Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun menganggap undian bagi skuad lelaki pada Sukan Sea 2025 di Thailand cukup seimbang, namun tetap mengingatkan anak buahnya supaya tidak leka dan kekal fokus memburu tiket ke final.
Beliau menegaskan, biarpun laluan awal dilihat memihak kepada Malaysia, setiap pasukan lawan kini semakin meningkat dan mampu memberi kejutan jika dipandang ringan.
“Undian kali ini memang seimbang dan tidak terlalu sukar. Tetapi dalam sukan seperti sepak takraw, kami tidak boleh terlalu selesa.
“Fokus utama adalah memastikan kami melepasi peringkat kumpulan dan seterusnya ke final.
“Apa yang penting sekarang ialah terus memperkemaskan prestasi dan tidak memandang rendah kemampuan lawan. Semua pasukan datang dengan semangat tinggi,” katanya.
Pada majlis undian yang diadakan di Bangkok, semalam, regu berpasukan lelaki Malaysia mendapat undian baik apabila diletakkan dalam Kumpulan A bersama Myanmar, Filipina dan Singapura, sekali gus membuka ruang besar untuk mara ke separuh akhir.
Dalam acara regu, Malaysia turut berada dalam Kumpulan A bersama Laos dan Vietnam, manakala bagi acara kuadran, skuad negara menghuni Kumpulan B yang turut disertai Laos, Kemboja, Singapura, Brunei dan Vietnam.
Ahmad Jais menjelaskan, tumpuan kini beralih kepada memperkukuh persefahaman antara pemain selain menajamkan serangan dan kawalan di jaring bagi memastikan skuad negara benar-benar bersedia menjelang aksi pembukaan.
“Kami sedang menilai kombinasi terbaik. Semua pemain menunjukkan komitmen tinggi dalam latihan dan kini tinggal untuk mantapkan strategi menghadapi lawan yang berbeza corak permainan,” katanya.
Bagi skuad wanita, beliau tidak menafikan laluan lebih mencabar apabila Malaysia diundi bersama Thailand dalam acara regu berpasukan dan kuadran.
“Kami tahu Thailand adalah lawan yang kuat, tetapi saya yakin dengan semangat juang pemain kita.
“Sasaran realistik adalah sekurang-kurangnya membawa pulang pingat gangsa dan saya percaya mereka mampu mencapainya,” katanya.
Pada edisi terdahulu, skuad sepak takraw negara menamatkan kempen dengan empat pingat perak dan empat gangsa iaitu pencapaian yang memberi motivasi tambahan untuk kali ini.