebenar dan momentum yang konsisten sepanjang perlawanan.

“Lawan lebih baik berbanding kami. Kami cuba mencari jalan untuk mengatasi mereka tetapi mungkin tidak cukup konsisten,” kata Tang Jie kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sementara itu, Ee Wei turut mengakui prestasi mereka menurun dan memuji permainan cemerlang yang ditampilkan lawan.

“Prestasi kami menurun, mereka bermain sangat baik,” katanya.

Ini adalah kekalahan kedua berturut-turut Tang Jie-Ee Wei ke atas lawan berkenaan selepas turut kecundang di suku akhir Masters Orleans di Perancis, minggu lalu.

Azeem dalam radar wakili Malaysia di Universiade 2025

Kuala Lumpur: Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, berada dalam radar sebagai antara prospek utama untuk menggalas cabaran negara di Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2025 Rhine-Ruhr di Jerman, menurut Ketua Kontinjen Pasukan Datuk Prof Madya Ts Dr Mohd Hafiz Yusoff.

Namun beliau menjelaskan pemilihan akhir masih bergantung kepada perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN), bagi memastikan tiada konflik jadual dengan kejohanan lain selain mengambil kira prestasi dan tahap kecergasan semasa atlet.

“Muhammad Azeem memang antara dalam senarai calon, tetapi kami perlu melakukan verifikasi dan semakan dengan MSN bagi mengelakkan sebarang pertindihan jadual. Itu yang menjadi keutamaan kami.

“Jika prestasinya ok dan dia bebas daripada kecederaan, insya-Allah kita akan bawa pasukan terbaik ke Jerman tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), malam tadi.

Mohd Hafiz berkata Jawatankuasa Kontinjen Malaysia akan mengadakan bengkel pemilihan atlet bagi menyenarai pendek 60 atlet yang akan bertanding dalam tujuh daripada 19 acara yang dipertandingkan di Universiade 2025.

Malaysia akan mengambil bahagian dalam acara memanah, olahraga, badminton, terjun, gimnastik artistik, renang dan taekwondo.

“Sasaran dan pencapaian kontinjen akan diumumkan kemudian, kerana kami masih dalam proses pemilihan atlet dengan menilai prestasi semasa mereka berdasarkan input daripada MSN dan Pusat Kecemerlangan Sukan Universiti.

“Kos ke Jerman agak tinggi, jadi kami perlu membuat kajian dan hanya menyertai acara yang mempunyai potensi untuk menang. Kejohanan ini sangat kompetitif jadi kami mahu atlet terpilih mampu memberi saingan dan memperbaiki rekod,” katanya.

Mohd Hafiz berkata Malaysia bakal berdepan saingan sengit di kejohanan berstatus elit itu yang dijadual berlangsung dari 16 hingga 27 Julai ini.

Pearly-Thinaah teruskan kemaraan, Tang Jie-Ee Wei tumbang

Kuala Lumpur: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah berdepan detik getir sebelum meneruskan kemaraan ke pusingan kedua Seluruh England.

Pada aksi pusingan pertama hari ini, Pearly-Thinaah yang diletakkan selaku pilihan kelima kejohanan terpaksa berhempas pulas sebelum dapat menewaskan wakil Taiwan, Teng Chun Hsun-Yang Chu Yun 19-21, 21-15, 21-13 dalam tempoh 51 minit.

Berlangsung di Utilita Arena, Birmingham, Pearly-Thinaah yang tewas pada set pertama, kembali menyusun rentak permainan mereka untuk bangkit di set kedua dan penentuan.

Sementara itu, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei kandas seawal pusingan pertama Seluruh England.

Diletakkan selaku pilihan kedua kejohanan, Tang Jie-Ee Wei mempamer aksi mengecewakan apabila tumpas 21-19, 20-22, 11-21 di tangan gandingan ranking ke-110 dunia, Rehal Naufal Kusharjanto-Gloria Emanuelle Widjaja.

Kekalahan itu pastinya mengecewakan kem negara kerana Tang Jie-Ee Wei antara sandaran utama untuk mara lebih pada kejohanan berprestij itu.

