Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Ziyad tekad buktikan usia bukan penghalang raih pingat

Kuala Lumpur: Usia mungkin mengejar, tetapi semangat atlet lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli masih membara untuk menghadiahkan pingat buat negara.

Dalam dunia olahraga para yang semakin dikuasai generasi muda, Ziyad membuktikan dirinya masih releven apabila menghadiahkan pingat gangsa acara lontar peluru F20 di Kejohanan Olahraga Para Dunia di New Delhi, India, awal bulan ini.

Namun, dia mengakui faktor usia mula menjadi cabaran.

“Sejujurnya, ya, faktor usia memang memainkan peranan. Tapi saya nak menunjukkan faktor usia ini bukan satu penghalang untuk saya terus berjaya dan melakar nama di pentas dunia.

“Kalau tengok, usia lawan saya semua 10 tahun lebih muda daripada saya. Sebagai seorang yang senior dalam kategori ini, saya ingin menunjukkan saya masih boleh berdaya saing.

“Saya akan tunjukkan, biarpun tua masih mampu menghadiahkan pingat,” katanya yang kini berusia 34 tahun.

Pada kejohanan dunia lalu, Ziyad melakukan lontaran sejauh 17.26 meter (m) untuk membawa pulang gangsa, manakala emas dimenangi wakil Ukraine, Oleksandr Yarovyi, dengan catatan 17.73m, sekali gus memperbaharui rekod dunia miliknya sendiri yang dicatat ketika memenangi emas di Sukan Paralimpik Paris 2024 dengan balingan 17.61m.

Pingat perak pula milik rakan senegaranya, Maksym Koval, dengan catatan 17.52m.

Mengulas prestasi di kejohanan dunia itu, Ziyad mengakui tahap persaingan kini semakin sengit dengan kehadiran atlet muda yang memiliki kekuatan serta teknik lebih mantap.

“Saya rasa latihan dan persiapan saya sama seperti kejohanan lain, cuma persaingan kali ini lebih kuat.

“Mereka lebih berkuasa dan teknik mereka lebih baik. Saya sudah bertanding selama 15 tahun dan perkara ini saya lalui setiap kali,” katanya.

Ziyad turut yakin akan kemunculan pelapis baharu yang bakal meneruskan legasi lontar peluru negara.

“Insya-Allah, ada. Jurulatih pun sudah ambil beberapa atlet baharu yang berpotensi. Tapi proses ini ambil masa, bukan hari ini masuk, hari ini boleh jadi juara.

“Dua tiga tahun lagi, Insya-Allah akan muncul pelapis yang mampu menjuarai kejohanan dunia nanti,” katanya.

Berkongsi mengenai perancangannya selepas ini, Ziyad menjelaskan dia kini menunggu pengesahan untuk beraksi di Sukan Para Asean di Thailand pada Januari depan, yang disifatkannya sebagai satu lagi pentas penting dalam perjalanan kariernya.

“Saya sedang berbincang dengan jurulatih. Sebelum ini saya tidak dapat bertanding atas faktor pemilihan, tapi kali ini nama saya ada.

“Insya-Allah dapat bermain dan saya harap dapat pergi,” katanya dengan penuh harapan.