Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Sureeya buru emas hatrik karate di Sukan Sea

Kuala Lumpur: Atlet karate negara, Sureeya Shankar Hari Shankar ingin memburu kejuaraan hatrik di Sukan Sea Thailand selepas cemerlang dalam dua edisi sebelum ini.

Jelasnya, persiapan kini sudah berada dalam keadaan serius untuk terus mempertingkatkan prestasi agar benar-benar bersedia bagi aksi Disember depan.

“Persediaan itu agak intensif sekarang dan saya berlatih bersungguh-sungguh sebab sudah menang dua kali (2021 dan 2023).

“Jadi, ini adalah yang ketiga dan perlu menang untuk buktikan diri saya adalah yang terbaik.

“Bukan untuk orang lain, untuk diri saya sendiri dan sebab itu saya kena buktikan perkara itu boleh dilakukan,” katanya.

Atlet berusia 23 tahun itu mempunyai motivasi terbaik dan dilihat mampu memberi saingan sengit di Thailand serta menjelmakan kilauan pingat buat kem negara.

Malah, Sureeya meraih emas melalui acara kumite lelaki bawah 60 kilogram (kg) pada Kejohanan Karate Asia Tenggara, Jun lalu.

Sukan karate antara penyumbang utama buat kontinjen negara dan sentiasa menjadi lubuk pingat kerana sekurang-kurangnya empat pingat emas setiap edisi akan disumbangkan oleh atlet negara.

Pada Sukan Sea Kemboja 2023, Malaysia membawa pulang empat pingat emas dan enam perak.