Kuala Lumpur: Malaysia melalui petang yang perit apabila tewas 0-6 kepada Belanda dalam aksi Kumpulan E Piala Dunia Hoki Remaja di Stadium Hoki Antarabangsa Madurai, hari ini.
Belanda membuka rentak seawal minit kesembilan menerusi jaringan padang Casper van der Veen, yang turut menambah satu lagi gol hanya seminit kemudian.
Tekanan semakin memuncak apabila Joppe Wolbert meledak dua gol berturut-turut pukulan sudut penalti (20′) dan penalti stroke (21′), sebelum Thies Bakker (28′) serta Tjeerd Boermans (42′) melengkapkan dominasi wakil Eropah itu.
Malaysia, yang mencatat kemenangan meyakinkan 5-1 ke atas Austria semalam, gagal menemui intensiti sama ketika berdepan ketepatan gerakan dan organisasi Belanda di setiap zon permainan.
Barisan muda negara di bawah kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin bergelut mengimbangi tempo tinggi lawan, khususnya pada transisi bertahan yang beberapa kali membuka ruang luas di dalam kawasan sendiri.
Aksi ini juga memperlihatkan keperluan Malaysia lebih tajam dalam pengurusan bola di tengah padang, selain memastikan pertahanan kekal kompak ketika mengekang gerakan serangan Belanda yang bertenaga.
Malaysia kini berdepan tugasan wajib menang ke atas England Selasa ini bagi memastikan peluang mara ke suku akhir terus hidup dalam saingan terakhir peringkat kumpulan.
Jika menang sekali pun Malaysia perlu menempatkan diri dalam kalangan dua pasukan terbaik tempat kedua daripada lima kumpulan, atau hanya beraksi di penentuan kesembilan hingga ke-16.
