Kuala Lumpur: Skuad boling padang negara melihat gandingan Emma Firyana Saroji–Nurul Alyani Jamil yang akan turun dalam acara beregu wanita mampu menghasilkan keputusan positif pada Piala Dunia 2025 di Pusat Boling Padang Nasional, Bukit Kiara, esok.
Ketua jurulatih boling padang negara, Zuraidi Puteh berkata, beliau melihat Emma Firyana–Alyani mempunyai keserasian yang baik dan mampu menampilkan persembahan cemerlang meskipun perlu berdepan tentangan sengit nanti.
Malah, keputusan muncul naib juara Kejohanan Terbuka Australia baru-baru ini menjadi petanda positif menjelang saingan kali ini.
“Keputusan (Terbuka Australia) adalah keputusan positif kerana ia kejohanan yang paling berprestij di dunia. Mereka mampu menghadapi cabaran besar itu dan ia sudah cukup menjadi petanda baik untuk pasukan kita.
“Namun, cabaran Piala Dunia ini berbeza. Tak sama seperti kejohanan-kejohanan lain yang mereka lalui dan saya berharap wakil kita berjaya menghadapi ujian yang ada di sini, terutama tekanan sebagai tuan rumah,” katanya.
Selain itu, pemilihan pasangan berkenaan dibuat berdasarkan prestasi semasa selain pencapaian antarabangsa serta sikap profesional yang ditunjukkan sepanjang latihan.
“Pemilihan mereka dibuat berdasarkan ranking, prestasi, penyertaan di kejohanan luar negara serta pencapaian tertinggi masing-masing.
“Emma sebelum ini memenangi pingat gangsa di Champion of Champions World Cup di Aberdeen manakala Alyani pula meraih pingat emas di kejohanan Asia baru-baru ini. Semua kriteria itu diambil kira oleh persatuan.
“Kelayakan mereka berdasarkan merit sepenuhnya. Semua aspek termasuk disiplin dan semangat pasukan diberi perhatian,” katanya.
Untuk makluman, kedua-dua pemain itu turut beraksi dalam acara perseorangan semalam dengan permulaan yang agak baik dan diharapkan mampu mencipta kejayaan lebih besar dalam acara beregu.
