Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MPC sedia gegar LTDL 2025- Sayuti

Kuala Lumpur: Malaysia Pro Cycling (MPC) dilihat semakin menemui rentak dan bersedia memberi cabaran utama kepada pasukan elit yang bertanding di Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025.

Pengurus pasukan MPC, Sayuti Zahit melihat prestasi pelumba di Tour de Entete di Indonesia semakin meningkat apabila Ariff Danial Noor Roseidi berjaya mencatat kemenangan di Peringkat 4 pada Ahad lalu.

“Sejujurnya, saya tidak menjangkakan Ariff mampu melakukan perkara ini. Kami baru sahaja mula mendedahkan Ariff kepada perlumbaan antarabangsa jadi dia masih mempunyai pengalaman yang terhad pada tahap ini.

“Tapi dia membuktikan bahawa dirinya seorang pelumba serba boleh. Dia mampu mengikuti kumpulan pemecah dan memecut menewaskan pelumba lain di penghujung.

“Kami berharap dapat melihat lebih banyak persembahan positif daripadanya pada baki peringkat akan datang,” katanya.

Pada perlumbaan Peringkat 4, Ariff Danial mempamerkan kayuhan yang cukup bertenaga untuk menamatkan cabaran di tempat pertama yang bermula dari Tanarara dan berakhir di Waingapu sejauh 110.2 kilometer (km) dengan catatan masa satu jam, 35 minit dan 12 saat.

Tynan Shannon (Cycling Development Foundation) dan John Pagtalunan (7Eleven Cliqq Roadbike Philippines) masing-masing menamatkan saingan di tempat kedua dan ketiga.

Selain Ariff Danial, MPC turut mempertaruhkan pelumba pendaki, Syawal Mazlin, pakar pecut Ahmad Syazrin Awang Ilah serta Faheem Razen Zaini dan Zulfikri Zulkifli.

Mereka akan mengharungi 10 peringkat perlumbaan yang akan berakhir pada 21 September ini.