Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Emas beregu campuran, perak beregu wanita hadiah terindah Merdeka

Kuala Lumpur: Pada sambutan Hari Kebangsaan ke-68 semalam, arena badminton negara diraikan dengan penuh gemilang apabila dua wakil Malaysia mencipta sejarah di pentas Kejohanan Dunia 2025 di Paris.

Beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, menghadiahkan negara emas pertama dalam sejarah acara itu, manakala gandingan wanita, Pearly Tan-M Thinaah, turut mencatat pencapaian bersejarah dengan meraih pingat perak pertama buat negara.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyifatkan detik itu sebagai hadiah paling bermakna buat tanah air.

“Pada Hari Kemerdekaan ke-68, Malaysia cipta sejarah di Kejohanan Dunia. Buat julung kalinya, dua wakil negara mara ke final. Detik bersejarah, hadiah Merdeka bermakna buat tanah air tercinta. Terima kasih wira dan wirawati badminton negara,” kata BAM dalam satu hantaran di laman sosial rasmi mereka.

Kejayaan ini turut mendapat sorakan padu daripada netizen yang membanjiri media sosial dengan mesej penuh bangga dan rasa syukur.

Seorang pengguna, Mohd Ferdaus, menulis: “Kejohanan Dunia ditakluk. Juara dunia, pingat emas, 31 Ogos Hari Kebangsaan. Alhamdulillah, Malaysia di mata dunia!”

Bagi Willie Bong, pengorbanan jurulatih juga wajar diberi penghargaan: “Terima kasih jurulatih yang melatih mereka. Hari ini terbukti usaha berbaloi apabila mereka jadi juara. Beregu campuran emas, beregu wanita perak, detik bersejarah ini hadiah terbaik untuk Merdeka ke-68.”

Seorang lagi netizen, Daljeet Kaur, menyifatkan kejayaan itu sebagai hadiah paling indah buat seluruh rakyat Malaysia.

“Best gift for you Malaysia and Malaysians!!” katanya ringkas tetapi penuh makna.

Tidak ketinggalan, Ayadiar Sadayan turut menzahirkan ucapan penuh kasih buat juara dunia itu. “Love you Chen-Toh, tahniah!” tulisnya.

Gelombang ucapan tahniah ini jelas memperlihatkan betapa kejayaan di Paris itu bukan sekadar kilauan pingat, sebaliknya menjadi lambang penyatuan semangat rakyat Malaysia dalam meraikan ulang tahun kemerdekaan.