Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Sukan Sea 2025: Silat sasar kekalkan momentum

Nilai: Pasukan silat negara berhasrat untuk mengekalkan momentum cemerlang yang pernah dicapai dengan menyumbang pingat emas kepada kontinjen negara di pentas Sukan Sea termasuk di pentas yang sama edisi akan datang di Thailand, Disember depan.

Perkara itu ditegaskan Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Bibi Aishah Golbal Shah, bahawa pasukan di bawah pengurusannya itu akan memastikan pingat emas dapat terus diraih pada temasya berprestij rantau ini itu.

“Setakat ini, pasukan Malaysia di bawah kendalian saya belum gagal dari segi pungutan pingat terutama pingat emas dari apa yang kami sasarkan, malah lebih menjangkau daripada sasarannya.

“Jadi, pada Sukan Sea di Thailand ini, memang hajat saya dan pasukan hendak kekalkan prestasi di tahap yang tertinggi itu, jika di Kemboja sebelum ini, sasaran hanya tiga pingat emas, tapi kami berjaya membawa balik empat emas.

“Kami berharap perkara sama akan berlaku di Songkla (Thailand) nanti, walaupun empat pingat emas itu datang daripada atlet kita yang berpotensi, tapi kali ini kita kehilangan dua atlet itu, namun ia tidak akan menjejaskan misi kita,” katanya kepada media di Pusat Latihan Majlis Sukan Negara (MSN), di sini, petang tadi.

Terdahulu beliau mengiringi Timbalan Ketua Kontinjen (CDM) negara ke Sukan Sea Thailand 2025, Nazmizan Muhammad, yang menemui pasukan pesilat negara yang kini dalam persiapan terakhir menjelang temasya berkenaan, Disember depan.

Mengulas lanjut, Bibi Aishah berkata, pihaknya mengharapkan keajaiban berlaku kepada pesilat berprestasi tinggi negara, Nor Farah Mazlan, yang bakal beraksi bagi kategori Kelas B.

“Saya mengharapkan keajaiban kepada Farah dengan ketinggian fizikal, dia mampu mempamerkan aksi terbaik dan menewaskan pencabarnya kelak. Kami sasarkan untuk dia meraih pingat emas sebagai bonus kepada pasukan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata PESAKA sedia menyahut cabaran Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, untuk pasukan pesilat merealisasikan kutipan empat pingat emas.

Menurutnya, pihaknya akan berusaha sebaik mungkin untuk memenuhi sasaran berkenaan atau menyumbang emas seberapa banyak yang mungkin.

“Beberapa atlet kita seperti Ummi Mashitah Hassan, Muhammad Robial Sobri, Muhammad Amirul Hakim Jaafar dan Mohamad Akmal Azman, berada pada persiapan serta pretasi terbaik ketika ini,” katanya yang yakin atlet silat negara mampu mengekalkan prestasi cemerlang ini di Sukan Sea nanti.

Sementara itu, Nazmizan menegaskan bahawa kontinjen negara berada pada landasan yang baik untuk menggalas cabaran dan menyerlah pada temasya Sukan Sea 2025 ini.

Menurut beliau, persiapan latihan bukan saja baru bermula tetapi atlet sentiasa melakukannya sepanjang masa.

“Saya melihat dari segi persiapan atlet, mereka kini rasa tidak sabar untuk beraksi dan ini suatu perkembangan yang positif.

“Kita mengharapkan mereka semua diberikan kesihatan yang baik untuk memastikan momentum ini dapat dikekalkan sehingga kejohanan dan seterusnya dapat merealisasikan sasaran yang kita tetapkan di Thailand nanti,” katanya.