Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives November 2025

Hoe Yean buru emas hatrik 200m gaya bebas di pentas Sukan Sea

Kuala Lumpur: Perenang negara, Khiew Hoe Yean mahu menjadikan Sukan Sea Thailand, bulan depan sebagai pentas untuk melakar sejarah peribadi iaitu memburu hatrik emas dalam acara 200 meter (m) gaya bebas selepas mendominasi dua edisi terdahulu di Hanoi dan Kemboja.

Mengakui persaingan semakin sengit, Hoe Yean, 23, menegaskan hasratnya itu bukan satu jaminan, namun tetap menjadi motivasi utama untuk terus memperbaiki setiap aspek perlumbaan menjelang temasya terbesar Asia Tenggara itu.

“Memang saya sangat harap dapat hatrik, tapi ia bukan sesuatu yang mudah kerana semua orang sedang berjuang dan saya sendiri perlu tingkatkan diri.

“Apa yang penting, saya nak dapatkan pingat untuk Malaysia dan banggakan kontinjen kita,” katanya.

Dijadual mengetuai cabaran skuad renang lelaki negara, Hoe Yean menjangka ancaman terbesar bukan datang daripada tuan rumah, Thailand, sebaliknya dari perenang Singapura dan Vietnam yang disifatkannya jauh lebih konsisten dalam acara jarak sederhana.

“Untuk Thailand memang mereka kuat, tapi bagi acara saya, Singapura dan Vietnam akan jadi pesaing utama.

“Jadi saya kena berhati-hati dengan dua negara ini,” katanya.

Dua tahun kebelakangan ini menyaksikan Hoe Yean muncul antara perenang terbaik negara terutama selepas kejayaan membawa pulang pingat gangsa dari Kejohanan Asia, situasi yang meletakkan tekanan tambahan terhadapnya apabila ramai meramalkan pingat emas seakan ‘wajib’ diraih olehnya berdasarkan prestasi semasa.

Namun anak muda itu kekal tenang sambil menjelaskan kunci prestasinya kini adalah sikap lebih matang dalam mengurus tekanan.

“Kalau saya tak fikir sangat pasal tekanan, semuanya okey. Jadi sekarang saya kena fokus nak nikmati perlumbaan saya. Itu yang paling penting.

“Fokus saya akan dialihkan sepenuhnya kepada latihan dalam minggu terakhir sebelum temasya, termasuk mengurangkan penggunaan media sosial ketika pertandingan,” katanya.

Di Thailand, Hoe Yean bakal mengambil bahagian dalam 200m dan 400m gaya bebas, selain beberapa acara berganti-ganti termasuk 4x100m gaya bebas, 4x200m gaya bebas dan 4x100m rampaian individu.

Ketika ditanya sasaran peribadinya, Hoe Yean menegaskan tumpuannya kini lebih kepada pembinaan diri ke arah tahap ‘kelas dunia’, termasuk memburu masa yang mampu membawa dirinya ke Sukan Olimpik berdasarkan ‘A cut’.

Kejuaraan di Australia jadi titik kebangkitan Tang Jie-Ee Wei

Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, semakin menampakkan kematangan permainan selepas menjuarai Terbuka Australia, semalam.

Ia adalah gelaran pertama mereka tahun ini selepas bergelar juara dunia, sekali gus membina keyakinan besar menjelang misi utama seterusnya, Sukan Sea di Thailand, bulan depan.

Menurut Ee Wei, kejayaan di Australia menjadi titik kebangkitan mereka untuk menamatkan musim ini dengan lebih agresif dan konsisten.

Berbekal keyakinan semakin kukuh, dia bersama Tang Jie kini bersedia mengalih fokus ke Sukan Sea Thailand sebagai sasaran utama sebelum mengharungi Kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF yang dijadualkan berlangsung di Hangzhou, China.

