Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives September 3, 2025

MESYUARAT PENYELARASAN PETRONAS LE TOUR DE LANGKAWI 2025 BIL. 2/2025

Berbaki kurang 25 hari lagi sebelum berlangsungnya PETRONAS Le Tour de Langkawi 2025, segala persiapan kini giat diperkemas bagi memastikan kelancaran penganjuran kejohanan berprestij edisi ke-29 tersebut.

Menerusi Mesyuarat Penyelarasan Ketua-Ketua & Teknikal Bil. 2/2025 di Dorsett Grand Subang hari ini, fokus utama diberikan kepada peranan dan strategi setiap jabatan serta kepatuhan peraturan-peraturan baharu Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) termasuk beberapa penambahbaikan prosedur berkaitan keselamatan.

Turut hadir mempengerusikan mesyuarat, Pengarah Acara PLTdL 2025, En. Mohd Safrushahar Yusoff, serta Ketua Pegawai Operasi PLTdL, En. Emir Abdul Jalal.

Arab Saudi sedia jadi tuan rumah Sukan Solidariti Islam 2025

Kuala Lumpur: Arab Saudi sedang bersiap sedia untuk menganjurkan edisi keenam Sukan Solidariti Islam yang akan berlangsung dari 7 hingga 21 November depan.

Acara pelbagai sukan itu akan menghimpunkan atlet elit dari 57 negara dunia Islam, yang akan bersaing dalam 23 acara bertaraf dunia di pelbagai venue sekitar Riyadh.

Sukan Solidariti Islam adalah acara pelbagai sukan ketiga terbesar di dunia selepas Sukan Olimpik dan Sukan Asia, sekali gus menekankan kepentingannya dalam menyatukan bakat-bakat sukan dari dunia Islam.

Arab Saudi juga berbangga kerana menjadi tempat kelahiran acara ini, selepas menganjurkan edisi sulungnya pada tahun 2005.

Malaysia turut mempunyai rekod membanggakan di Sukan Solidariti Islam, apabila berada di kedudukan ke-10 dalam carta keseluruhan pungutan pingat.

Atlet negara meraih sebanyak 91 pingat, termasuk 33 emas, 23 perak, dan 41 gangsa, sekali gus memperlihatkan kekuatan sukan Malaysia di pentas ini.

Dengan venue yang sudah siap dan persiapan akhir sedang dijalankan, Sukan Solidariti Islam Riyadh 2025 menjanjikan sebuah perayaan acara pelbagai sukan dan budaya yang tidak dapat dilupakan, menghimpunkan kecemerlangan atlet dan perpaduan umat Islam.

Speedy Tigers berpeluh sebelum benam China 2-0

Kuala Lumpur: Skuad hoki lelaki negara bermula baik pada pusingan Super 4 Piala Asia 2025 di Bihar, India, selepas mengatasi China 2-0, hari ini.

Bagaimanapun, skuad bimbingan Sarjit Singh bergelut untuk mencipta jaringan terutama pada separuh masa pertama dan hanya memecah kebuntuan pada minit ke-45 menerusi pukulan sudut penalti Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan.

Selang dua minit kemudian, Mohamad Akhimullah Anuar Esook mengukuhkan kedudukan Speedy Tigers dengan menjaringkan gol padang dan kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Skuad negara akan berdepan ujian getir bertemu pasukan tuan rumah yang menduduki ranking ketujuh dunia ketika ini, malam esok.

Rekod pertemuan nyata tidak memihak kepada skuad negara dengan pertemuan kali terakhir semasa Trofi Juara-Juara Asia di China tahun lalu menyaksikan India membelasah Speedy Tigers 8-1.

Kemudian skuad negara akan menamatkan aksi round robin bertemu Korea Selatan, Sabtu ini.

Malaysia perlu memburu sekurang-kurangnya tempat kedua bagi menempah tiket ke final, yang secara automatik menawarkan slot ke Piala Dunia 2026 di Belgium dan Belanda, jika muncul juara.

Jun Hao, Zii Jia berentap di pusingan pertama Terbuka Hong Kong

Kuala Lumpur: Siapa lebih layak digelar pemain perseorangan lelaki nombor satu negara?

Persoalan itu bakal terjawab apabila dua pemain terbaik negara, Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao diundi bertemu seawal pusingan pertama Terbuka Hong Kong yang bermula Selasa ini.

