Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
ASTAF perkenal SOP salah laku pemain, pegawai pasukan di STL-CC

Kuala Lumpur: Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) khas bagi menangani salah laku pemain serta pegawai yang akan dikuatkuasakan buat pertama kali pada saingan Liga Sepak Takraw (STL) Piala Juara-Juara (STL-CC) 2025 bermula hari ini.

Arena Karisma, Seremban bakal menjadi gelanggang ujian SOP berkenaan selepas beberapa insiden tidak profesional mewarnai Grand Prix STL 2025 sebelum ini, termasuk aksi keterlaluan seperti menceroboh gelanggang, membaling botol air, memaki pengadil dan menendang papan iklan yang pernah mencetuskan kontroversi di Kuala Lumpur serta Johor Bahru.

Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader menegaskan salah laku itu mencalar imej sukan tradisi berkenaan dan tidak boleh dipandang ringan lebih-lebih lagi saingan kali ini turut membariskan kelab luar seperti Ratchaburi (Thailand), Singapore MGPC, India Fighters, Korea KSTA dan Japan Sepak Takraw.

Beliau berkata, lima wakil tempatan turut berentap iaitu juara STL Divisyen Perdana, Perak Bison, Kuala Lumpur Thunder, Melaka Titans, Negeri Sembilan Antlers dan Johor Tigris.

Menurut Abdul Halim, SOP baharu itu memberi kuasa penuh kepada pengadil untuk melayangkan kad merah atau kuning secara automatik sebelum dikenakan penggantungan sehingga siasatan tatatertib selesai dijalankan jawatankuasa penganjur.

“Langkah ini akan memperkukuh peraturan sedia ada di bawah Undang-undang Permainan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) selain memperkemas tanggungjawab pengadil.

“Saya kesal ada jurulatih yang sudah dikenakan kad merah tetapi masih dibenarkan bersama pasukan pada perlawanan berikutnya.

“Pengadil pula tidak wajar dipersalahkan sepenuhnya kerana mengawal gelanggang bukanlah tugas mudah,” katanya.