Kuala Lumpur: Perenang muda negara, Muhammad Dhuha Zulfikry menarik nafas lega selepas kerajaan memberi kelonggaran kepada atlet yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengambil peperiksaan selepas tamat tugasan di Sukan Sea Thailand 2025, Disember depan.
Dhuha, 18, mengakui pengumuman dibuat Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh itu sedikit sebanyak melegakan fikirannya yang sebelum ini ‘berserabut’ memikirkan pertembungan antara tanggungjawab akademik dan sukan.
“Lega juga (dengan pengumuman YB Hannah), tetapi cabarannya tetap ada. Kertas peperiksaan terakhir saya selepas Sukan Se ialah Matematik Tambahan, jadi ia agak mencabar,” katanya ketika ditemui pada sesi pertemuan atlet renang bersama Ketua Kontinjen Negara, Nurul Huda Abdullah hari ini.
Pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu bakal menduduki sembilan subjek termasuk Sains Komputer, Kimia dan Fizik, namun buat masa ini mahu mengetepikan tekanan peperiksaan bagi memberi fokus penuh kepada persiapan menghadapi temasya dwitahunan itu.
“Secara peribadi, sasaran saya ialah untuk melakukan yang terbaik. Insya-Allah kalau ada rezeki, saya akan cuba dapatkan pingat. Tak kisah warna apa pun, saya akan cuba,” katanya.
Dhuha dijangka beraksi dalam dua acara utama, 400 meter (m) dan 1500m gaya bebas — dengan 1500m menjadi sandaran utama untuk memburu podium.
“Secara realistik, acara 1500m paling dekat untuk raih pingat kerana itu acara utama saya,” jelasnya.
Anak kelahiran Kuala Lumpur itu sebelum ini mencipta sensasi apabila memadam rekod kebangsaan 1500m gaya bebas lelaki berusia 35 tahun milik Jeffrey Ong ketika beraksi di Piala Dunia Renang Akuatik 2024 di Shanghai, China.
Momentum luar biasa itu diteruskan di Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 apabila Dhuha menyapu bersih enam pingat emas dan mencipta lima rekod baharu, sekali gus muncul antara atlet paling cemerlang temasya berkenaan.