Berdasarkan ranking semasa, Jun Hao kini berada di kedudukan ke-23 dunia, sekali gus mengatasi Zii Jia yang menghuni tangga ke-47.

Namun, rekod pertemuan jelas memihak kepada Zii Jia yang juga bekas juara Asia apabila memenangi semua tiga perlawanan menentang Jun Hao termasuk di suku akhir Terbuka Artik 2023 sebelum muncul juara.

Kedua-dua pemain itu sedang memburu kebangkitan selepas kempen hambar di Kejohanan Dunia di Paris minggu lalu.

Zii Jia yang baru pulih daripada kecederaan buku lali terkandas di pusingan pertama kepada wakil Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin manakala Jun Hao pula tewas di pusingan kedua kepada pemain Jepun, Kenta Nishimoto.

Dalam acara beregu lelaki, gandingan nombor dua dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tampil selaku pilihan pertama dan akan membuka tirai menentang pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy.

Mereka berpotensi bertemu rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang diletakkan sebagai pilihan kedua di pentas final.

Sze Fei-Izzuddin akan membuka kempen menentang Xie Hao Nan-Zeng Wei Han dari China.

Beregu wanita negara yang juga juara bertahan dan masih segar dengan gelaran naib juara dunia, Pearly Tan-M Thinaah akan menentang Chang Chin Hui-Yang Ching Tun dari Taiwan pada aksi pembukaan.

Manakala juara dunia beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei diundi bertemu pasangan England, Callum Hemming-Estelle Van Leeuwen.

Bagaimanapun, status penyertaan Tang Jie-Ee Wei di Hong Kong masih menjadi tanda tanya selepas kejayaan bersejarah mereka di Paris.

“Kita memang daftar untuk Terbuka Hong Kong, tetapi kita akan lihat keadaan mereka. Jika tidak bersedia, mereka akan tarik diri,” kata ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto.

ASTAF perkenal SOP salah laku pemain, pegawai pasukan di STL-CC

Kuala Lumpur: Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) khas bagi menangani salah laku pemain serta pegawai yang akan dikuatkuasakan buat pertama kali pada saingan Liga Sepak Takraw (STL) Piala Juara-Juara (STL-CC) 2025 bermula hari ini.

Arena Karisma, Seremban bakal menjadi gelanggang ujian SOP berkenaan selepas beberapa insiden tidak profesional mewarnai Grand Prix STL 2025 sebelum ini, termasuk aksi keterlaluan seperti menceroboh gelanggang, membaling botol air, memaki pengadil dan menendang papan iklan yang pernah mencetuskan kontroversi di Kuala Lumpur serta Johor Bahru.

Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader menegaskan salah laku itu mencalar imej sukan tradisi berkenaan dan tidak boleh dipandang ringan lebih-lebih lagi saingan kali ini turut membariskan kelab luar seperti Ratchaburi (Thailand), Singapore MGPC, India Fighters, Korea KSTA dan Japan Sepak Takraw.

Beliau berkata, lima wakil tempatan turut berentap iaitu juara STL Divisyen Perdana, Perak Bison, Kuala Lumpur Thunder, Melaka Titans, Negeri Sembilan Antlers dan Johor Tigris.

Menurut Abdul Halim, SOP baharu itu memberi kuasa penuh kepada pengadil untuk melayangkan kad merah atau kuning secara automatik sebelum dikenakan penggantungan sehingga siasatan tatatertib selesai dijalankan jawatankuasa penganjur.

“Langkah ini akan memperkukuh peraturan sedia ada di bawah Undang-undang Permainan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) selain memperkemas tanggungjawab pengadil.

“Saya kesal ada jurulatih yang sudah dikenakan kad merah tetapi masih dibenarkan bersama pasukan pada perlawanan berikutnya.

“Pengadil pula tidak wajar dipersalahkan sepenuhnya kerana mengawal gelanggang bukanlah tugas mudah,” katanya.

Apa orang nak cakap, itu urusan mereka – Ee Wei

Kuala Lumpur: “Apa orang nak cakap, itu urusan mereka. Yang penting kami tidak pernah mengecewakan diri sendiri, negara dan semua orang.”

Itu reaksi berani pemain beregu campuran negara, Toh Ee Wei selepas berjaya menamatkan segala kritikan terhadap dirinya bersama gandingannya, Chen Tang Jie, dengan menghadiahkan Malaysia pingat emas Kejohanan Badminton Dunia hujung minggu lalu.