“Kami mahu kekalkan momentum ini. Sukan Sea akan jadi medan terbaik untuk uji mental dan fizikal kami, sebelum tutup musim dengan lebih cemerlang,” ujar pasangan itu dengan penuh tekad.

Tang Jie pula menyifatkan kemenangan itu hadir pada waktu terbaik selepas mereka melalui beberapa pertemuan sukar menentang pasangan sama sepanjang tahun.

Semalam, mereka bergelar juara selepas menumpaskan gandingan Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu, 21-16, 21-11 dalam masa 42 minit.

“Kami sudah jumpa mereka empat kali tahun ini dan tahu ia akan jadi perlawanan sengit.

“Tapi suasana di stadium kali ini dengan penyokong bersorak untuk kami, buat kami lebih bersemangat apabila mara ke final,” katanya.

Begitupun cabaran Tang Jie-Ee Wei yang kini menghuni ranking keempat dunia di Sukan Sea tidak mudah sekiranya tuan rumah menyenaraikan beregu utama mereka, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran.

Berdasarkan rekod pertemuan membabitkan kedua-dua pasangan itu, ia nyata memihak kepada Dechapol-Supissara yang memiliki kelebihan menang empat daripada lima pertemuan.

Malah Dechapol-Supissara kini mengungguli ranking nombor satu Jelajah Dunia selepas enam kali menjuarai siri Jelajah Dunia tahun ini.

PEMBELIAN PAKAIAN LATIHAN DAN PERTANDINGAN KE TEMASYA PARA ASEAN THAILAND 2025

Tawaran adalah dipelawa kepada syarikat-syarikat tempatan yang beroperasi di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang serta berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia yang masih sah tempohnya di bawah kod bidang seperti berikut :-

030101 – PAKAIAN SUKAN DAN AKSESORI

NO. SEBUT HARGA : MSN/SH/045/2025 (S)
TAJUK SEBUTHARGA : PEMBELIAN PAKAIAN LATIHAN DAN PERTANDINGAN KE TEMASYA PARA ASEAN THAILAND 2025
TARIKH BUKA : 21 NOVEMBER 2025 (JUMAAT)
TARIKH TUTUP : 28 NOVEMBER 2025 (JUMAAT)
SEBELUM PUKUL 12.00 TENGAHARI

Dokumen sebut harga boleh dimuat turun di laman ini. (Sila rujuk lampiran)

Dokumen sebut harga perlu dihantar bersama Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM), Sijil Akuan Pendaftaran dengan Kementerian Kewangan Malaysia, Sijil Pematuhan Cukai atau Tax Compliance Certificate (TCC) dan satu(1) salinan penyata bank syarikat yang terkini.

Dokumen sebut harga yang telah lengkap hendaklah dimasukkan ke dalam sampul surat yang bermeteri dan bertanda dengan No. Sebut Harga dan Tajuk di sebelah kiri atas sampul surat dan hendaklah dimasukkan ke dalam Peti Sebut Harga seperti alamat di bawah :

Lobi Aras 1 (Belakang) Bangunan Pentadbiran Majlis Sukan Negara Malaysia Kompleks Sukan Negara 57000 Bukit Jalil Kuala Lumpur

Dokumen sebut harga yang dikemukakan selepas tarikh dan masa tutup sebut harga tidak akan diterima.

Pihak syarikat yang memerlukan penjelasan lanjut hendaklah menghubungi pegawai berikut :-

Cik Norfarizan Noordin (Urusetia Perolehan ) : 03-89929066
En. Mohd Najib Hassan (Spesifikasi Pembekalan) : 03-89929948

Iklan

Akuan Pembida

Maklumat Penyebutharga

Spesifikasi

BENGKEL PEMERKASAAN SUKAN PARA & PARA SUKMA 2025

Bengkel Pemerkasaan Sukan Para dan Para SUKMA 2025 telah diadakan pada 16 hingga 19 November bertempat di Hotel Renai, Kota Bharu, Kelantan.

