Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
‘Kalau hantar pelapis untuk lawan pemain elit, kita sebenarnya hantar mereka untuk kalah’

Putrajaya: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyokong keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menurunkan barisan pemain terbaik negara ke Sukan Sea 2025 di Thailand yang dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Disember depan.

Menurut Hannah, langkah itu wajar dan selari dengan pendekatan negara jiran seperti Thailand dan Indonesia yang turut menurunkan skuad elit masing-masing bagi mempertahankan dominasi dalam temasya dwitahunan itu.

“Semasa kita di Kemboja (Sukan Sea 2023), Malaysia membawa kontinjen pelapis untuk diberi pendedahan. Tapi bila badminton tidak menang pingat, rakyat tidak puas hati kerana badminton adalah sukan utama negara.

“Kali ini, Thailand dan Indonesia sudah umum akan hantar pasukan terbaik mereka. Jadi kalau kita hantar pelapis untuk lawan pemain elit, kita sebenarnya menghantar mereka untuk kalah. Sebab itu BAM buat keputusan menghantar barisan elit supaya saingan itu lebih bermakna,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Sukan Remaja Asia Bahrain dan Sukan Perpaduan Islam Arab Saudi 2025, hari ini.

Pada temasya di Kemboja tahun lalu, skuad badminton negara yang dibarisi pemain pelapis gagal meraih sebarang pingat emas apabila hanya membawa pulang dua perak dan empat gangsa, selain skuad wanita tersingkir di peringkat suku akhir selepas tewas kepada Filipina.

Tambah Hannah, keputusan BAM itu menunjukkan pendekatan strategik lebih menyeluruh dalam memastikan skuad negara bersaing di tahap setara dengan kekuatan lawan.

“Kita mahu beri pendedahan kepada atlet muda, tetapi ia mesti bersesuaian dengan tahap pertandingan dan kemampuan mereka,” katanya.

Semalam, BAM memberi isyarat jelas bahawa mereka serius memburu emas apabila mengumumkan senarai pemain bintang untuk menghadapi cabaran di Bangkok.

Antara yang disenaraikan termasuk juara dunia beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei; bekas juara dunia beregu lelaki 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; serta naib juara dunia beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah.

Sebagai tuan rumah, Thailand turut mempertaruhkan barisan terbaik mereka termasuk bekas juara dunia perseorangan lelaki, Kunlavut Vitidsarn, dan gandingan beregu campuran elit, Dechapol Puavaranukroh.

Mengulas kebimbangan mengenai isu keletihan pemain kerana jadual Sukan Sea yang hampir bertembung dengan Jelajah Akhir Dunia BWF (17 hingga 21 Disember), Hannah berkata perkara itu akan diuruskan sepenuhnya oleh BAM dan barisan kejurulatihan.

“Untuk isu keletihan, saya percaya BAM dan jurulatih akan membuat penyesuaian sewajarnya kerana mereka lebih tahu jadual dan keperluan pemain,” katanya.

Bagi acara berpasukan badminton, ia akan berlangsung dari 7 hingga 10 Disember manakala saingan individu 11 hingga 14 Disember.