Kuala Lumpur: Saingan TNB Piala Tun Abdul Razak 2025 yang melabuhkan tirai pada 11 Oktober lalu membawa khabar gembira buat lapan pemain muda apabila berjaya memikat perhatian ketua jurulatih, Sarjit Singh.
Enam daripada pemain terbabit berusia sekitar 20 tahun, manakala dua lagi masing-masing berumur 23 dan 26 tahun, dengan kesemuanya bakal diuji dari segi kecergasan, disiplin dan penyesuaian terhadap tempo latihan intensif skuad negara dalam kem latihan kebangsaan bermula Isnin ini di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Empat pemain dari Pahang mendominasi senarai itu Wan Muhammad Najmi Ahmad Dzaib, Airil Abdul Razak Rahman, Aiman Safwan Hisham dan Muhammad Nor Syakir Hafiz selain dua wakil Terengganu, Darwisy Hamdan dan Muhammad Yadiy Mohamad Saifuddin.
Dua lagi pemain, Zufar Saiful Marsita dan Muhammad Nur Asyraf Ishak dari Melaka, turut diberikan peluang keemasan merasai suasana latihan bersama skuad utama kebangsaan.
Menurut Sarjit, barisan kejurulatihannya berpuas hati dengan mutu saingan Piala Tun Abdul Razak kali ini yang menyaksikan ramai pemain muda tampil dengan prestasi konsisten, disiplin tinggi dan semangat juang luar biasa.
“Secara keseluruhan, kami gembira melihat ramai pemain muda menyerlah sepanjang kejohanan. Ini petanda positif semakin ramai bakat baharu sedia mencabar tempat di peringkat lebih tinggi.
“Lapan pemain yang dipanggil ini menunjukkan kemahiran teknikal, kecergasan dan disiplin yang baik malah ada antara mereka berpotensi mengisi slot skuad utama,” katanya.
Tambah Sarjit, latihan pusat kali ini memberi fokus kepada penyesuaian pemain muda terhadap tempo latihan intensif dan sistem permainan di peringkat antarabangsa.
“Kami mahu lihat sejauh mana mereka mampu menyesuaikan diri dengan tempo dan tekanan latihan di peringkat antarabangsa.
“Jika mereka menunjukkan kualiti dan sikap profesional yang baik, peluang disenaraikan ke Piala Sultan Azlan Shah nanti amat cerah,” jelasnya.
Latihan pusat berkenaan turut menjadi sebahagian daripada persiapan skuad kebangsaan menghadapi dua kejohanan utama Piala Sultan Azlan Shah (23-30 November) serta Sukan Sea Thailand (9-20 Disember) yang bakal menjadi pentas penting buat Malaysia menguji kekuatan sebenar.