YBrs. Encik Jefri Ngadirin, Ketua Pengarah MSN telah mempengerusikan sesi libat urus bersama wakil-wakil Majlis Sukan Negeri, membincangkan hala tuju pembangunan sukan para serta persediaan menuju Para SUKMA 2026.

Bengkel ini menjadi platform penting untuk penyelarasan, perkongsian maklumat dan pengukuhan kerjasama strategik demi memperkasakan sukan para di seluruh negara.

LAWATAN CDM DAN DCDM KE PUSAT LATIHAN TEQBALL SEMPENA TEMASYA SUKAN SEA 2025, THAILAND

Lawatan rasmi Chef de Mission (CDM) Pn Nurul Huda Abdullah dan Timbalan Chef De Mission (DCDM) En Jivan Mohan ke pusat latihan pasukan teqball pada 18 November 2025 bertempat di Royal Chulan, Damansara.

Sesi lawatan diadakan bertujuan meninjau persiapan akhir pasukan menjelang temasya dwitahunan tersebut pada Disember.

KURSUS PEGAWAI PERLUMBAAN SUKAN PELAYARAN 2025

Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi Sekretariat Wanita dalam Sukan telah mengadakan Kursus Pegawai Perlumbaan Sukan Pelayaran 2025 telah berlangsung pada 15–17 November 2025 bertempat di Pusat Latihan Pelayaran Kebangsaan, Langkawi, Kedah.

Program selama 3 hari ini menghimpunkan 32 orang peserta dengan bimbingan dua tenaga pengajar berpengalaman En. Mohd Afendy Bin Abdullah, International Race Officer (IRO) dan En. Amran Bin Wahab, National Race Officer (NRO).

Sebagai salah satu inisiatif di bawah Program Wanita Dalam Sukan, kursus ini memberi penekanan khusus terhadap meningkatkan penglibatan wanita dalam bidang kepegawaian dan pengadilan sukan pelayaran, selaras dengan skop pembelajaran baharu sukan tersebut. Usaha ini merupakan komitmen berterusan dalam memperkasa wanita di arena sukan.

Hannah tabik Rosman

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memberi penghargaan kepada ketua jurulatih beregu badminton wanita negara, Rosman Razak, yang sekali lagi cemerlang membantu beregu utama negara, Pearly Tan-M Thinaah muncul juara Masters Jepun, semalam.

Menerusi hantaran di akaun media sosial miliknya, Hannah berkata, Rosman adalah antara watak penting kepada kejayaan Pearly-Thinaah, yang kini menduduki ranking kedua dunia.

“Kejayaan Pearly dan Thinaah di Masters Jepun adalah hasil usaha berpasukan, termasuk figura penting yang sentiasa berada di belakang mereka setiap kali beraksi, jurulatih Rosman Razak.

“Sejak mengambil alih tugas membimbing gandingan itu, Rosman menunjukkan prestasi cemerlang, dan usaha kerasnya turut dihargai menerusi kenaikan gaji yang diumumkan di bawah program Road To Gold pada Jun lalu.

“Pencapaian Rosman bersama Pearly-Thinaah membuktikan Malaysia mempunyai jurulatih berkualiti tinggi, dan mereka wajar diberikan pengiktirafan serta ganjaran setimpal dengan kemampuan mereka.

“Saya teruja untuk menyaksikan lebih banyak kejayaan daripada tiga individu ini yang benar-benar mencerminkan bakat, kerja keras dan perpaduan anak Malaysia,” katanya.

Pada aksi final semalam, Pearly-Thinaah menumbangkan wakil tuan rumah, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi 22-20, 21-19 dalam masa 54 minit.

Selain Masters Jepun, Pearly-Thinaah juga berjaya muncul juara di Terbuka Thailand dan Terbuka Artik di Finland selain muncul naib juara di Masters Indonesia, Terbuka Indonesia, Terbuka Jepun serta di Kejohanan Dunia 2025 dekat Paris, Ogos lalu.

