Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Keselamatan jadi fokus LTdL

Kuala Lumpur: Aspek keselamatan akan menjadi keutamaan apabila perlumbaan berprestij Le Tour de Langkawi (LTdL) membuka tirai dari 28 September hingga 5 Oktober ini.

Jaminan itu diberikan Majlis Sukan Negara (MSN) susulan kebimbangan mengenai isu keselamatan selepas pelumba berusia 28 tahun, Low Beng Seng maut akibat bertembung dengan sebuah kereta ketika menyertai Langkawi Legendary Ride pada 14 September lalu.

Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, pihak penganjur bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan bagi memastikan kelancaran sepanjang berlangsungnya perlumbaan.

“Kami sudah mengadakan beberapa mesyuarat dengan ketua-ketua jabatan termasuk jawatankuasa penganjur dan wakil polis turut hadir memberikan pandangan mereka.

“Dengan pengalaman yang kami raih sejak tiga tahun lalu, saya yakin isu keselamatan tidak akan timbul. Pihak polis pun mempertingkatkan kekuatan mereka untuk memastikan perlumbaan kali ini dikawal dengan baik,” katanya pada majlis pengumuman BubblesO2 sebagai penaja Jersi Raja Bukit, hari ini.

Menurut Jefri, prosedur operasi standard (SOP) ketat turut dikuatkuasakan oleh PDRM serta Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

“UCI mempunyai SOP tersendiri yang perlu dipatuhi dan kami sentiasa mematuhi segala peraturan ditetapkan, sama ada oleh UCI mahupun PDRM,” jelasnya.

Tambah Jefri lagi, persiapan tahun ini juga lebih mudah kerana peloton hanya perlu menyeberang sekali sahaja ke Langkawi, berbeza dengan tahun lalu yang turut membabitkan peringkat perlumbaan di Sarawak.

“Kali ini tidak banyak masalah yang dijangka timbul, dan kami percaya acara akan berjalan lancar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi (COO) LTDL 2025, Emir Abdul Jalal berkata, edisi kali ini menelan kos kira-kira RM19.5 juta, dengan RM7.5 juta ditampung melalui tajaan, termasuk RM1 juta dalam bentuk tunai dan barangan daripada BubblesO2.

Beliau menegaskan, berikutan LTdL dianjurkan di bawah MSN, setiap sen daripada peruntukan kerajaan dan penajaan akan disalurkan terus ke aspek operasi, keselamatan, infrastruktur dan logistik, bukannya untuk keuntungan.