Kuala Lumpur: Skuad menembak negara berjanji tidak akan tunduk dengan reputasi hebat dimiliki beberapa atlet bertaraf Olimpik yang bakal menjadi pencabar utama pada Sukan Sea Thailand 2025, Disember ini.
Pengurus pasukan, Mejar Jasni Shaari menegaskan keyakinan tetap tinggi dalam kem negara meskipun saingan dijangka sengit, malah beliau percaya skuad Malaysia juga memiliki kekuatan tersendiri untuk mencipta kejutan di pentas dwitahunan itu.
“Negara lain pun ada Olimpian mereka, tapi mereka pun sebenarnya takut dengan kita. Bukan kita saja yang rasa ‘cuak’ dengan mereka, mereka juga gentar dengan kemampuan penembak kita,” katanya ketika ditemui bersempena lawatan ketua kontinjen, Nurul Huda Abdullah d Majlis Sukan Negara.
Jasni menjelaskan, sukan menembak bukan sekadar bergantung kepada nama besar atau pengalaman, sebaliknya menuntut kekuatan mental dan ketenangan luar biasa setiap atlet ketika beraksi.
“Dalam menembak, tiada siapa boleh halang seseorang untuk mengenai sasaran tepat jika dia berada pada prestasi terbaik. Semuanya bergantung kepada fokus dan ketenangan pada hari pertandingan,” tegasnya.
Skuad negara kali ini dibarisi 29 atlet yang akan beraksi dalam tiga disiplin utama, rifle, pistol dan shotgun, merangkumi lebih 15 acara individu dan berpasukan.
Antara sandaran utama negara ialah penembak berpengalaman seperti Nur Suryani Taibi, Jonathan Wong dan Alia Sazana Azahari, selain kemunculan beberapa muka baharu yang menunjukkan peningkatan prestasi memberangsangkan.