Empat tahun lalu, Ee Wei pernah tenggelam dalam kecaman peminat yang meragui tahap permainannya. Namun, semangat kental dan latihan tanpa mengenal erti penat akhirnya membuktikan segala cakap-cakap negatif itu tidak lebih daripada sekadar bunyi kosong.

“Bagi kami, kami berlatih bersungguh-sungguh setiap hari, kami tidak mengecewakan sesiapa pun. Lakukan yang terbaik untuk diri sendiri, dan berjuang untuk negara di gelanggang.

“Tidak kira apa yang orang lain mahu katakan, itu urusan mereka, kami tidak boleh kawal,” katanya dalam Bahasa Mandarin sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Tang Jie pula menganggap kejayaan bersejarah ini hanyalah permulaan kepada misi lebih besar mereka selepas ini.

“Perasaan sekarang sudah tentu sangat gembira. Segalanya tidak mudah. Jadi, ini bukanlah titik akhir kami. Kami mesti terus rendah diri dan terus mendahagakan kejuaraan seterusnya,” jelasnya.

Kejayaan pasangan ini sekali gus menjadi jawapan paling tuntas terhadap segala kritikan yang pernah singgah di telinga mereka sebelum ini.

Tang Jie-Ee Wei mencetus sejarah gemilang pada sambutan Hari Merdeka apabila menundukkan gandingan pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, 21-15, 21-14 dalam masa hanya 40 minit di pentas final Kejohanan Dunia di Adidas Arena, Paris.

Dua emas Piala Asia jadi pengukur menuju Sukan SEA

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih berbasikal trek negara, Harnizam Basri menegaskan pencapaian skuad negara pada Piala Trek Asia di Thailand berada dalam landasan tepat apabila berjaya membawa pulang dua pingat emas dalam acara pecut berpasukan lelaki dan wanita biarpun pasukan masih di fasa latihan kekuatan.

Menurutnya, pencapaian itu sudah memenuhi sasaran awal kerana pelumba negara ketika ini belum memasuki fasa kelajuan, sekali gus bukan berada pada prestasi puncak.

“Secara keseluruhan, okeylah. Kita memang sasar dua benda itu sebab kita masih dekat fasa kekuatan lagi. Memang kita jangka bergelut abila masuk kelayakan keirin dan pecut. Tapi bagi saya, nombor empat dan nombor lima pun sudah baik,” katanya.

Dalam acara pecut, pelumba profesional, Datuk Azizulhasni Awang menamatkan saingan di tempat ketiga, manakala Ridwan Sahrom di kedudukan keenam.

Bagaimanapun, Ridwan cemerlang dengan membantu trio pecut berpasukan meraih emas dan dilihat masih ada ruang penambahbaikan.

“Saya pun tak mahu bila dia (Ridwan) sudah dapat emas, nanti dia selesa pula. Tapi masa keirin tu nampak ada peningkatan, cuma dia dihukum (ke kedudukan keenam). Dia patut nombor dua, tapi kerana kesilapan kecil, dia jatuh ranking,” jelasnya.

Dua emas berkenaan katanya bakal dijadikan kayu pengukur untuk Sukan SEA yang berlangsung di Thailand hujung tahun ini.

Harnizam turut mendedahkan proses kelayakan ke Kejohanan Dunia di Chile akan ditentukan selepas senarai rasmi dikeluarkan pada 9 September ini.

“Pada 11 September, kita akan buat ujian dalaman masa untuk tentukan layak atau tidak ikut prestasi semasa. Kalau layak, kita pergi. Kalau tidak, buang masa dan duit saja kalau terbang 36 jam ke sana untuk satu perlumbaan,” katanya.

Katanya, ujian dalaman itu akan memberi fokus kepada Fadhil Zonis dan Akmal Nazimi Jusena serta Ridwan, manakala Shah Firdaus Sahrom serta Nurul Izzah Izzati Mohd Asri sudah boleh dikatakan sudah mengesahkan slot ke kejohanan berprestij itu.

Mengulas prestasi Akmal Nazimi, Harnizam menjelaskan pelumba itu perlu memperkemas pecutan awalnya.

“Akmal kena mempertingkatkan masa first lap. Yang lain okey, cuma dia keluar dari pelepasan agak perlahan. Kalau dia boleh dapat laju sikit pada dua tiga kayuhan pertama, itu sudah terbaik,” katanya.

