Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Empat atlet wanita galas cabaran ekuestrian di Sukan Remaja Asia

Kuala Lumpur: Empat penunggang muda wanita negara bakal menggalas cabaran dalam acara ekuestrian di Sukan Remaja Asia 2025 yang dijadual berlangsung di Manama, Bahrain, bermula 23 Oktober ini.

Mereka terdiri daripada Sharifah Ariel Budriah Jamalullail, Arissa Audreyna Edzwan, Sonia Aisyah Abdullah dan Elly Poh Jia Yi yang masing-masing akan beraksi dalam kategori Lompatan Persembahan (Show Jumping) di bawah bimbingan jurulatih kebangsaan, Shaiful Azwan.

Temasya Sukan Remaja Asia 2025 menghimpunkan lebih 4,300 atlet muda dari 45 negara Asia membabitkan 21 jenis sukan termasuk ekuestrian.

Edisi kali ini adalah penganjuran ketiga selepas Singapura (2009) dan Nanjing, China (2013) anjuran Majlis Olimpik Asia (OCA).

Menurut Sharifah Ariel Budriah, latihan intensif turut dijalankan di Arab Saudi bersama kuda yang bakal digunakan di Bahrain bagi memastikan keserasian dan prestasi optimum ketika pertandingan.

“Saya telah menjalani latihan intensif di Belanda sebagai persediaan sebelum ke temasya dan mendapat banyak ilmu serta pendedahan menunggang pelbagai jenis kuda yang berkualiti.

“Selepas di Belanda, saya berlatih di Arab Saudi sebagai persiapan pemanas badan terakhir dan membawa kuda ke Bahrain. Saya berharap dapat memberikan yang terbaik bersama pasukan Malaysia,” katanya.

Arissa Audreyna yang pernah mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa berkata, peluang kali ini menjadi medan untuk membuktikan hasil latihan intensif yang dijalani di Belgium selama sebulan.

“Saya sangat teruja untuk mewakili Malaysia buat kali kedua dan latihan di Belgium sangat mencabar kerana setiap kuda ada karakter tersendiri.

“Saya perlu mencari keserasian dengan mereka dan sentiasa yakin pada diri serta kuda yang ditunggang,” katanya.

Tambahnya, aspek mental memainkan peranan besar dalam menentukan prestasi, sekali gus mampu meraih kejayaan positif di kejohanan terbabit.

“Musuh terbesar sebenarnya adalah diri sendiri terutama apabila pertandingan semakin hampir. Jika kita takut, kuda akan rasa takut. Jadi saya perlu terus percaya pada latihan dan naluri saya,” jelasnya.

Sementara itu, Shaiful pula yakin anak didiknya bersedia sepenuhnya selepas melalui siri latihan intensif di dalam dan luar negara.

“Mereka menunjukkan komitmen tinggi sepanjang latihan. Fokus kami ialah penyesuaian pantas terhadap kuda baharu dan kawalan emosi ketika bertanding. Sekarang kita doa yang terbaik buat mereka,” katanya.

Penyertaan empat remaja ini dilihat sebagai langkah besar buat sukan ekuestrian tanah air yang semakin berkembang terutama dalam kalangan atlet muda wanita yang berani mencabar diri di pentas antarabangsa dan membawa aspirasi tinggi untuk masa depan sukan berkuda negara.