Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Peluang cerah raih emas compound lelaki, campuran – Suhardi

Kuala Lumpur: Skuad memanah negara optimis mampu meraih pingat emas dalam acara compound dan campuran di Sukan Sea Thailand 2025, Disember depan.

Pengurus pasukan memanah negara, Suhardi Abdullah berkata, dengan barisan atlet dipilih serta melihat persaingan di Thailand, beliau yakin peluang Malaysia lebih terbuka dalam acara berkenaan.

“Kalau kita tengok peluang lebih besar untuk dapat pingat emas yang kita sasarkan adalah melalui acara compound pasukan lelaki dan pasukan campuran.

“Kemudian kita cuba tengok untuk individu sama ada lelaki atau wanita.

“Sebab bagi acara individu, kita ada Juwaidi (Mazuki) dan Fatin (Nurfatehah Mat Salleh). Jadi kita harapkan mereka dapat tunjukkan sesuatulah dekat Bangkok nanti,” katanya.

Mengenai peluang negara dalam acara recurve, Suhardi tetap percaya kemampuan atlet negara apatah lagi bakal diperkuatkan dua pemanah Olimpian negara, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi dan Syaqiera Mashayikh.

“Untuk acara recurve, peluang tetap ada. Pasukan wanita kini diperkuat Syaqiera dan Ariana serta dua muka baharu yang diharap mampu bergabung sebagai satu pasukan mantap di Sukan Sea.

“Bagi kategori lelaki, peluang tetap terbuka biarpun saingan sengit dijangka daripada Indonesia dan tuan rumah, Thailand.

“Apapun, tiada yang mustahil untuk meraih pingat dan mencapai sasaran ditetapkan,” katanya.