Kuala Lumpur: Ketua jurulatih beregu wanita kebangsaan, Rosman Razak mengakui kejayaan skuad wanita kebangsaan menembusi pentas dunia adalah sesuatu yang jarang berlaku dalam sejarah badminton negara.
Beliau menegaskan pencapaian pasangan seperti Pearly Tan-M Thinaah menjadi bukti pemain wanita Malaysia kini mampu menyerlah setanding rakan sepasukan lelaki, sekali gus membuka mata ramai bahawa ia bukan lagi sesuatu yang mustahil.
“Kalau ikut sejarah, memang jarang pemain wanita berjaya dalam badminton. Selama ini lebih kepada pemain lelaki. Jadi ini membuktikan pemain wanita pun mampu untuk menyinar di peringkat antarabangsa,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Rosman turut menekankan bahawa kejayaan itu memberi penanda aras penting buat pemain muda untuk terus berusaha menjejaki pencapaian sama.
“Saya rasa pemain muda sudah ada satu tanda aras. Mereka boleh rasa ini bukan satu benda mustahil. Dan dengan Pearly-Thinaah masih aktif, ia peluang terbaik untuk pemain muda belajar terus daripada mereka. Bukan macam legenda yang sudah berhenti, tapi mereka sedang bermain di tahap tertinggi,” ujarnya.
Menurut Rosman, kehadiran beregu wanita negara di kelompok elit dunia memberi dimensi baharu buat badminton Malaysia yang sebelum ini banyak bergantung kepada dominasi pemain lelaki.
Pearly-Thinaah muncul naib juara di Kejohanan Dunia hujung minggu lalu selepas tumpas kepada pilihan utama dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning pada aksi final di Adidas Arena, Paris.
Dalam aksi yang berlangsung sengit lebih sejam itu, Pearly-Thinaah tewas 14-21, 22-20, 17-21 namun tetap menunjukkan semangat juang tinggi sehingga memaksa lawan bekerja keras bagi setiap mata.