Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Apa orang nak cakap, itu urusan mereka – Ee Wei

Kuala Lumpur: “Apa orang nak cakap, itu urusan mereka. Yang penting kami tidak pernah mengecewakan diri sendiri, negara dan semua orang.”

Itu reaksi berani pemain beregu campuran negara, Toh Ee Wei selepas berjaya menamatkan segala kritikan terhadap dirinya bersama gandingannya, Chen Tang Jie, dengan menghadiahkan Malaysia pingat emas Kejohanan Badminton Dunia hujung minggu lalu.

Empat tahun lalu, Ee Wei pernah tenggelam dalam kecaman peminat yang meragui tahap permainannya. Namun, semangat kental dan latihan tanpa mengenal erti penat akhirnya membuktikan segala cakap-cakap negatif itu tidak lebih daripada sekadar bunyi kosong.

“Bagi kami, kami berlatih bersungguh-sungguh setiap hari, kami tidak mengecewakan sesiapa pun. Lakukan yang terbaik untuk diri sendiri, dan berjuang untuk negara di gelanggang.

“Tidak kira apa yang orang lain mahu katakan, itu urusan mereka, kami tidak boleh kawal,” katanya dalam Bahasa Mandarin sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Tang Jie pula menganggap kejayaan bersejarah ini hanyalah permulaan kepada misi lebih besar mereka selepas ini.

“Perasaan sekarang sudah tentu sangat gembira. Segalanya tidak mudah. Jadi, ini bukanlah titik akhir kami. Kami mesti terus rendah diri dan terus mendahagakan kejuaraan seterusnya,” jelasnya.

Kejayaan pasangan ini sekali gus menjadi jawapan paling tuntas terhadap segala kritikan yang pernah singgah di telinga mereka sebelum ini.

Tang Jie-Ee Wei mencetus sejarah gemilang pada sambutan Hari Merdeka apabila menundukkan gandingan pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, 21-15, 21-14 dalam masa hanya 40 minit di pentas final Kejohanan Dunia di Adidas Arena, Paris.