Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Lapan wira sukan dilantik Ikon Perpaduan 2025

Kuala Lumpur: Lapan wira sukan negara termasuk beregu wanita utama yang juga Naib Juara Kejohanan Badminton Dunia Pearly Tan-M Thinaah dilantik sebagai Ikon Perpaduan Tahun 2025.

Kementerian Perpaduan Negara dalam kenyataan memaklumkan turut dilantik pemain badminton yang juga pasangan beregu, Goh Sze Fei-Nur Izuddin Rumsani serta Wan Muhammad Arif Shaharudin-Yap Roy King di samping beregu dart negara, Tengku Hadzali Tengku Mustaffar-Tan Jenn Ming.

“Sukan merupakan wadah yang paling ampuh dalam memupuk semangat perpaduan, keharmonian serta kebersamaan rakyat Malaysia.

“Setiap kali atlet negara ini berentap di persada dunia, seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang berdiri teguh di belakang mereka, bersatu hati menyokong Jalur Gemilang dikibarkan dengan penuh bangga,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Perpaduan Negara memaklumkan atlet yang dipilih bukan sahaja mencipta kejayaan di pentas antarabangsa, malah menjadi teladan dengan membuktikan semangat kesukanan mampu meruntuhkan tembok perbezaan serta memperkukuh semangat Malaysia MADANI.

Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dalam kenyataan sama berkata, beliau berharap agar semua Ikon Perpaduan dapat terus menyebarkan mesej perpaduan dan menanam benih keharmonian dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata ini selaras aspirasi Malaysia untuk membina sebuah negara bangsa yang aman, harmoni dan bersatu padu.

“Kementerian percaya dengan semangat dan iltizam yang ditonjolkan oleh ikon-ikon ini, nilai-nilai perpaduan dapat terus disemarakkan sekali gus menyatukan rakyat Malaysia di bawah satu identiti kebangsaan,” katanya.