Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Edisi 2025 bukan Sukan Sea terakhir buat Syafiq

Kuala Lumpur: Penerjun berpengalaman negara, Muhammad Syafiq Puteh belum bersedia untuk mengakhiri perjuangannya di pentas Sukan Sea meskipun sudah lebih sedekad mewakili Malaysia dalam acara berprestij itu.

Masih bersemangat selepas membawa pulang dua pingat perak dari Kejohanan Akuatik Asia 2025 di Ahmedabad, India baru-baru ini, Syafiq memberi bayangan temasya Sukan Sea 2027 di Kuala Lumpur mungkin menjadi pentas terakhirnya.

“Selagi saya mampu, saya akan terus berjuang dan buat yang terbaik untuk Malaysia. Mungkin Sukan Sea 2027 nanti akan jadi yang terakhir untuk saya, tapi bergantung juga pada keadaan badan ketika itu,” katanya ketika ditemui selepas kunjungan Ketua Kontinjen Sukan Sea 2025, Nurul Huda Abdullah di venue latihan skuad terjun kebangsaan, hari ini.

Pada kejohanan di India, atlet berusia 30 tahun itu menyumbang dua perak masing-masing dalam acara 1 meter (m) papan anjal individu lelaki serta 3m papan anjal seirama bersama rakan gandingannya, Elvis Priestly Clement.

Mengulas mengenai sasaran di Sukan Sea 2025 di Thailand, Syafiq yang bakal membuat penampilan keenam sejak edisi 2015 di Singapura menegaskan fokusnya kini memburu hatrik emas dalam acara 3m papan anjal lelaki selepas meraih kejayaan sama di Hanoi 2021 dan Phnom Penh 2023.

“Kalau boleh saya nak pertahankan emas untuk kali ketiga berturut-turut. Itu sasaran utama saya di Thailand nanti,” tegasnya.

Sukan Sea 2025 dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Disember ini di tiga wilayah Thailand, Bangkok, Chonburi dan Songkhla.