Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Jun Hao, Zii Jia berentap di pusingan pertama Terbuka Hong Kong

Kuala Lumpur: Siapa lebih layak digelar pemain perseorangan lelaki nombor satu negara?

Persoalan itu bakal terjawab apabila dua pemain terbaik negara, Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao diundi bertemu seawal pusingan pertama Terbuka Hong Kong yang bermula Selasa ini.

Berdasarkan ranking semasa, Jun Hao kini berada di kedudukan ke-23 dunia, sekali gus mengatasi Zii Jia yang menghuni tangga ke-47.

Namun, rekod pertemuan jelas memihak kepada Zii Jia yang juga bekas juara Asia apabila memenangi semua tiga perlawanan menentang Jun Hao termasuk di suku akhir Terbuka Artik 2023 sebelum muncul juara.

Kedua-dua pemain itu sedang memburu kebangkitan selepas kempen hambar di Kejohanan Dunia di Paris minggu lalu.

Zii Jia yang baru pulih daripada kecederaan buku lali terkandas di pusingan pertama kepada wakil Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin manakala Jun Hao pula tewas di pusingan kedua kepada pemain Jepun, Kenta Nishimoto.

Dalam acara beregu lelaki, gandingan nombor dua dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tampil selaku pilihan pertama dan akan membuka tirai menentang pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy.

Mereka berpotensi bertemu rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang diletakkan sebagai pilihan kedua di pentas final.

Sze Fei-Izzuddin akan membuka kempen menentang Xie Hao Nan-Zeng Wei Han dari China.

Beregu wanita negara yang juga juara bertahan dan masih segar dengan gelaran naib juara dunia, Pearly Tan-M Thinaah akan menentang Chang Chin Hui-Yang Ching Tun dari Taiwan pada aksi pembukaan.

Manakala juara dunia beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei diundi bertemu pasangan England, Callum Hemming-Estelle Van Leeuwen.

Bagaimanapun, status penyertaan Tang Jie-Ee Wei di Hong Kong masih menjadi tanda tanya selepas kejayaan bersejarah mereka di Paris.

“Kita memang daftar untuk Terbuka Hong Kong, tetapi kita akan lihat keadaan mereka. Jika tidak bersedia, mereka akan tarik diri,” kata ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto.