Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives August 2025

PABM mahu anjur Kejohanan Angkat Berat Asia Tenggara

Kuala Lumpur: Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) bersedia mengangkat martabat sukan angkat berat ke pentas lebih gemilang apabila

mengumumkan hasrat menganjurkan Kejohanan Angkat Berat Asia Tenggara 2026 di Kuching, Sarawak pada 20 hingga 24 Jun 2026.

Malah kejohaan berkenaan mampu memberi ruang untuk melihat kekurangan atlet dari Asia Tenggara sebelum temasya Sukan SEA Thailand bermula hujung tahun ini terutama dengan kategori baru yang diperkenalkan oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF).

Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat berkata, cadangan itu dibentangkan pada Mesyuarat Persekutuan Angkat Berat Asia Tenggara (SEAWF) semalam dan menerima maklum balas positif daripada semua negara anggota.

“Kejohanan ini bukan sekadar pertandingan, tetapi platform mengukuhkan kerjasama serantau, mempromosikan gaya hidup sihat serta memberi inspirasi kepada generasi muda untuk menceburi sukan angkat berat,” katanya.

Beliau berkata, Stadium Majlis Bandaraya Kuching Selatan akan menjadi gelanggang rasmi kejohanan yang bakal menghimpunkan atlet, jurulatih dan pegawai dari seluruh negara anggota SEAWF.

Jelasnya, penganjuran akan mematuhi Peraturan Teknikal dan Pertandingan Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) terkini, selain menggunakan peralatan yang diluluskan badan induk dunia itu.

“Kami yakin Sarawak mempunyai kemudahan bertaraf antarabangsa dan mampu menjadi destinasi pilihan penganjuran acara sukan besar.

“Dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan serta Kerajaan Negeri Sarawak, kejohanan ini dijangka melonjakkan profil Malaysia di pentas antarabangsa dan meninggalkan legasi berpanjangan kepada sukan angkat berat di rantau ini,” katanya.

SUKMA Selangor senarai muay thai, petanque, silambam

Kuala Lumpur: Muay thai, petanque dan silambam sah menjadi tiga sukan pilihan baharu yang akan dipertandingkan pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026.

Keputusan itu dimuktamadkan pada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah; Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria; Exco Sukan Negeri serta Pengerusi Majlis Sukan Negeri.

Cadangan penambahan tiga sukan itu dikemukakan Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA XXII 2026, Mohd Najwan Halimi, sebelum dipersetujui sebulat suara semua ahli jawatankuasa.

“Dengan penambahan ini, SUKMA XXII Selangor 2026 bakal mempertandingkan 30 sukan wajib dan tujuh sukan pilihan.

“Jawatankuasa turut memutuskan tiada lagi cadangan atau rayuan penambahan sukan akan dipertimbangkan selepas ini,” jelas kenyataan itu.

Temasya itu dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026, membabitkan sembilan daerah di seluruh Selangor.

Hannah dalam pada itu memaklumkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang mengkaji penganjuran ‘Non-SUKMA Games’ untuk sukan yang tidak terpilih, selain menilai model baharu SUKMA selepas edisi Kelantan 2028 bagi memastikan pembangunan sukan dan atlet terus berjalan tanpa membebankan peruntukan kerajaan.

Peluang Aaron-Wooi Yik, Sze Fei-Nur Izzuddin berentap di separuh akhir

Kuala Lumpur: Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mahu menampilkan aksi ‘kelas A’ bagi memburu gelaran kedua di Kejohanan Badminton Dunia di Paris dari 25 hingga 31 Ogos ini.

Tampil sebagai pilihan kedua, juara dunia 2022 itu menerima bye di pusingan pertama, namun dijangka berdepan cabaran sengit di pusingan ketiga menentang sama ada rakan senegara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King atau gandingan Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh.

Laluan mereka dijangka lebih mencabar di suku akhir dengan kemungkinan bertemu naib juara Olimpik Paris 2024 dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang atau beregu utama India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.

Sekiranya mara ke separuh akhir, Aaron-Wooi Yik berpotensi mencipta pertembungan sesama sendiri menentang rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

Sze Fei-Izzuddin yang juga pilihan ketiga dijangka berdepan ujian getir di suku akhir sama ada menentang beregu ranking kelapan dunia dari Indonesia, Sabar Karyaman-Moh Reza Isfahani atau gandingan ranking ke-11 dunia dari China, Liu Yi-Chen Bo Yang.

Satu lagi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang menghuni ranking ketujuh dunia dijangka membuat perhitungan dengan pilihan pertama dari Korea Selatan, Kim Wo Ho-Seo Seung Jae di suku akhir.

