Hungary : Skuad memanah negara berjaya membawa pulang tiga pingat emas, lima perak dan dua gangsa pada acara World Historical Archery Championships (WHAC) 2025, baru-baru ini.
Kontinjen negara diketuai Anuar Faiq Mat Saat sebagai Chief de Mission merangkap Presiden HDH Archery Malaysia merangkul pencapaian cemerlang menerusi Muhammad Adam Mukhriz, Aira Imani, Dalia Asira, Muhammad Hifzhuddin serta Muhammad Khairul Eqmal.
Turut melakar pencapaian hebat pasukan penyumpit dari Bario, Sarawak, Sholina Sakai yang berjaya meraih juara dunia (Blowpipe Wanita) dan naib juara dunia, Albert Matius (Blowpipe lelaki), sekali gus memperkenalkan seni warisan Borneo ke persada antarabangsa.
Lebih istimewa penyertaan pada kejohanan menghimpunkan lebih 500 pemanah dari 30 buah negara itu menyaksikan Malaysia berjaya melahirkan empat calon pengadil bertaraf antarabangsa apabila Adha Rashid, Azmanizam Aziz, Mika Irfan Nojey dan Muhamad Hafiz Arif diiktiraf lulus di peringkat dunia.
Sekali gus memperkukuh kedudukan negara dalam aspek teknikal, kepimpinan dan keupayaan sukan memanah warisan.
Menurut Anuar yang turut bertindak sebagai duta WHAC, kontinjen negara hadir ke acara itu bukan sahaja untuk bersaing malah memperkukuh peranan dalam arena panahan warisan dunia.
“Kami mahu melahirkan pemanah muda yang mampu bersaing di pentas dunia, dan dalam masa sama menyediakan ASEAN untuk menjadi tuan rumah pertandingan berprestij pada masa hadapan.
“Kejohanan ini menjadi platform penting untuk melatih pengadil bertaraf dunia dari Malaysia, serta memperkenalkan inovasi melalui penggunaan rasmi Sasaran PERTAMA (Malaysian Target Face) buat julung kalinya dalam sejarah WHAC,” katanya.
Tambahnya, antara cabaran utama ialah cuaca berbeza, suasana kejohanan antarabangsa, serta pengenalan format baharu seperti ‘tactical moving target’ dan ‘3D target’, yang masih asing bagi pemanah Malaysia.
“Memanah di Malaysia masih terlalu statik dan tertumpu pada jarak dekat. Standard kita agak rendah berbanding dunia.
“Malah sewaktu sesi seleksi, tiada pemanah dewasa berjaya melepasi syarat kelayakan antarabangsa. Pemanah Malaysia perlu keluar dari zon selesa supaya mampu berdaya saing di pertandingan antarabangsa lain seperti di Turkiye dan Korea Selatan,” ujar Anuar yang turut menerima anugerah khas City of Gyula & HDH-IAA Historical Archery pada WHAC.
Anuar turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu dan menyokong pasukan negara antaranya Kelab Pemanah DBKL, Persatuan Memanah Tradisional Kuala Lumpur serta Kedutaan Besar Malaysia di Budapest.
Dalam pada itu, Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merakamkan penghargaan dan tahniah kepada kontinjen negara diatas pencapaian berkenaan.
Pengarahnya, Sabran Abd Bahar berkata kejayaan berkenaan bukan sahaja menjadi inspirasi kepada generasi muda, malah bukti bahawa program pembangunan belia melalui sukan memanah tradisional mampu melahirkan juara dunia.
“Kementerian Belia dan Sukan dan Jabatan Belia dan Sukan Negara sentiasa komited dalam menyokong pembangunan sukan di Malaysia,” katanya.