Kuala Lumpur: Bekas pelari 400 meter (m) kebangsaan, Mohd Zaiful Zainal Abidin yakin atlet muda, Umar Osman mempunyai potensi cukup besar untuk mencatat masa di bawah 46 saat (s) pada kejohanan akan datang, meskipun kini berdepan sedikit kesukaran dalam prestasi.
Menurut Zaiful, beliau sudah lama mengikuti rapat perkembangan pelari muda termasuk sebelum dia memecahkan rekod miliknya.
Malah, jika Umar terus diberikan pendedahan di peringkat antarabangsa, beliau yakin prestasi pelari jarak dekat negara itu boleh membina keyakinan dan mencipta sesuatu.
“Saya memang ikuti perkembangan Umar sejak dulu lagi. Untuk usia dia sekarang, boleh nampak Umar sangat konsisten. Tahun lalu saya fikir dia sudah mampu buat catatan bawah 46s, tapi nampaknya dia sedikit bergelut.
“Tapi saya yakin masanya akan tiba jika Umar mendapat jurulatih yang benar-benar dapat membimbingnya sepenuhnya.
“Berdasarkan pengalaman saya, Umar perlukan lebih banyak pendedahan saingan di luar negara. Itu penting untuk bantu dia tingkatkan tahap larian,” katanya kepada Harian Metro.
Tambahnya, dirinya meluahkan kebimbangan selepas jurulatih asal Umar, Simon Lau kini berkhidmat di Singapura, menyebabkan atlet kelahiran Johor itu hanya mengikuti program latihan yang diberikan tanpa ada jurulatih tetap di sisinya.
Bekas pemegang rekod 400m negara itu juga tidak menolak kemungkinan prestasi Umar sedikit terjejas kerana perkara sedemikian dan itu membuatkan dia perlukan lebih masa bagi mendapatkan rekod masa yang lebih baik.
Mengulas peluang di Sukan SEA yang semakin hampir, Zaiful mengakui cabaran kali ini lebih getir dengan pelari dari Filipina dan Vietnam dilihat antara pencabar utama, dan mereka juga kini sudah melakukan catatan masa bawah 46s musim ini.
“Untuk Umar kekalkan pingat emas 400m, dia perlu buat sesuatu kerana saingan kali ini pasti lebih sengit. Tapi jika semua berjalan lancar, InsyaAllah dia boleh capai bawah 46s di Sukan SEA nanti,” katanya.