Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Dua beregu lelaki berdepan nasib berbeza di Terbuka Perancis

Kuala Lumpur: Dua beregu lelaki negara berdepan nasib berbeza pada aksi pusingan pertama Terbuka Perancis 2025 yang berlangsung di Glaz Arena, Rennes, Perancis, manakala satu lagi pasangan profesional beregu campuran turut terkandas awal dalam kejohanan berstatus Super 750.

Pasangan negara, Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong, terpaksa akur apabila tumbang 14-21, 13-21 di tangan wakil England, Ben Lane-Sean Vendy, dalam pertembungan yang mengambil masa 32 minit.

Kekalahan itu sekali gus menamatkan kempen mereka di pusingan pertama yang juga pertemuan sulung menentang gandingan ranking ke-24 dunia itu.

Bagaimanapun, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, tidak berdepan masalah untuk melangkah ke pusingan kedua selepas mudah menundukkan pasangan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Ki Dong Ju, 21-9, 21-13 dalam masa hanya 27 minit.

Kemenangan itu menyaksikan pasangan yang baru melonjak ke tangga kelima dunia itu, mendahului rekod pertemuan 1-0 ke atas gandingan Korea Selatan berkenaan.

Sementara itu, dalam acara beregu campuran, pasangan profesional Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien terpaksa berpuas hati selepas tewas kepada beregu handalan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran, 17-21, 17-21 dalam aksi yang berlangsung selama 41 minit.

Kekalahan itu menyaksikan Tien Ci-Chiew Sien kini ketinggalan 0-3 dalam rekod pertemuan menentang gandingan ranking ketiga dunia berkenaan.