Tokyo: Kem olahraga Malaysia mendapat suntikan moral awal pada Deaflympics 2025 apabila Raja Pecut Pekak Asia Tenggara Muhammad Zamir Azman dan rakan sepasukan Hazrul Shah Hamri mara ke separuh akhir 100 meter (m) lelaki di Stadium Komazawa Metropolitan di sini hari ini.
Kedua-dua atlet yang membuat penampilan pertama pada temasya berprestij itu tidak menamatkan saingan saringan masing-masing dalam kelompok dua terbaik, namun tetap mara selepas muncul antara lapan pelari terpantas untuk ke pusingan seterusnya.
Muhammad Zamir ketika ditemui mengakui sedikit terleka ketika menunggu isyarat lampu, sekali gus menyebabkan dia ‘terkeluar’ daripada blok permulaan lebih lambat daripada kebiasaan.
“Kalau ikutkan di Jakarta, rekod saya 11.06s sebab dalam cuaca Khatulistiwa memang dari segi faktor badan saya tapi di sini sejuk.
“Saya rasa cabaran akan datang daripada atlet Amerika Syarikat, Jepun dan Estonia tapi tetap akan lakukan yang terbaik untuk layak ke final,” katanya di sini hari ini.
Hazrul Shah pula menyifatkan kejayaan mara ke separuh akhir sebagai pembakar semangat dan menegaskan fokusnya kini hanya ‘mencuri’ satu tempat ke final.
“Apa juga yang dinasihatkan oleh jurulatih nanti pasti saya akan ikut dan macam saya sendiri, harap dapat buat bawah 11s untuk separuh akhir esok,” katanya.
Terdahulu, Muhammad Zamir mencatat 11.58 saat (s) dalam Saringan 3, jauh daripada rekod terbaiknya 11.06s yang dirakam pada Sukan Sea Pekak Jakarta, Ogos lalu.
Hazrul Shah merekodkan 11.53s dalam Saringan 4 juga di bawah prestasi terbaiknya 11.09s.
Sementara itu, saudara kembar Muhammad Zamir, Muhammad Zumar terhenti di peringkat awal selepas mencatat 11.64s, selain wakil wanita negara Nur Andrina Zainudin turut gagal mara selepas merekodkan 13.49s.
Kedua-dua mereka akan meneruskan cabaran dalam 200m.