Rachel lepasi pusingan pertama Terbuka Australia

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy negara Rachel Arnold bangkit daripada ketinggalan dua set sebelum menewaskan pemain Mesir, Nour Heikal pada pusingan pertama Terbuka Australia 2025 di Brisbane hari ini.

Nour, 21, memulakan saingan penuh bertenaga untuk mendahului dua set awal hasil kemenangan 11-7 dan 11-9.

Bagaimanapun, pemain Malaysia itu bangkit mempamerkan aksi penuh dominan, memenangi tiga set berikutnya 11-5, 11-6 dan 11-4 untuk memastikan kemaraan ke pusingan kedua.

“Saya agak gugup. Saya cuba untuk menyesuaikan diri dengan gelanggang, tetapi cukup berpuas hati dengan prestasi selepas itu.

“Saya senang hati mereka dapat mengatur semula acara ini (ditangguhkan sehari akibat Siklon Tropika Alfred) dan saya juga cukup gembira gelanggang kaca digunakan di sini. Saya rasa ini akan menjadi medan pertarungan yang baik untuk setiap orang di Brisbane,” katanya menerusi kenyataan Jelajah PSA hari ini.

Rachel akan bertemu Rowan Elaraby dari Mesir pada pusingan kedua esok, dengan pemain nombor 19 dunia itu mempunyai rekod 3-3 dalam pertembungan sesama mereka.

Sementara itu, pemain negara Ainaa Amani dan Aira Azman mengalami nasib sama selepas kalah perlawanan masing-masing.

Ainaa tewas kepada Marina Stefanoni dari Amerika Syarikat 9-11, 3-11, 8-11 dalam tempoh 28 minit, manakala Aira kalah di tangan Nicole Bunyan dari Kanada 9-11, 11-9, 11-4, 7-11, 8-11. – BERNAMA

Ujian awal gandingan beregu, quadrant – Ahmad Jais

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun menaruh harapan tinggi agar skuad beregu dan quadrant lelaki menampilkan prestasi terbaik pada Piala Dunia di Bihar, India, bermula 20 hingga 25 Mac ini.

Beliau berkata, kejohanan itu antara medan terbaik bagi menguji kekuatan pasukan Malaysia dan mengenalpasti apa yang harus dilakukan sebelum kejohanan Piala Asia di Kuala Lumpur pada Mei depan.

Selain itu, beliau tetap optimis pemain negara mampu menampilkan permainan seperti biasa meskipun perlu turun beraksi ketika berpuasa.

“Kejohanan ini amat penting kerana bakal menjadi penanda aras buat pasukan negara terutama pasukan lelaki yang bertanding dalam acara beregu dan quadrant.

“Saya mahu melihat sejauh mana tahap permainan mereka sebelum memilih barisan pemain terbaik bagi Piala Asia nanti.

“Kita sedar cabaran dalam bulan Ramadan pastinya lebih besar terutama dari segi tenaga semasa beraksi di siang hari.

“Namun, itu bukan alasan bagi pasukan kita untuk tidak memberikan yang terbaik di Bihar nanti,” katanya.

Oleh itu, Ahmad Jais meletakkan sasaran buat pasukan lelaki untuk melepasi cabaran saingan awal dahulu sementara pasukan wanita pula perlu berada dalam kelompok empat terbaik sebagai syarat layak ke Sukan Sea 2025.

Disebabkan itu, barisan jurulatih menyediakan latihan bersesuaian buat pemain agar setiap daripada mereka akan lebih bersedia daripada segi fizikal dan mental agar tidak terkejut ketika beraksi sebelum berbuka puasa.

“Kejohanan di Bihar (India) nanti tidak mengira waktu sama ada siang atau malam, jadi pemain perlu cepat membiasakan diri dengan peralihan jadual perlawanan dalam bulan Ramadan ini.

“Dari segi latihan, kita lebih fokus kepada sesi berat pada waktu malam selepas solat tarawih, manakala sesi pagi lebih kepada simulasi perlawanan yang menyerupai jadual pertandingan sebenar,” kata Ahmad Jais.

Majlis Sukan Negara Malaysia