Kuala Lumpur: Pelari remaja negara, Muhammad Umaira Subri muncul raja pecut selepas memenangi perlumbaan 100 meter (m) lelaki Bawah 20 Tahun (B-20) pada Kejohanan Olahraga Sea B-18 & B-20 2025 yang berlangsung di Indonesia.
Umaira berjaya melakukan catatan 10.32 saat (s) untuk menjadi pelari pertama melepasi garisan penamat mengalahkan rakan senegara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee yang meraih perak dengan catatan 10.38s.
Pelari tuan rumah, Ariel pula dilihat sukar mengejar dua wakil negara dan terpaksa berpuas hati di tempat ketiga dengan catatan 10.54s.
Sementara itu, atlet lompat tinggi negara, Muhammad Raziq Muqri Ramadhan turut menampilkan lompatan terbaik dengan ketinggian 2.00m dalam kategori B-18 sekali gus membolehkan dirinya menyumbang pingat emas buat kontinjen negara.
Presiden Olahraga Malaysia (MA), Datuk Karim Ibrahim berkata, kejayaan yang diraih Raziq Muqri adalah satu pencapaian sangat bagus dan menunjukkan masa depan lebih cerah untuk mencipta lebih banyak kejayaan dalam acara lompat tinggi.
“Dia baru umur 16 tahun tapi berjaya melakukan lompatan 2.00m. Ini adalah atlet masa depan kita. Saya rasa bangga dengan pencapaian yang dilakukan. Saya juga ucapkan terima kasih kepada jurulatihnya, Noriah Abdullah (SMK Gerik).
“Hasil usaha dan latihannya sendiri, dia akan dapat penajaan dari segi kelengkapan seperti pakaian dan barangan lain. Kita berikan ini atas pencapaian yang dilakukan apatah lagi usianya baru 16 tahun,” katanya.
Pada masa sama, atlet lompat kijang, Muhammad Imran Abdullah turut berjaya meraih pingat emas lelaki B-20 dengan lompatan sejauh 14.64m.
