Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) sekali lagi menegaskan Persatuan Sukan Kebangsaan yang memohon untuk menghantar atlet mereka di bawah Kategori B pada Sukan Sea Thailand bulan depan sudah menyatakan persetujuan dan kesediaan untuk menanggung semua kos penyertaan itu.
Justeru, menjawab isu membabitkan atlet mendaki negara, Mohd Izzat Shokor yang terpaksa menanggung sendiri kos penyertaan ke temasya dwi tahunan itu, MSN dalam satu kenyataan berkata, sukan mendaki dibenarkan untuk menyertai Kontinjen Malaysia ke Thailand mengikut Kategori B kerana tiada atlet individu yang berada dalam ranking tiga terbaik di Asia Tenggara dan Persekutuan Mendaki Malaysia (PMM) sudah bersetuju dengan syarat pembiayaan itu.
“Namun perlu ditegaskan bahawa MSN sebelum ini mengenalpasti sukan mendaki untuk diletakkan dalam inisiatif Program Khas LA 2028 dan meluluskan peruntukan RM200,000 kepada PMM bagi kos latihan dan penyertaan atlet ke kejohanan-kejohanan untuk meningkatkan ranking dunia mereka pada tahun ini.
“Peruntukan ini juga boleh digunakan untuk membiayai kos persediaan latihan atlet ke Sukan Sea kali ini.
“MSN sentiasa komited untuk menyokong semua sukan yang berpotensi menghasilkan pencapaian terbaik di peringkat tertinggi, termasuklah sukan mendaki, dan sudah mengadakan perbincangan bersama PMM untuk persediaan atlet ke Sukan Sea Thailand kali ini,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, Arena Metro melaporkan luahan Mohd Izzat yang terpaksa menanggung kos penyertaan mencecah RM4,500 seorang selain ketiadaan latihan berpusat, sekali gus menjejaskan persiapan awal untuk ke sukan Sea, bulan depan.
Atlet berusia 33 tahun itu terpaksa mengurus sendiri jika mahu menyertai pertandingan di temasya dwi tahunan itu sekali gus memberi tekanan kepada dia dalam usaha menyumbang pingat buat negara.
Namun, Timbalan Presiden PMM, Akbal Amin Asain mengesahkan bahawa Izzat bukan dalam program khas LA28 dan pemilihan dia berdasarkan senarai akhir yang dikemukakan kepada MSN serta Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Beliau juga berkata, PMM sedang berusaha keras mencari dana tambahan supaya beban kewangan atlet dapat dikurangkan menjelang Sukan Sea nanti.
MSN menerusi ketua pengarahnya Jefri Ngadirin pula memberitahu bahawa sudah menyalurkan dana RM200,000 kepada PMM tahun ini, dan pengurusan dana sepenuhnya adalah tanggungjawab persatuan.