Ketika ini, Pearly-Thinaah akan berehat seketika sebelum kembali ke gelanggang untuk Sukan Sea di Thailand (7-14 Disember) dan ke Jelajah Akhir BWF di Hangzhou, China dari 17 hingga 21 Disember.

Umaira pegang status Raja Pecut berganda

Kuala Lumpur: Pelari remaja negara, Muhammad Umaira Subri meneruskan kecemerlangannya apabila memenangi emas acara 200 meter (m) di Kejohanan Olahraga Bawah 18 dan Bawah 20 Tahun Asia Tenggara, hari ini.

Umaira yang berasal dari Langkawi melintasi garisan penamat dengan melakukan catatan peribadi terbaik 21.26 saat (s) pada kejohanan berlangsung di Medan, Indonesia itu.

Kemenangan ini sekali gus menyaksikan pelajar SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman (TATAR) itu meraih gelaran Raja Pecut berganda selepas dia memenangi acara 100m, semalam.

Umaira berjaya melakukan catatan 10.32 saat (s) untuk menjadi pelari pertama melepasi garisan penamat mengalahkan rakan senegara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee yang meraih perak dengan catatan 10.38s.

Malaysia turut mendominasi acara lompat jauh lelaki B-18 apabila meraih pingat emas serta perak.

Ahmad Hulaif berjaya merangkul pingat emas dengan lompatan 6.94m, manakala Mohamed Darwisy memenangi pingat perak dengan catatan 6.91m.

Sementara itu, Sasha Alyssa menghadiahkan Malaysia pingat perak dalam acara lempar cakera wanita B-18 dengan lontaran sejauh 41.46m.

Turut menyumbang perak adalah Jorez Puang Yi Jun dalam acara lontar peluru lelaki B-18 dengan lontaran sejauh 16.75m.

Atlet lompat jauh lelaki B-20, Adam Haqimi juga menghadiahkan pingat perak selepas melakukan lompatan sejauh 7.25m.

MSN jelaskan kos tanggung sendiri dipersetujui PMM

Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) sekali lagi menegaskan Persatuan Sukan Kebangsaan yang memohon untuk menghantar atlet mereka di bawah Kategori B pada Sukan Sea Thailand bulan depan sudah menyatakan persetujuan dan kesediaan untuk menanggung semua kos penyertaan itu.

Justeru, menjawab isu membabitkan atlet mendaki negara, Mohd Izzat Shokor yang terpaksa menanggung sendiri kos penyertaan ke temasya dwi tahunan itu, MSN dalam satu kenyataan berkata, sukan mendaki dibenarkan untuk menyertai Kontinjen Malaysia ke Thailand mengikut Kategori B kerana tiada atlet individu yang berada dalam ranking tiga terbaik di Asia Tenggara dan Persekutuan Mendaki Malaysia (PMM) sudah bersetuju dengan syarat pembiayaan itu.

“Namun perlu ditegaskan bahawa MSN sebelum ini mengenalpasti sukan mendaki untuk diletakkan dalam inisiatif Program Khas LA 2028 dan meluluskan peruntukan RM200,000 kepada PMM bagi kos latihan dan penyertaan atlet ke kejohanan-kejohanan untuk meningkatkan ranking dunia mereka pada tahun ini.

“Peruntukan ini juga boleh digunakan untuk membiayai kos persediaan latihan atlet ke Sukan Sea kali ini.

“MSN sentiasa komited untuk menyokong semua sukan yang berpotensi menghasilkan pencapaian terbaik di peringkat tertinggi, termasuklah sukan mendaki, dan sudah mengadakan perbincangan bersama PMM untuk persediaan atlet ke Sukan Sea Thailand kali ini,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan luahan Mohd Izzat yang terpaksa menanggung kos penyertaan mencecah RM4,500 seorang selain ketiadaan latihan berpusat, sekali gus menjejaskan persiapan awal untuk ke sukan Sea, bulan depan.