Bagi kategori beregu wanita, pasangan utama negara, Pearly Tan-M Thinaah dilihat berpeluang untuk melangkah lebih jauh hingga ke separuh akhir selepas menerima bye di pusingan pertama.

Pilihan kedua itu dijangka bertemu pasangan ranking ke-14 dunia dari Indonesia, Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti di suku akhir, dengan Pearly-Thinaah kini mendahului 2-1 dalam rekod pertemuan.

Dalam beregu campuran, pilihan keenam Goh Soon Huat-Shevon Lai dijangka berdepan rakan senegara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin di pusingan ketiga jika kedua-dua pasangan melepasi halangan awal.

Sementara itu, pilihan keempat Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut menerima bye pusingan pertama namun dijangka berdepan ujian awal di pusingan kedua menentang pasangan ranking ke-11 dunia dari Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu.

Kelayakan ASEAN Golf Maybank: Impian dua pemain negara tak kesampaian

KUALA LUMPUR: Suasana sedih menyelubungi Malaysia pada Pusingan Kelayakan ASEAN Kejohanan Golf Maybank 2025 hari ini, selepas dua pemain wanita negara, Ng Jing Xuen dan Genevieve Ling ketinggalan hanya satu pukulan untuk melayakkan diri ke kejohanan berprestij itu.

Kedua-dua pemain itu mencatat tiga atas par 147 bagi dua pusingan di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC) di sini, untuk berkongsi tempat keenam, sekali gus gagal berada dalam kelompok lima terbaik yang semuanya dikuasai pemain Thailand.

Kritchanya Kaopattanaskul muncul juara dengan catatan tujuh bawah par 137, diikuti Achiraya Sriwong di tempat kedua (lima bawah par 139), manakala Namo Luangnitikul di tempat ketiga (par 144) serta Cholcheva Wongras dan Kan Bunnabodee berkongsi di tempat keempat (dua atas par 146).

Jing Xuen berkata beliau tidak bernasib baik meskipun bermula dengan baik tetapi gagal menamatkan saingan di kedudukan yang diharapkan.

“Saya sudah berikan yang terbaik dan hanya ketinggalan satu pukulan untuk layak. Tidak mengapa, itulah sukan golf dan itulah kehidupan. Saya terima,” katanya ketika ditemui selepas tamat pusingan itu.

Walaupun mengalami kekecewaan, Jing Xuen iaitu pemain wanita pertama Malaysia memenangi pingat emas acara individu pada Sukan SEA 2023 berpuas hati dengan pukulan yang dilakukan, namun mengakui pengurusan risiko dan strategi permainan perlu diperbaiki.

Sementara itu, Kritchanya yang masih berstatus amatur berkata beliau berpuas hati dengan kejayaan di Malaysia, yang menjadi lebih bermakna selepas melakukan pukulan selubang (hole-in-one) pertama dalam kariernya semalam.

Beliau kini akan memberikan tumpuan pada persiapan menghadapi Kejohanan Golf Maybank 2025 yang dijadualkan berlangsung di KLGCC dari 30 Oktober hingga 2 November ini.

– BERNAMA

Terengganu sertai 34 acara SUKMA

Kuala Terengganu: Kontinjen Terengganu dijangka menyertai 34 acara sukan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Hishamuddin Abdul Karim berkata ia termasuk 30 sukan wajib dan empat sukan tambahan iaitu silambam, muay thai, petanque dan satu lagi yang akan dimuktamadkan esok.

Beliau berkata ketika ini kontinjen Terengganu berada pada fasa kedua persediaan dan bakal memasuki fasa ketiga yang melibatkan latihan di luar negara.

“Untuk fasa seterusnya kita perlukan lebih banyak pendedahan pertandingan di luar negara bagi memastikan pasukan lain tidak dapat menjangka kekuatan kita hingga hari kejohanan sebenar.

“Jawatankuasa Prestasi SUKMA yang diwujudkan selepas SUKMA 2024 di Sarawak telah mula bertugas memantau latihan dan prestasi atlet serta merancang strategi terbaik menjelang kejohanan di Selangor nanti,” katanya pada Majlis Selangkah Mencipta Gemilang-Misi Emas Bermula Kontinjen SUKMA Terengganu ke-22 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) Mohd Syahrizal Yahaya.

Dalam pada itu, Hishamuddin berkata kerajaan negeri kekal dengan keputusan untuk tidak menghantar atlet wanita beragama Islam bagi acara akuatik kerana faktor pemakaian yang tidak mematuhi syariah.

“Kita sudah maklum awal bahawa Terengganu tidak akan sertai acara akuatik wanita Muslim dan semua pihak juga sudah ambil maklum,” katanya.

KUNJUNGAN HORMAT PERBADANAN SUKAN SARAWAK KE MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA

Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN) menerima kunjungan hormat daripada Perbadanan Sukan Sarawak ke Ibu Pejabat MSN, Bukit Jalil.

Kunjungan ini bertujuan membincangkan potensi kerjasama, menetapkan matlamat bersama, serta merancang langkah pelaksanaan strategik bagi memajukan pembangunan sukan.

Turut hadir, YBrs. En. Jefri Ngadirin, Ketua Pengarah MSN, dan YBrs. Encik Khairul Nizam Morshidi, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak merangkap Pemangku Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak.

KUNJUNGAN HORMAT PERBADANAN SUKAN SARAWAK KE MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA

Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN) menerima kunjungan hormat daripada Perbadanan Sukan Sarawak ke Ibu Pejabat MSN, Bukit Jalil.

Kunjungan ini bertujuan membincangkan potensi kerjasama, menetapkan matlamat bersama, serta merancang langkah pelaksanaan strategik bagi memajukan pembangunan sukan.

Turut hadir, YBrs. En. Jefri Ngadirin, Ketua Pengarah MSN, dan YBrs. Encik Khairul Nizam Morshidi, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak merangkap Pemangku Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak.

Laluan berliku Zii Jia di Paris

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia bakal berdepan laluan sukar di Kejohanan Badminton Dunia di Paris dari 25 hingga 31 Ogos ini, dengan cabaran getir menantinya seawal pusingan kedua.

Berdasarkan undian Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini, Zii Jia akan membuka kempen menentang wakil Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin di pusingan pertama.

Kelebihan nyata memihak kepada pemain ranking ke-52 dunia itu yang pernah menewaskan Hyeok Jin tiga kali daripada empat pertemuan sebelum ini.

Namun, ujian sebenar dijangka hadir di pusingan kedua apabila dia berkemungkinan besar berdepan pemain nombor empat dunia dari China, Li Shi Feng.

Shi Feng dijangka tidak berdepan masalah menyingkirkan lawan pusingan pertama, Yushi Tanaka dari Jepun, selain memiliki rekod kemenangan 4-2 ke atas Zii Jia.

Kejohanan Dunia kali ini menjadi penampilan pertama Zii Jia di pentas kompetitif sejak Mac lalu selepas bergelut dengan kecederaan buku lali yang dialami pada Jelajah Dunia Akhir, Disember tahun lalu.

Dia sempat kembali beraksi di Masters Orleans dan Seluruh England pada Mac, namun kecederaan sama memaksa penarikan diri daripada Terbuka Amerika Syarikat, Jepun dan China antara Jun hingga Julai.

BWF menawarkan slot ke Paris menerusi perlindungan ranking, sekali gus mengekalkan kedudukan sembilan dunia bagi tujuan kelayakan.

Seorang lagi perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao akan memulakan kempen menentang pemain Switzerland, Tobias Kuenzi, sebelum dijangka berdepan Kenta Nishimoto dari Jepun di pusingan kedua.

Bagi perseorangan wanita, Goh Jin Wei akan bertemu Gao Fang Jie dari China, manakala K Letshanaa akan menentang pemain Hong Kong, Saloni S Mehta pada pusingan pertama.

KUNJUNGAN HORMAT PUSAT SUKAN UiTM KE MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA

Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN) telah menerima kunjungan hormat daripada Pusat Sukan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke Ibu Pejabat MSN, Bukit Jalil.

Kunjungan ini bertujuan untuk memperkukuh jaringan kerjasama strategik dalam bidang pembangunan sukan, mendapatkan maklumat strategik, serta berkongsi pandangan dan perancangan bersama bagi memajukan ekosistem sukan negara.

Kunjungan turut dihadiri oleh YBrs. En. Jefri Ngadirin, Ketua Pengarah MSN serta Encik Ahmad Tarmizy Mohammed, Pengarah Pusat Sukan, UiTM.

KUNJUNGAN HORMAT PUSAT SUKAN UiTM KE MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA

Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN) telah menerima kunjungan hormat daripada Pusat Sukan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke Ibu Pejabat MSN, Bukit Jalil.

Kunjungan ini bertujuan untuk memperkukuh jaringan kerjasama strategik dalam bidang pembangunan sukan, mendapatkan maklumat strategik, serta berkongsi pandangan dan perancangan bersama bagi memajukan ekosistem sukan negara.

Kunjungan turut dihadiri oleh YBrs. En. Jefri Ngadirin, Ketua Pengarah MSN serta Encik Ahmad Tarmizy Mohammed, Pengarah Pusat Sukan, UiTM.

Majlis Sukan Negara Malaysia