Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Hoe Yean, Ariana dinobat Olahragawan dan Olahragawati ASWP 2023/24

Putrajaya: Jaguh renang negara, Khiew Hoe Yean dan pemanah sensasi, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Wilayah Persekutuan pada Majlis Anugerah Sukan Wilayah Persekutuan (ASWP) 2023/2024 yang berlangsung di Dewan Seri Siantan, Perbadanan Putrajaya, petang ini.

Kedua-dua atlet yang pernah membawa cabaran negara ke Sukan Olimpik Paris 2024 itu masing-masing membawa pulang piala pusingan, wang tunai RM8,000 serta sijil penghargaan yang disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Hoe Yean, 23, yang turut beraksi cemerlang di pelbagai kejohanan antarabangsa menewaskan dua calon lain iaitu pemanah, Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazali dan penerjun, Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim untuk gelaran Olahragawan Wilayah Persekutuan.

Kejayaan itu menyaksikan sukan renang kembali merangkul anugerah tertinggi ASWP selepas kali terakhir dimenangi perenang Ian James Barr pada edisi 2013/2014.

Bagi kategori wanita, Ariana, 20, membuktikan keunggulannya apabila mengetepikan cabaran atlet boling padang, Nur Ain Nabilah Tarmizi dan atlet wushu, Kwan Yong Xin untuk dinobatkan sebagai Olahragawati Wilayah Persekutuan.

Pemanah recurve muda kelahiran Kuala Lumpur itu menempah tiket ke temasya Paris 2024 dalam acara individu dan berpasukan selepas cemerlang di Kejohanan Kelayakan Benua Asia di Bangkok serta Final Olympic Qualifier Archery In Paris 2024.

Sukan renang turut mendominasi ASWP kali ini apabila dua perenang muda, Muhammad Dhuha Zulfikry dan Chong Xin Lin, diumumkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Harapan Wilayah Persekutuan sebelum masing-masing membawa pulang Piala iringan, wang tunai RM5,000 dan sijil penghargaan.

Sementara itu, Olahragawan Para Wilayah Persekutuan menjadi milik Cheah Liek Hou, pemenang dua pingat emas Paralimpik yang terus menjadi inspirasi sukan para negara, manakala kategori Olahragawati Para Wilayah Persekutuan dimenangi perenang Asyiil Raziin Razman, pemegang rekod kebangsaan baharu acara 100 meter gaya bebas multi-class S14.

Dalam kategori berpasukan, Pasukan Bola Sepak Wilayah Persekutuan yang meraih pingat emas pertama dalam sejarah penyertaan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 Sarawak 2024, diumumkan sebagai Pasukan Lelaki Terbaik Wilayah Persekutuan.

Manakala Pasukan Bola Jaring Wilayah Persekutuan pula mengekalkan penguasaan apabila sekali lagi membawa pulang trofi Pasukan Wanita Terbaik Wilayah Persekutuan, menjadikannya kejuaraan tiga kali berturut-turut.