Atlet berusia 33 tahun itu terpaksa mengurus sendiri jika mahu menyertai pertandingan di temasya dwi tahunan itu sekali gus memberi tekanan kepada dia dalam usaha menyumbang pingat buat negara.

Namun, Timbalan Presiden PMM, Akbal Amin Asain mengesahkan bahawa Izzat bukan dalam program khas LA28 dan pemilihan dia berdasarkan senarai akhir yang dikemukakan kepada MSN serta Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Beliau juga berkata, PMM sedang berusaha keras mencari dana tambahan supaya beban kewangan atlet dapat dikurangkan menjelang Sukan Sea nanti.

MSN menerusi ketua pengarahnya Jefri Ngadirin pula memberitahu bahawa sudah menyalurkan dana RM200,000 kepada PMM tahun ini, dan pengurusan dana sepenuhnya adalah tanggungjawab persatuan.

Deaflympics 2025: Edmund-Wei Ying tumpaskan beregu Korea dalam 32 minit

Tokyo: Beregu campuran negara Edmund Teo-Boon Wei Ying hanya memerlukan 32 minit untuk menumpaskan pasangan Korea Selatan dengan kemenangan straight set pada pusingan kedua Kumpulan C di temasya Deaflympics 2025 di sini hari ini.

Turun sebagai pilihan keempat kejohanan, pasangan Edmund-Wei Ying menundukkan Jeong Jincheol-Park Soyi 21-14, 21-19 pada aksi di Keio Arena Tokyo.

Mereka akan menamatkan saingan kumpulan dengan menentang beregu Turki Muhammed Sert-Elif Sahra Demirel esok dalam usaha mengukuhkan kedudukan di tangga teratas kumpulan bagi melangkah ke pusingan seterusnya.

Wei Ying berkata, strategi yang sentiasa dibincangkan bersama Edmund menjadi kunci untuk menghadapi pelbagai cabaran, sekali gus memastikan impian mereka menjejak ke final menjadi kenyataan.

“Cabaran banyak datang dari negara seperti Korea Selatan, China dan India. Semua itu memberikan cabaran yang hebat tapi kita dah buat persiapan untuk menghadapi apa jua yang menghalang.

“Sebabnya apa yang terbaik, kita buat latihan, susah sama-sama dan menang bersama,” katanya menerusi jurubahasa isyarat kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, satu lagi beregu campuran negara R Aravindakumara-Foo Zu Tung menumpaskan beregu Turkiye, Dogukan Yilmaz-Nalan Kaygin, 21-8 dan 21-12 pada pusingan pertama Kumpulan D.

Bagaimanapun, Aravindakumara-Zu Tung tumpas kepada beregu Taiwan, Chen Chung-I-Shen Yan-Ru pada pusingan kedua dengan esok, pasangan Taiwan itu akan bertemu Dogukan-Nalan untuk melengkapkan aksi kumpulan.

Ketika ini, pasangan Malaysia berada di tangga kedua kumpulan.

Mengikut format pertandingan acara perseorangan dan beregu, kejohanan dibahagikan kepada tiga peringkat utama, peringkat awal, peringkat kalah mati dan peringkat kedudukan.

Pada peringkat awal, setiap pemain atau pasangan dibahagikan kepada kumpulan yang mengandungi tiga hingga empat peserta dengan setiap peserta akan bertemu semua lawan dalam kumpulan masing-masing sebanyak sekali.

Dua pemain atau pasangan terbaik daripada setiap kumpulan akan mara ke peringkat kalah mati dan hanya pemenang perlawanan akan melangkah ke pusingan seterusnya.

Akhir sekali pada peringkat kedudukan, pemain atau pasangan akan disenaraikan mengikut ranking rasmi badminton Jawatankuasa Antarabangsa Sukan Untuk Orang Pekak (ICSD).