Kuala Lumpur: Kejayaan bersejarah Chen Tang Jie-Toh Ee Wei muncul juara dunia bukan penamat perjuangan badminton negara, sebaliknya menjadi titik mula kepada misi besar ketua jurulatih beregu campuran, Nova Widianto untuk meruntuhkan dominasi China di pentas dunia.
Sebaliknya, legenda badminton Indonesia itu berazam melahirkan lebih ramai pasangan berkualiti bagi menyaingi dominasi China yang masih kekal sebagai kuasa nombor satu dunia dalam acara beregu campuran.
“Untuk beregu campuran, China masih nombor satu. Mereka ada tiga atau empat pasangan yang sentiasa mara ke suku akhir kejohanan besar. Kekuatan mereka banyak bergantung kepada pemain wanita.
“Tetapi kejayaan Tang Jie-Ee Wei membuktikan mereka bukan tidak boleh dikalahkan. Dengan kerja keras, kita mampu cabar mereka,” kata Nova yang juga bekas juara dunia dua kali.
Tang Jie-Ee Wei mencipta sejarah tersendiri apabila menumbangkan pilihan utama dunia, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-15, 21-14 pada final Kejohanan Dunia di Paris, sekali gus muncul pasangan beregu campuran pertama negara merangkul gelaran dunia.
Bagaimanapun, Nova menegaskan Malaysia tidak boleh hanya bersandar kepada dua gandingan utama, Tang Jie-Ee Wei dan Hoo Pang Ron-Chen Su Yin.
“Sasaran saya jelas, kita kena lahirkan lebih ramai pasangan berkualiti. Tidak boleh letakkan semua tekanan pada satu atau dua pasangan sahaja. Untuk sektor beregu campuran berkembang, kita perlukan pelapis yang mantap,” ujarnya.
Antara yang kini mula menyerlah ialah Wee Yee Hern-Chan Wen Tse yang muncul juara Siri Antarabangsa Thailand serta Tan Zhi Yang-Nicole Tan yang menjulang Cabaran Antarabangsa Malaysia bulan lalu.
“Gelaran dunia ini hanyalah permulaan. Saya mahu pemain kita percaya pada diri sendiri dan yakin Malaysia mampu hasilkan lebih banyak pasangan bertaraf dunia,” tambah Nova.