Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Jakobsen sandaran utama Picnic PostNL di LTdL 2025

Kuala Lumpur: Tanpa kelibat juara individu keseluruhan tahun lalu, Max Poole, pasukan berstatus WorldTeam, Team Picnic PostNL mengharapkan pengalaman Fabio Jakobsen apabila bermulanya Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025.

LTdL 2025 dijadualkan berlangsung selama lapan hari bermula pada 28 September hingga 5 Oktober depan.

Pada ketika hanya satu nama daripada senarai enam pelumba pasukan itu tahun lalu yang dikekalkan iaitu Bjorn Koerdl, Picnic PostNL mengharapkan pengalaman luas Jakobsen sebagai pakar pecut bagi mengangkat nama pasukan itu, lebih-lebih lagi di laluan landai.

Pastinya, pelumba 29 tahun kelahiran Heukelum, Belanda itu mengharapkan bantuan daripada dua lagi rakan sepasukan yang boleh memecut laju dalam henjutan terakhir iaitu Bram Welten dan Dilion Corkery ketika berdepan pakar pecut handalan daripada pasukan lain.

Ketua Pegawai Operasi (COO) PLTdL25, Emir Abdul Jalal berkata, walaupun ketiadaan Poole agak menjejaskan kemeriahan LTdL kali ini, kehadiran Jakobsen sedikit sebanyak menebus senario itu, lebih-lebih lagi Jakobsen diakui antara pakar pecut handalan dunia, sekali gus menjadikan persaingan dalam henjutan terakhir ke garisan penamat pada tahun ini lebih terbuka, sengit dan sukar diramal.

“Jakobsen adalah nama cukup besar kerana dia pernah memenangi satu peringkat di Tour de France (TdF) dan lima peringkat di Vuelta a Espana termasuk memenangi jersi Raja Pecut Vuelta pada 2021.

“Dengan koleksi 46 kemenangan sepanjang kariernya setakat ini termasuk di TdF dan Vuelta, Picnic PostNL dilihat tampil dengan sasaran kemenangan peringkat pada penampilan kali kedua pasukan itu kali ini.

“Ini kerana, selain Jakobsen, Welten turut mempunyai pengalaman luas dan mampu menarik laju Jakobsen ke bahagian depan peloton sebelum membuka ruang untuk henjutan terakhir, malah Welten sendiri mampu untuk mencipta kemenangan peringkat,” jelas Emir.

Welten, 28, yang menyertai pasukan itu tahun lalu, pernah menimba pengalaman berkayuh untuk pasukan besar WorldTeam lain seperti Arkea-Samsic (2020-2021), Groupama FDJ (2022-2023) dan pernah tiga kali berkayuh dalam Grand Tour.

Tanpa Poole, Koerdl, 21, yang menduduki tangga ke-50 keseluruhan tahun lalu sebagai pembantu, perebutan jersi hijau individu keseluruhan tahun ini disandarkan di bahu pelumba berusia 21 tahun, Juan Guillermo Martinez yang dilamar dari pasukan ProTeam, Q36.5.

Pelumba Colombia itu pernah bergelar Raja Bukit di Giro della Valle d’Aosta pada tahun lalu, selain turut cemerlang di tangga ketiga keseluruhan Tour of Turkiye dan ke-8 keseluruhan Tour of Rwanda pada tahun ini.

Seorang lagi pelumba yang dihantar pasukan itu ialah Jurgen Zommermaand, 19, yang diharap dapat memikul tugas domestik untuk Jakobsen, Koerdl dan Martinez.

“Pasti menarik untuk melihat sejauh mana Picnic PostNL mampu bersaing pada LTdL ini kerana mereka akan dicabar hebat pada sepanjang lapan hari saingan bermula dari Peringkat 1 di Pulau Langkawi hinggalah ke hari penamat Peringkat 8 di KLCC,” kata Emir.

LTdL akan berlangsung selama lapan peringkat membabitkan jarak keseluruhan 1.243.5 kilometer (km) yang akan merentasi setiap negeri di seluruh Semenanjung Malaysia.

Perlumba berstatus 2.ProSeries dalam kalendar perlumbaan jelajah Asia UCI itu dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan sokongan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Ia akan bermula di Pulau Langkawi pada 28 September (peringkat pertama) sejauh 96.5km diikuti peringkat kedua dari Padang Besar, Perlis ke Kepala Batas, Pulau Pinang (170.1km); peringkat ketiga dari Gerik, Perak ke Pasir Puteh, Kelantan (198.2km) dan peringkat keempat dari Kuala Terengganu ke Kemaman (140.8km).

Peringkat kelima dari Temerloh ke Bukit Fraser, Pahang (133.7km); peringkat keenam dari Shah Alam, Selangor ke Port Dickson, Negeri Sembilan (123.4km); peringkat ketujuh dari Melaka ke Medini, Johor (214.6km); peringkat kelapan dari Tangkak, Johor ke Kuala Lumpur (180.5km) pada 5 Oktober.