Rosman yakin pencapaian Pearly-Thinaah jadi inspirasi generasi muda

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih beregu wanita kebangsaan, Rosman Razak mengakui kejayaan skuad wanita kebangsaan menembusi pentas dunia adalah sesuatu yang jarang berlaku dalam sejarah badminton negara.

Beliau menegaskan pencapaian pasangan seperti Pearly Tan-M Thinaah menjadi bukti pemain wanita Malaysia kini mampu menyerlah setanding rakan sepasukan lelaki, sekali gus membuka mata ramai bahawa ia bukan lagi sesuatu yang mustahil.

“Kalau ikut sejarah, memang jarang pemain wanita berjaya dalam badminton. Selama ini lebih kepada pemain lelaki. Jadi ini membuktikan pemain wanita pun mampu untuk menyinar di peringkat antarabangsa,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Rosman turut menekankan bahawa kejayaan itu memberi penanda aras penting buat pemain muda untuk terus berusaha menjejaki pencapaian sama.

“Saya rasa pemain muda sudah ada satu tanda aras. Mereka boleh rasa ini bukan satu benda mustahil. Dan dengan Pearly-Thinaah masih aktif, ia peluang terbaik untuk pemain muda belajar terus daripada mereka. Bukan macam legenda yang sudah berhenti, tapi mereka sedang bermain di tahap tertinggi,” ujarnya.

Menurut Rosman, kehadiran beregu wanita negara di kelompok elit dunia memberi dimensi baharu buat badminton Malaysia yang sebelum ini banyak bergantung kepada dominasi pemain lelaki.

Pearly-Thinaah muncul naib juara di Kejohanan Dunia hujung minggu lalu selepas tumpas kepada pilihan utama dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning pada aksi final di Adidas Arena, Paris.

Dalam aksi yang berlangsung sengit lebih sejam itu, Pearly-Thinaah tewas 14-21, 22-20, 17-21 namun tetap menunjukkan semangat juang tinggi sehingga memaksa lawan bekerja keras bagi setiap mata.

Nova tekad lahirkan pelapis, cabar kuasa besar dunia

Kuala Lumpur: Kejayaan bersejarah Chen Tang Jie-Toh Ee Wei muncul juara dunia bukan penamat perjuangan badminton negara, sebaliknya menjadi titik mula kepada misi besar ketua jurulatih beregu campuran, Nova Widianto untuk meruntuhkan dominasi China di pentas dunia.

Sebaliknya, legenda badminton Indonesia itu berazam melahirkan lebih ramai pasangan berkualiti bagi menyaingi dominasi China yang masih kekal sebagai kuasa nombor satu dunia dalam acara beregu campuran.

“Untuk beregu campuran, China masih nombor satu. Mereka ada tiga atau empat pasangan yang sentiasa mara ke suku akhir kejohanan besar. Kekuatan mereka banyak bergantung kepada pemain wanita.

“Tetapi kejayaan Tang Jie-Ee Wei membuktikan mereka bukan tidak boleh dikalahkan. Dengan kerja keras, kita mampu cabar mereka,” kata Nova yang juga bekas juara dunia dua kali.

Tang Jie-Ee Wei mencipta sejarah tersendiri apabila menumbangkan pilihan utama dunia, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-15, 21-14 pada final Kejohanan Dunia di Paris, sekali gus muncul pasangan beregu campuran pertama negara merangkul gelaran dunia.

Bagaimanapun, Nova menegaskan Malaysia tidak boleh hanya bersandar kepada dua gandingan utama, Tang Jie-Ee Wei dan Hoo Pang Ron-Chen Su Yin.

“Sasaran saya jelas, kita kena lahirkan lebih ramai pasangan berkualiti. Tidak boleh letakkan semua tekanan pada satu atau dua pasangan sahaja. Untuk sektor beregu campuran berkembang, kita perlukan pelapis yang mantap,” ujarnya.

Antara yang kini mula menyerlah ialah Wee Yee Hern-Chan Wen Tse yang muncul juara Siri Antarabangsa Thailand serta Tan Zhi Yang-Nicole Tan yang menjulang Cabaran Antarabangsa Malaysia bulan lalu.

“Gelaran dunia ini hanyalah permulaan. Saya mahu pemain kita percaya pada diri sendiri dan yakin Malaysia mampu hasilkan lebih banyak pasangan bertaraf dunia,” tambah Nova.

Majlis Sukan Negara Malaysia