Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Emas pecut berpasukan ubat duka Ridwan

Kuala Lumpur: “Alhamdulillah, saya rasa gembira sebab dapat menghadiahkan pingat emas dalam acara pecut berpasukan.”

Itu luahan pelumba berbasikal trek negara, Ridwan Sahrom selepas membantu skuad pecut berpasukan negara meraih emas di Piala Trek Asia 2025 yang berlangsung di Suphanburi, Thailand, hujung minggu lalu.

Ridwan yang bergandingan bersama Muhammad Fadhil Zonis dan Akmal Nazimi Jusena, menewaskan trio Kazakhstan (Kirill Kurdidi, Ramazan Mukhtar, Daniyar Shayakhmetov) untuk mengesahkan status Malaysia sebagai kuasa besar pecut Asia.

Kejayaan itu hadir sehari selepas Ridwan berdepan kekecewaan apabila dikenakan penyingkiran dalam acara keirin.

“Setakat ini Alhamdulillah, sekurang-kurangnya kemenangan ini dapat menyuntik semangat saya selepas apa yang berlaku dalam keirin.

“Secara jujurnya, saya tak berada pada tahap 100 peratus terbaik, tapi saya cuba gunakan taktikal yang ada untuk beri impak dalam perlumbaan. Dalam acara pecut berpasukan, saya rasa kami pun bukan 100 peratus, mungkin sekitar 60 ke 70 peratus. Tapi Alhamdulillah masih mampu menang,” katanya.

Menurut Ridwan, gandingan trio itu dijangka dikekalkan untuk menghadapi Sukan SEA nanti dengan misi membawa pulang emas buat kontinjen negara.

“Harapnya kombinasi ini terus dikekalkan. Kami masih fokus latihan untuk Sukan SEA, insya-Allah,” katanya.

Dalam masa sama, Ridwan masih menanti keputusan pihak pengurusan sama ada dia disenaraikan dalam acara keirin untuk Sukan SEA, selain peluang skuad negara beraksi di Kejohanan Dunia.

“Kami menunggu lampu hijau sama ada pecut berpasukan layak ke Kejohanan Dunia atau tidak. Kalau beri impak positif, kami akan pergi, tapi kalau tak capai kriteria jurulatih, mungkin tidak,” jelasnya.

Secara keseluruhan, skuad berbasikal trek negara membawa pulang satu pingat emas, dua perak dan tiga gangsa dari kejohanan di Thailand itu.